Saturday 4 July 2015

MEMALUKAN STESEN BAS MANJUNG DAN PENGUNJUNG

Wanita yang menjadikan Stesen Bas Seri Manjung sebagai tempat tidurnya menimbulkan rasa kurang senang orang awam


SERI MANJUNG - Orang ramai yang menunggu di Stesen Bas Seri Manjung melahirkan rasa kurang selesa dengan kehadiran seorang wanita yang menjadikan kawasan itu sebagai tempat tinggalnya.

Wanita berusia 40-an itu dikatakan berada di situ sejak lima tahun lalu dan memberikan alasan tidur di stesen bas kerana suasana persekitaran yang lebih bebas dan terbuka. 

Walaupun dia tidak pernah mengganggu atau mengacau pengunjung di stesen bas berkenaan, namun ia menimbulkan rasa kurang selesa kepada sesetengah pengunjung. 

Orang awam, Nor Shahira Abdul Hadi, 23, berkata, dia sering melihat wanita itu tidur di atas bangku tempat menunggu bas di stesen berkenaan.

"Dah lama saya nampak wanita ini sejak zaman saya belajar tiga tahun lalu. 

"Wanita itu akan tidur di atas bangku. Walaupun dia tak kacau orang lain, tapi kita rasa tak selesa disebabkan keadaan dirinya yang kurang bersih," katanya. 
 
Menurutnya, setahun yang lalu juga terdapat seorang lelaki yang turut menjadikan stesen bas itu sebagai tempat tinggalnya. 

"Jika perkara ini tidak diambil perhatian, tidak mustahil stesen bas ini akan menjadi lokasi gelandangan menumpang tidur selain turut mendatangkan masalah sosial yang tidak diingini," katanya.  

Pembantu kedai, Wahidah Tan, 40, berkata, dia menafikan wanita itu mempunyai masalah mental dan menyatakan bahawa wanita itu boleh berkomunikasi dengan baik.

Menurutnya, wanita itu turut menggunakan beg najis, malah pernah beberapa kali berlaku kebocoran ketika wanita itu sedang tidur dan itu menjejaskan persekitaran stesen bas itu.
 
“Stesen bas ini dijadikan seperti rumahnya sendiri. Dia akan makan dan tidur di sini tanpa mengira waktu serta tidak menghiraukan orang ramai yang menunggu bas. Namun masih ada segelintir orang awam yang tidak menyenangi kehadirannya biarpun dia tidak mengganggu orang lain.

“Pernah berlaku beberapa kali di mana najis dan air kecilnya berterabur di bangku serta lantai yang digunakan untuk tidur, malah bekas makanannya juga dibiarkan di atas lantai

“Pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan melakukan pembersihan namun kita khuatir jika ia dibiarkan begitu sahaja perkara ini semakin lama semakin serius,” katanya.

Seorang lagi orang awam, Siti Norbakyah Abu Bakar, 26, berkata, dia juga berasa kurang selesa dengan kehadiran wanita itu yang dilihat boleh mencacatkan pemandangan di kawasan stesen bas berkenaan.

“Pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu supaya wanita berkenaan mendapat tempat tinggal yang lebih baik. 

"Walaupun dia tak ganggu orang lain, namun ia boleh mendatangkan rasa kurang senang kepada pengunjung di stesen bas ini,” katanya.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Lumut, Ting Tai Fook pula berkata, pihaknya baru mendapat maklumat berkenaan perkara itu dan akan memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya memantau.

Menurutnya, sebenarnya di Manjung tidak ada isu gelandangan dan jika perkara ini berlaku ia adalah perkara baharu yang harus ditangani segera.
 
“Kita sedia maklum isu ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada daerah ini di mana ia sering menjadi kunjungan ramai.

“Kerajaan juga sentiasa prihatin kepada golongan seumpama ini dan mereka harus dibantu untuk keluar dari masalah gelandangan itu,” katanya.
 
Sementara itu, Pegawai JKM Daerah, Anuwar Ismail berkata, pihaknya turut menerima aduan sama dan hasil pemantauan dan siasatan lanjut mengikut rekod mendapati kedua-dua individu berkenaan mempunyai masalah mental dan pihaknya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa. 
 
Difahamkan, terdapat seorang lagi gelandangan lelaki turut menjadikan Stesen Bas Seri Manjung sebagai tempat tidur sejak hampir setahun lalu dan hanya datang pada waktu malam, namun hasil tinjauan Sinar Harian lelaki itu tidak berjaya ditemui. - SINAR HARIAN



AWAS SEMUA PENGGUNA INTERNET

Amiruddin (tiga, kanan) menyerahkan MyCyber Security Clinic Premium License kepada Mohd Nazaruddin (tiga, kiri) sambil disaksikan Zambry (tengah) dan beberapa Exco kerajaan negeri


IPOH -  Sebanyak 4,581 aduan berkaitan kesalahan siber diterima CyberSecurity Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amiruddin Abdul Wahab berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.27 peratus atau 464 kes berbanding 4,117 aduan yang diterima bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, aduan mengenai kesalahan berkaitan spam adalah yang tertinggi dengan 2,056 kes, diikuti penipuan dan pemalsuan sebanyak 1,359 aduan, manakala pencerobohan sebanyak 709 kes.  

“Aduan mengenai kehadiran e-mel spam ini perlu diambil perhatian oleh pengguna kerana kebiasaannya e-mel berkenaan turut membawa kod berniat jahat (malware) yang boleh mengakibatkan seseorang menjadi mangsa penipuan.

"Dalam tempoh lima bulan itu juga, aduan tertinggi dicatatkan pada Februari iaitu sebanyak 1,271 aduan merangkumi pelbagai jenis kesalahan dan jenayah siber,” katanya kepada media kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian MyCyber Security Clinic Premium License kepada KPerak di Bilik Mesyuarat Exco, Pejabat Menteri Besar Perak, di sini, semalam.

Penyampaian disempurnakan sendiri Amiruddin kepada Ketua Pengawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Amiruddin berkata, berikutan peningkatan jenayah siber itu, pengguna internet di negara ini dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan mempunyai kesedaran tinggi mengenai kepentingan memiliki ilmu berkaitan keselamatan siber.

Menurutnya, aduan yang diterima berkaitan isu keselamatan siber sentiasa meningkat saban tahun.

Malah, katanya, sepanjang 2014 pihaknya menerima 11,918 aduan dan sejak 1997, lebih 66,000 kes diterima daripada orang ramai.

“Kita turut menerima aduan berkaitan kegiatan cubaan menceroboh, penafian perkhidmatan, pembulian siber, kod berniat jahat (malware), gangguan dan fitnah melalui siber.

“Ketika ini, kita banyak melihat maklumat yang tidak terkawal dalam dunia siber dan keperluan mengenai kesedaran terhadap aspek keselamatan siber amat diperlukan pengguna internet di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perak menjadi negeri pertama menerima Lesen Premium MyCSC, terutama dalam menyediakan perkhidmatan keselamatan siber daripada CyberSecurity Malaysia, Pusat Pakar Teknikal Keselamatan Siber Kebangsaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi.

Penganugerahan itu juga menggalakkan pertumbuhan rangkaian Klinik MyCyberSecurity di seluruh negara dengan Perak menerusi Perbadanan Pelaksanaan dan Penyelarasan KPerak (KPerak) dijangka menubuhkan sekurang-kurangnya empat cawangan klinik berkenaan dalam tempoh terdekat.

Perak dipilih sebagai negeri pertama menerima pengiktirafan itu memandangkan kerjasama dengan Kperak sudah sedia terjalin menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KPerak tahun lalu. - SINAR HARIAN


PUNCA TRELER TERJUN DARI JAMBATAN JELAPANG IPOH

Keadaan treler yang terjunam ke cerun setinggi tujuh meter di Kilometer 266 Lebuh Raya Utara- Selatan


JELAPANG – Seorang lelaki cedera apabila treler yang membawa muatan air minuman berkarbonat dipandunya terjunam ke cerun jalan setinggi tujuh meter di Kilometer 266 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran lampu isyarat Tol Jelapang, di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun berasal dari Melaka mengalami kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan meskipun kepala treler tercabut dari rangka kenderaan berkenaan. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, treler itu dipercayai terbabas sendiri ke tepi jalan lalu terjatuh dari tebing laluan berkenaan. 

Menurutnya, menerusi siasatan di tempat kejadian dan hasil temu bual pemandu mendapati mangsa memandu sendirian dari Pelabuhan Klang menghala ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai terlelap seketika menyebabkan treler yang dipandu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum terjatuh dari tebing berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). 

“Hasil pemeriksaan mendapati treler berkenaan remuk di bahagian hadapan dengan kepala tercabut dari rangka. 

"Siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan masih dijalankan,” katanya. - SINAR HARIAN


Friday 3 July 2015

SULTAN PERAK RASMI MASJID AL-ANSAR

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada majlis berbuka puasa dan majlis sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Negeri serta Majlis Perasmian Masjid Al-Ansar, Halaman Meru Impian malam ini. - Foto Bernama


IPOH - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Al-Ansar di Halaman Meru Impian di sini.
 
Baginda yang lengkap berbaju Melayu berwarna ungu cair menyempurnakan simbolik perasmian masjid itu itu dengan menyiram pokok.     
 
Sultan Nazrin yang diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah seterusnya berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 rakyat jelata.
 
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria serta barisan exco negeri.
 
Baginda kemudian menunaikan solat Maghrib bersama tetamu kehormat, jemputan dan masyarakat setempat di masjid itu.
 
Pada majlis itu Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam Perak sebanyak RM526,200 kepada penghulu yang mewakili 2,631 penduduk setempat dari lapan mukim.
 
Lapan mukim itu ialah Lahat yang menerima sebanyak RM84,000, Sungai Raia (RM64,200), Ulu Kinta Tanjung Rambutan (RM79,400), Ulu Kinta Chemor (RM76,800), Ulu Kinta Ipoh (RM140,600) Sungai Terap (RM35,800), Tanjung Tualang (RM34,400) dan Tronoh (RM11,000).
 
Baginda turut menyampaikan replika kunci van jenazah kepada Pengerusi Masjid itu Mustaha Khalil.
 
Sejurus selepas itu, baginda berkenan menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah. - Bernama


FAKE TWITTER GENERATOR MENYAMAR ASTRO AWANI

Kemunculan imej tweet palsu Astro AWANI @501awani yang tersebar sejak semalam berkenaan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah dinafikan oleh Astro AWANI. Malah pihak Astro Awani telah mengesahkan ia bukan dari akaun rasmi Astro AWANI dan mendakwa tentang kewujudan 'Fake Twitter Generators' di laman web yang membolehkan penyamaran sebagai mana-mana pemilik akaun. Dijangka pihak pengurusan Astro AWANI akan membuat laporan polis mengenai perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.

Namun apa yang ingin digambarkan berkaitan perbuatan khianat dan sabotaj pihak yang tidak bertanggungjawab adalah cubaan mencalar imej dan kredibiliti pemimpin dan negara. Tindakan pengecut ini seperti baling batu sembunyi tangan ini dikhuatiri akan menjadi satu tabiat rakyat Malaysia jika tidak dibendung lebih awal.

Tindakan undang-undang terhadap pelaku harus dikuatkuasakan dan dilaksanakan. Jika tidak, penyakit ini akan menjadi barah dan duri dalam daging yang tidak akan sembuh buat selama-lamanya.

EDITOR

Thursday 2 July 2015

RAFIZI RAMLI AKUI TERSILAP DESAK UTK TETAPKAN HARGA MINYAK IKUT PASARAN DUNIA TAHUN LEPAS

Selepas mendesak kerajaan menghapuskan subsidi minyak serta menetapkan harga minyak mengikut harga pasaran, Rafizi Ramli hari ini mahu kerajaan Barisan Nasional mengembalikan semula subsidi terhadap bahan api tersebut dengan alasan bagi meringan beban rakyat.

Selain itu, Ahli Parlimen PKR Pandan tersebut mendesak Perdana Menteri mewujudkan satu Tabung bagi menstabilkan harga minyak. Susulan itu, Rafizi bercadang akan memfailkan rang undang-undang persendirian di sidang Parlimen akan datang.

Rafizi juga mahu NGO dan juga kumpulan-kumpulan penentang kerajaan memulakan kempen mendesak kerajaan agar subsidi dikembalikan. Ini katanya, akan mempercepatkan cadangan beliau dilaksanakan.

“Saya juga akan duduk dengan pelbagai kumpulan termasuk NGO untuk menggerakkan satu kempen mendesak agar subsidi minyak dikembalikan.

“Saya yakin Datuk Seri Najib hanya takut dengan gelombang bantahan rakyat dan jika bantahan itu jelas, beliau akan terpaksa mengembalikan subsidi minyak untuk meringankan beban rakyat,” kata Rafizi kepada media.

Pada November tahun lepas, Rafizi secara semberono menuduh kerajaan zalim serta menindas rakyat apabila tidak menetapkan harga minyak mengikut harga pasaran dunia. 

Kerajaan bertindak mengapungkan harga petrol dan diesel pada akhir 2014 selepas pihak pembangkang menghasut rakyat supaya mengadakan demonstrasi jalanan menuntut seperti apa yang Rafizi mahukan.

Kini setelah tiada lagi subsidi dan harga minyak diapungkan selaras dengan harga pasaran dunia, Rafizi kembali dengan idea baru iaitu mengembalikan semula subsidi. Nampaknya pemimpin PKR itu sendiri mengakui cadangannya sebelum ini terbukti salah. - Utaranews.com

Jambatan Baru 6 Masuk Malaysia Book of Records

GERIK - Jambatan Batu 6 yang menghubungkan Gerik dengan Bandariang, di sini dianugerahkan sebagai jambatan konkrit satu rentang terpanjang di Malaysia oleh The Malaysia Book of Records, hari ini.

Pembinaan jambatan yang dimulakan pada 2013 menggunakan kaedah Ultra High Performance Concrete (UHPC) dibina dengan panjang 100 meter dan kelebaran 5 meter menyeberangi Sungai Perak.

Sijil The Malaysia Book of Records disampaikan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof kepada Pengarah Jabatan Kerjaraya Perak, Datuk Ir Safry Kamal Ahmad.

Projek yang menelan kos RM6.3 juta itu merupakan projek di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Pembinaan jambatan berteraskan teknologi terkini dan mesra alam itu juga diiktiraf sebagai jambatan terpanjang di Asia menggunakan kaedah UHPC.

SH

Perlu Perluas Bidang Diminati Masyarakat

TELUK INTAN -  Institusi Pengajian Tinggi (IPT), khususnya kolej komuniti diminta terus membuat sesi penerangan kepada masyarakat bagi mempromosi kursus pembelajaran yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, kekurangan inisiatif IPT untuk memberi penerangan kepada masyarakat Teluk Intan menyebabkan maklumat sepatutnya tidak sampai kepada golongan sasar khususnya belia.

Menurutnya,  itu menyebabkan kemudahan IPT yang sedia ada di Teluk Intan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya juga mahu Kolej Komuniti Teluk Intan mengambil inisiatif membuat perjumpaan dengan pengetua sekolah  di Parlimen ini untuk mengenal pasti pelajar berpotensi.

"Pendedahan mengenai IPT ini perlu diperluaskan skopnya supaya sampai kepada golongan sasar,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Teluk Intan, di sini, semalam.

Mohd Azhar berkata, skop pembelajaran ditawarkan perlu diperluaskan kepada bidang  diminati masyarakat.

"Ia usaha membudayakan amalan menuntut ilmu tanpa mengira usia," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Teluk Intan ditubuhkan bagi membantu keberkesanan program.

"Jawatankuasa ini berperanan sebagai badan perhubungan bagi program  kolej komuniti untuk dimanfaat kan masyarakat setempat.

“Ahli jawatankuasa penasihat ini akan bermesyuarat bagi menggembleng idea untuk memajukan IPT ini," katanya.

SH

Tetap Mengemis Walaupun Dilarang

TELUK INTAN - Merupakan klien aktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hilir Perak, malah sehingga kini masih menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 setiap seorang.

Itu penjelasan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hilir Perak, Selva Ratnam mengenai seorang warga emas dan cucunya yang mengemis di Jalan Sungai Nibong di sini hingga menjadi viral dalam laman sosial.

Menurutnya, Salasiah Darani, 87, yang mempunyai 10 anak kematian suami dan turut menerima bantuan JKM sejak 2007 hingga kini.

"Sebelum ini, suami Salasiah ada terima bantuan Baitulmal tapi ditamatkan selepas dia meninggal dunia.

"Kini kami cuba meminta Baitulmal untuk menyambung kembali bantuan tersebut untuk warga emas itu," katanya.

Mengulas mengenai cucu Salasiah, Mohd Yaser Hashim, 37, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Selva berkata, dia  didaftarkan di bawah JKM sejak kecil.

"Mohd Yaser juga ada menerima bantuan JKM sebanyak RM200 sebulan.

“Kami sudah beberapa kali menegur tindakan warga emas itu dan cucunya yang mengemis di Jalan Sungai Nibong, namun mereka tetap berdegil,” katanya.

Selva berkata,  pagi semalam, seorang daripada anak Salasiah menghubungi JKM dan bertanyakan berkenaan ibunya.

"Kita ada berikan peringatan kepada mereka. Jika Salahsiah dan Mohd Yaser masih teruskan aktiviti minta sedekah, JKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Orang Papa," katanya.

Beliau berkata, JKM mempunyai hak untuk menahan dan menempatkan mereka di rumah kebajikan untuk diberikan penjagaan  yang sewajarnya.

“Setakat ini, kita sudah beri peringatan kepada anak-anak warga emas itu untuk pastikan ibu dan anak saudara mereka tidak mengemis.

“Sekiranya, aktiviti itu masih berjalan, kami tidak teragak-agak meletakkan mereka di Rumah Orang Tua Ulu Kinta dan Rumah Sinar Harapan di Johor," katanya.

SH

Kamunting Diselubungi Asap Tebal

TAIPING – Penduduk berhampiran Kawasan Perindustrian Kamunting, di sini panik apabila asap tebal menyelubungi  ruang udara selepas longgokan sampah di sebuah tapak kitar semula di situ terbakar semalam.

Kejadian pada  ira-kira jam 1.52 petang itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran di kawasan longgokan bahan buangan seperti sampah dan plastik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abdul Sattar berkata, sebaik anggotanya tiba di lokasi kejadian, asap tebal dilihat sudah memenuhi Kawasan Perindustrian Kamunting dan lokasi sekitarnya.

Beliau berkata, bagaimanapun dalam tempoh 10 minit,  kebakaran berjaya dikawal.

“Kejadian menyebabkan berlakunya pencemaran udara di kawasan perumahan berhampiran kerana asap tebal dan hitam, kita minta mana-mana pihak tidak melakukan pembakaran secara terbuka seperti ini,” katanya.

Mohd Taufiq berkata, buat masa ini, punca kejadian masih dalam siasatan.

SH

Tiga Rumah Terbakar

KAMPAR – Gara-gara membakar sampah, dua rumah di Kampung Changkat Bendera, Malim Nawar musnah dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang kelmarin.

Difahamkan, kebakaran itu berpunca dari api sampah dibakar oleh seorang lelaki yang ditugaskan oleh tuan rumah untuk membersihkan kawasan kediaman terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd Yamin Naib berkata, empat jentera dengan kekuatan 21 anggota dikejarkan lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng turut membantu operasi pemadaman yang bermula pada kira-kira jam 6.04 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian mendapat kedua-dua rumah kayu telah 80 peratus musnah.

“Operasi diketuai Mokhtar Sudin mengambil tindakan membuat ‘size up’ memastikan tiada mangsa dan membuat pemadaman sehingga api dapat di kawal kira-kira jam 7.10 petang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Yamin berkata, anggotanya mengambil masa lebih sejam untuk mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran. Operasi tamat kira-kira jam 7.12 petang.

“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu berikutan dua rumah berkenaan adalah kosong yang sudah lama ditinggalkan. Jumlah kerugian sedang dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu di Ipoh, sebuah rumah kosong turut musnah 70 peratus di Pangkalan Gate 1, berhampiran Pasir Puteh di sini kira-kira jam 5.15 petang kelmarin.

SH

Penjawat Awam Mangsa Gempa Bumi Boleh Buat Tuntutan Insurans

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang menjadi mangsa gempa bumi di Sabah baru-baru ini, dinasihatkan mengemukakan tuntutan insurans bencana alam kepada panel insurans yang dilantik.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada Khamis berkata tuntutan insurans itu boleh dilakukan oleh mereka yang mempunyai akaun dengan Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) Perbendaharaan.

Tuntutan insurans itu meliputi perkara berikut:

i). Kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya.

ii).Pecah rumah dengan tujuan mencuri semasa kejadian gempa bumi.

iii). Perbelanjaan hotel atau rumah sewa dalam tempoh baik pulih yang tidak dapat didiami.

iv). Kecederaan orang awam (pihak ketiga) akibat kemalangan di dalam rumah, ia tertakluk kepada polisi insurans yang dipilih.

Menurut kenyataan itu, mangsa boleh membuat tuntutan dengan menghubungi syarikat insurans atau takaful yang terbabit.

Sehubungan itu, BPP berharap mangsa yang terlibat segera mengemukakan tuntutan insurans mereka untuk mempercepatkan proses pembayaran pampasan.

Pada 5 Jun lepas, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter menggegarkan Ranau, Sabah dan mengorbankan 18 nyawa melibatkan 14 pendaki dan empat malim gunung, termasuk warga asing yang sedang melakukan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu.

Sebanyak 100 gegaran susulan turut direkodkan Jabatan Meteorologi sehingga 28 Jun lepas.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari di laman web http://bpp.treasury.gov.my atau menghubungi meja bantuan banjir talian 03-8880 2121.

Mstar

The Edge Sahkan Terima Surat Tunjuk Sebab Daripada KDN

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media The Edge memohon lanjutan tempoh tujuh hari untuk menjawab secara terperinci surat tunjuk sebab daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kenapa tindakan tidak boleh diambil terhadap The Edge Malaysia dan The Edge Financial Daily di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan artikel mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ho Kay Tat dalam kenyataan di sini pada Rabu, berkata mereka menerima surat tunjuk sebab daripada KDN yang memberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan bertulis mengenai perkara itu.

"Kami dituduh menyiarkan artikel mengenai 1MDB yang telah mencetuskan kekeliruan dan keraguan mengenai kerajaan dan institusi kewangan. Kami juga dituduh bergantung kepada portal Internet untuk artikel kami.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami berpegang kepada artikel yang kami terbitkan dan kami berhasrat untuk menyiarkannya," kata beliau.

Mstar

Wednesday 1 July 2015

Kanak-kanak Menangis Ditangkap Di Ipoh



IPOH – Dua kanak-kanak perempuan lari lintang pukang selepas melihat van penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menghampiri mereka dalam Operasi Kutipan Khairat Tanpa Kebenaran yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, petang kelmarin.

Mereka turut mencampakkan beg sandang yang berisi wang kutipan derma serta barangan lain untuk menyelamatkan diri daripada dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak berusia 12 tahun itu berjaya ditahan anggota penguat kuasa di lorong belakang barisan kedai yang terletak di Persiaran Sunway City di sini.

Tinjauan Sinar Harian yang mengikuti operasi tersebut mendapati kanak-kanak terbabit dilihat sedang menunggu di hadapan bank untuk meminta derma dan menjual produk yang didakwa untuk membantu pusat tahfiz tempat mereka belajar.

Tiga lagi rakan mereka berusia 12 dan 13 tahun turut ditahan di hadapan bank sekitar Pusat Perdagangan Greentown dan Ampang kerana melakukan perkara yang sama.

Malah seorang daripadanya menangis teresak-esak kerana takut ketika disoal anggota penguat kuasa bertugas.

Difahamkan, mereka yang belajar di tempat sama, bukan berasal dari negeri ini tetapi dari Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Berdasarkan rekod, seorang daripada kanak-kanak berkenaan sebelum ini, pernah di atas kesalahan sama di Batu Gajah, tahun lalu.

Tabung derma turut dirampas

Dalam rondaan di bazar Ramadan Bercham Raya pula, seorang lelaki warga Thailand berusia 20 tahun ditahan apabila didapati mengadakan tabung kutipan derma tanpa kebenaran sah.

Tabung-tabung kutipan derma untuk pusat tahfiz dan anak yatim itu dirampas di bazar berkenaan apabila didapati nama pusat tahfiz berkenaan tiada dalam senarai kebenaran Maipk.

Pemuda terbabit ditahan kerana tidak mempunyai kebenaran sah daripada Majlis Agama Islam Perak (Maipk) untuk mengutip derma bagi pembinaan masjid di Narathiwat, Thailand.

Malah, dokumen perjalanannya juga telah tamat tempoh.

Di hadapan sebuah bank di Ampang pula, anggota penguat kuasa menahan seorang lelaki yang membuka kaunter kutipan derma untuk pembinaan bangunan anak yatim kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Jaipk siasat rangkaian

Ketua Penguatkuasa Agama Jaipk, Ahmad Nizam Amiruddin berkata, operasi tersebut diadakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Perak.

Menurutnya, seramai 20 anggota Penguatkuasa Jaipk, lima pegawai dari JKM dan Jakim terbabit dalam operasi yang diadakan sekitar bazar Ramadan, bank dan pasar raya.

“Operasi hari ini (kelmarin) tertumpu pada kutipan khairat tanpa kebenaran yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 43 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak.

“Dalam operasi ini, kita menahan empat kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun,  seorang remaja berusia 13 tahun, seorang lelaki warga Thailand berusia 20 tahun dan seorang lelaki berusia 47 tahun. Kesemua mereka ditahan bagi tujuan dokumentasi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Kita melihat modus operandi kanak-kanak terbabit seperti sindiket dan cuba cari siapa penganjur yang merancang pergerakan mereka memandangkan mereka masih di bawah umur,” katanya ketika ditemui selepas operasi selesai.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan sama ada kanak-kanak terbabit mempunyai rangkaian sama daripada negeri lain.

“Setakat ini kita belum dapat mengenal pasti sama ada kanak-kanak itu terbabit dalam satu sindiket yang mengeksploitasikan kanak-kanak dalam mencari duit,” jelasnya,

Ahmad Nizam berkata, penguatkuasaan ini akan berterusan bagi memastikan masyarakat atau sesiapa yang hendak mengutip derma agar mematuhi undang-undang yang mana setiap kutipan khairat mesti mendapat kebenaran Maipk.


SINAR HARIAN

Peniaga Bazar Ramadhan Tapah Didenda



TAPAH - Gara-gara tidak meletakkan tanda harga, seorang peniaga kuih bazar Ramadan di Sungkai dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK) Cawangan Tapah, petang kelmarin.

Ketua Cawangannya, Musa Ramli berkata, menjadi satu kesalahan jika peniaga tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijual kepada pengguna dan mereka boleh didakwa, dikenakan denda atau penjara sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kami telah memberi kompaun RM100 kepada peniaga berkenaan selain merampas makanan yang tidak diletakkan harga kerana tidak mahu mereka menjual dengan harga tidak munasabah kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Musa berkata, pada pada masa yang sama, pihaknya membuka sebuah kaunter aduan di bazar Ramadan Tapah bagi memberi ruang kepada pengguna untuk membuat aduan jika ada peniaga bazar Ramadan menjual barangan mereka dengan harga tidak munasabah.

Jelasnya, jika didapati peniaga gagal mematuhi peraturan, bagi kesalahan pertama, mereka boleh didenda kompaun RM50,000 atau penjara dua  tahun atau keduanya sekali jika didapati bersalah.

“Namun begitu, setakat ini, kami masih belum menerima apa-apa aduan daripada orang ramai mengenai harga tidak munasabah dikenakan peniaga,” katanya.

Musa berkata, pihaknya akan sentiasa memantau peniaga di kawasan bazar Ramadan di daerah Batang Padang dan surat peringatan telah diedarkan agar memastikan mereka mematuhi peraturan.



SINAR HARIAN

Meninggal Tak Sempat Berbuka Puasa



GUNUNG SEMANGGOL - Niat seorang lelaki mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah motosikal lain dalam kejadian kemalangan di Kilometer 13, Jalan Kerian-Semanggol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 6.37 petang, mangsa, Saiji Daud, 55, tercampak ke atas jalan sejurus dirempuh motosikal ditunggang seorang remaja berusia 15 tahun.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Semanggol menghala Taiping dikatakan cuba membelok ke kanan untuk pergi mengisi minyak di stesen berhampiran lokasi kejadian.

“Sewaktu mangsa membelok ke kanan, sebuah motosikal jenis Yamaha LC ditunggang seorang remaja dipercayai hilang kawalan dan merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua penunggang tercampak ke permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa segera dibawa ke klinik kesihatan berhampiran namun Saiji meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik berkenaan

Jelasnya, bagaimanapun, remaja berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping akibat mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan termasuk patah tangan dan kaki kanan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mencari punca sebenar kemalangan,” katanya.

Sementara itu, saksi dikenali sebagai  Hassan, 67, berkata, ketika kejadian dia sedang mengisi minyak motosikalnya di stesen berdekatanan dan terkejut melihat dua motosikal berkenaan berlanggar.

“Salah seorang mangsa mengalami pendarahan serius dan tidak sedarkan diri manakala seorang lagi iaitu remaja berusia 15 tahun mengerang kesakitan berikutan tangan serta kakinya dipercayai patah.

“Saya bersama beberapa penduduk segera membawa mereka ke klinik kesihatan berhampiran menggunakan kenderaan orang awam namun mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik sewaktu tiba di klinik terbabit,” katanya.


SINAR HARIAN

Bangsatkan Melayu Azwan Ali Bakal Terima Akibatnya




MINTA maaf atau anda akan dilapor kepada polis kerana menghina Melayu! Itu amaran Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah apabila ditanya mengenai mengenai kelantangan mulut bekas pengacara, Azwan Ali.

“Azwan Ali perlu sedar diri yang dia itu pun orang Melayu. Dia hina orang Melayu, dia sendiri pun keturunan Melayu juga. Dia perlu minta maaf atas apa yang dia buat.

“Ayah bagi tempoh masa seminggu untuk dia berbuat demikian, sekiranya dia masih gagal untuk minta maaf, ayah akan lapor pada pihak berkuasa. ‘Sangkut’ dia nanti,” ujar Abdul Rani atau lebih dikenali dengan panggilan Ayah Arka.

Menurut Arka, tempoh seminggu itu juga diberikannya memandangkan kini bulan Ramadan. MJMM sebuah badan bukan kerajaan yang sentiasa kehadapan dalam isu-isu Melayu dan Raja-raja Melayu dengan membuat laporan polis supaya tindakan mengenainya boleh diambil pihak berkuasa.

"Dia tidak boleh kata Melayu itu anjing, Melayu neraka. Itu salah. Itu dikira menghina orang Melayu. Ayah bagi kelonggaran sikit sebab ini bulan puasa. Hari baik, bulan baik. Kalau tidak, sudah lama ayah lapor polis!
Kalau minta maaf pun, itu bukan satu perkara yang hina," tambahnya lagi.

Terbaru, selebriti tempatan ini sekali lagi menggegar negara apabila memaki seorang gadis yang memperkenalkan sebuah restoran kepadanya.

Kontroversi bermula apabila  Azwan yang menggelar dirinya Diva AA meminta cadangan lokasi restoran yang kurang dikunjungi ramai Melayu untuk menikmati hidangan steak menerusi akaun Twitternya.

Tweetnya itu turut mendapat respons dari seorang pengikutnya, @NurAziraWA yang secara ringkas menjawab ‘menate’.

Selebriti dan bekas hos televisyen itu yang tersalah tafsir jawapan tersebut terus menyerang dan menghina wanita berkenaan.

“... bertudung paling binatang #menyalak real anjing! #puiii puashati tak ...?," tulis Azwan.

Namun, @NurAziraWA tidak cepat melatah dan menjawab bahawa dia hanya merujuk sebuah restoran yang diberi nama ‘Menate’ dan bukan mengutuk.

“Maksud saya Steak House Menate,” jawabnya.

Salah faham itu mendapat pelbagai reaksi dari netizen lain selepas ‘screen shot’ perbualannya dengan selebriti itu menjadi viral di media sosial.

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah ketika ditemuramah wartawan Sinar Online di pejabat Sinar Harian, Shah Alam.


SINAR HARIAN

Tweet Azwan Ali Bukan Macam Orang Berpuasa' - Mufti Perak

KUALA LUMPUR: Sikap biadab pengacara popular, Azwan Ali yang mencetuskan kontroversi kerana tweetnya baru-baru ini dikatakan tidak menggambarkan teladan dan sifat seorang Muslim sebenar.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, apa yang dipaparkan Azwan di akaun Twitternya juga menunjukkan ciri-ciri golongan fasik.

"Sikap dia bukan sikap Muslim yang berpuasa. Bulan puasa begini kita hendak lahirkan orang yang bertakwa.

"Jadi apa yang dia lakukan itu menggambarkan sifat fasik. Dia seperti tidak menghormati bulan Ramadan. Apa yang dia cakap bukan macam orang berpuasa.

"Tuduh menuduh dan memaki orang lain bukan sifat Muslim. Dia bukan sahaja menuduh malah kenyataannya penuh dengan prasangka buruk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Harussani mengulas kontroversi Azwan yang tersalah tafsir komen seorang pengikutnya di Twitter.

Paparan skrin daripada Twitter yang memaparkan Azwan Ali memaki seorang pengguna Twitter.

Catatan awalnya bertanya restoran terbaik untuk berbuka puasa sekali gus mendapat reaksi pengikutnya yang mencadangkan restoran 'Me'nate'.

Azwan yang tersalah anggap jawapan itu terus mengherdik pengikutnya yang bernama NurAziraWA dengan kata cacian selan dianggap sesuatu yang kelakar dan memalukan oleh pengguna sosial lain.

Sementara itu kata Dr Harussani, Azwan juga diminta menghayati surah al-Hujurat yang jelas meminta orang-orang yang beriman untuk menjauhi sifat banyak prasangka buruk kepada orang lain.

"Ayat di dalam surah itu jelas meminta orang-orang yang beriman supaya tidak mencari-cari kesalahan dan keaiban orang selain tidak mengumpat," ujarnya.

BACA: Isu Farah Ann: 'Gimnastik bukan untuk wanita Islam' - Mufti Perak

Sebelum ini, Dr Harussani dilaporkan berkata, mana-mana individu beragama Islam tidak boleh sewenang-wenangnya mempertikaikan hukum menunjukkan aurat kepada bukan muhrim yang sudah jelas termaktub di dalam al-Quran dan Hadis termasuk larangan membuka aurat di dalam isu sukan.

Katanya, isu itu seharusnya sudah jelas sejak berzaman dan tidak terlalu terikut-ikut dengan konsep serta cara pemakaian yang diperkenalkan negara Barat.

Dr Harussani berkata demikian ketika mengulas mengenai isu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi yang gambarnya dimuat naik di laman Facebook sebuah stesen televisyen dengan dengan penampilan pakaian ketat.

Astro Awani

UMNO dan PAS Gopeng Bergabung Demi Masa Depan Islam

Sulaiman menunjukkan draf memorandum penyatuan Umno dan Pas demi masa depan Umat Islam di negeri ini.


IPOH - Umno Cawangan Taman Desa Aman akan menggerakkan usaha bagi menggabungkan  Umno dan Pas bertujuan menyatukan umat Islam di negeri ini.

Ahli Jawatankuasanya, Sulaiman Ahmad Zaiti berkata, usaha itu sudah dirancang hampir setahun lalu selepas melihat kepada keperluan dan cabaran dihadapi Umat Islam khususnya bangsa Melayu masa kini.

Menurutnya, beberapa pemimpin tertinggi termasuk veteran politik sudah menyuarakan pandangan agar penyatuan antara Umno dan Pas dilaksanakan demi masa depan umat Islam di negara ini.

“Ramai pemimpin yang suruh bersatu tapi tiada  yang nak mula gerakkan ke arah  itu. Jadi saya rasa biarlah cawangan kami mulakan dulu.
“Penyatuan ini perlu bermula di peringkat bawahan kerana ahli atau penyokong  ramai di peringkat ini,” katanya.

Sulaiman berkata, sebagai langkah permulaan, selepas Aidilfitri nanti, satu mesyuarat jawatankuasa di peringkat cawangan akan diadakan bagi membincangkan perkara itu.

Jelasnya, draf memorandum penyatuan itu sudah disiapkan sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi Umno Negeri dan Pas Negeri.
“Saya telah suarakan perkara ini secara tak rasmi kepada rakan dalam Umno dan mereka menyokongnya. Harapnya usaha ini  membuahkan hasil.

“Saya akan menyerahkan memorandum kepada pimpinan tertinggi supaya penyatuan ini dapat digerakkan di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya Umno dan Pas bersatu demi Islam untuk menguatkan lagi agama yang semakin dihina serta diperkecil-kecilkan pihak tertentu.

Katanya, jika penyatuan itu berjaya, satu himpunan khas akan diadakan bagi membuktikan Umno dan Pas tiada masalah untuk bersatu demi Islam.


SINAR HARIAN

Tuesday 30 June 2015

Harga runcit petrol RON95, RON97 naik

KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97 sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015 berkuat kuasa tengah malam ini.

"Namun harga diesel kekal pada RM2.05 seliter," kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia Datuk Zulkifli Mokti ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata harga baharu RON95 ialah RM2.15 seliter manakala RON97 sebanyak RM2.55 seliter selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Julai ini," katanya. - Bernama

HRPB Tawar Pembedahan Bariatrik



IPOH - Malaysia antara negara yang mempunyai paling ramai penduduk dengan berat badan berlebihan di Asia dengan 45.3 peratus penduduknya mengalami berat badan berlebihan, diikuti Korea Selatan (33.2 peratus), Pakistan (30.7 peratus) dan China (28.3 peratus).

Bagi mengatasi masalah itu, Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) menawarkan pembedahan bariatrik diuruskan Pakar Perunding Bedah Endokrin dan Bariatrik Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB), Dr  M Kirubakaran.
Kirubakaran berkata, kaedah bariatrik  dapat membantu mengurangkan berat badan dengan cara sihat dan berkesan.

“Bariatrik adalah teknik pembedahan bertujuan mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik dan pembuangan sebahagian daripada perut. 

"Ia mengurangkan isi padu perut dan pemintasan usus kecil untuk mengurangkan penyerapan seperti lemak dan gula," katanya.
Beliau berkata, kaedah itu dilakukan menerusi kaedah laparoskopi dan tujuan utama adalah menurunkan berat badan selain mengekalkan penurunannya untuk jangka lama. 

Jelasnya, dengan cara itu akan dapat membantu mengurang dan memulihkan masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi serta  kolesterol.
"Banyak faktor perlu diambil kira oleh panel doktor dan pesakit sebelum menjalani pembedahan itu seperti kedudukan kewangan, logistik, sokongan keluarga, keadaan kesihatan, kecergasan dan pelbagai lagi.

“Pembedahan bariatrik dicadangkan kepada mereka yang sudah mencuba pelbagai kaedah menurunkan berat badan termasuk bersenam dan mengambil ubat kurus, tetapi tidak berjaya," katanya.

Kirubakaran berkata, fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar tampak kurus tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti punca pelbagai penyakit kronik.

Menurutnya, individu obesiti mungkin akan berasa sedikit lega kerana mereka mempunyai satu lagi pilihan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik iaitu dengan menjalani pembedahan bariatrik.

“Selain Hospital Taiping, HRPB menawarkan pembedahan bariatrik dan pesakit boleh datang ke Pusat Rawatan harian HRPB pada setiap hari Khamis dari jam 2 hingga 5 petang.

“Walaupun masih baharu, namun kami memberikan komitmen menyeluruh untuk memastikan pesakit mendapat perhatian sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembedahan berkenaan dibuat,” katanya.

Beliau turut menambah pesakit yang konsisten dengan rawatan susulan serta mengikut rejim diet yang disarankan pakar diet dan bersenam, mereka berpotensi untuk sembuh dengan segera.


SINAR HARIAN

Kolej Taj Selamatkan 20 Pelajar India



IPOH - Kira-kira 20 pelajar yang mendakwa ditipu pengurusan dalaman sebuah kolej swasta di sini kini lega selepas Kolej Antarabangsa Taj (TIC) tampil menghulurkan bantuan dengan menyediakan tempat untuk mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, wakil pelajar telah hadir ke TIC dan memaklumkan kepada pihak pengurusan untuk mereka ditempatkan di kolej berkenaan bagi menghabiskan pengajian di peringkat sijil.

Menurutnya, pihaknya tiada halangan untuk membantu menyelesaikan masalah pelajar berkenaan memandangkan mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan.

“Mereka bukan sahaja dibantu dari sudut penempatan pengajian malah kita turut membantu mereka dari segi pembiayaan dan kewangan.

“Bagi masalah yang dihadapi semua pelajar ini, pihak TIC telah menyediakan satu pakej khas pembiayaan membolehkan mereka menyambung pengajian. Ini merupakan salah satu khidmat masyarakat TIC kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tina berkata, bantuan seumpama itu bukan kali pertama dilakukan TIC sebaliknya, kolej berkenaan sudah beberapa kali membantu pelajar kolej swasta yang menghadapi masalah sama.

Jelasnya, sehingga kini kira-kira 250 pelajar yang berhadapan masalah seperti itu sudah dibantu termasuk pelajar dari Sabah dan Sarawak.
"Kesemua pelajar berkenaan akan mula mendaftar pada 1 Julai nanti dengan mengikuti dua program sijil iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Automotif dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengurusan Hotel selama satu  hingga dua tahun.

Sementara itu, seorang pelajar berkenaan, S Kasturi, 21, berkata, dia mewakili rakan-rakan yang lain sangat gembira apabila hasrat untuk meneruskan pengajian mereka tercapai.

Katanya, turut gembira dengan perkhabaran tersebut adalah ibu bapa yang sebelum ini sangat bimbangkanmasa depan anak-anak mereka yang tidak dapat menyambung pelajaran.

“Kini saya dan rakan-rakan dah boleh sambung belajar semula. Semua bayaran pengajian ditanggung dan tiada apa lagi yang perlu dirisaukan.
“Kami akan belajar bersungguh-sungguh untuk pastikan impian dan cita-cita kami berjaya,” katanya.

Sebelum ini, 20 pelajar berkenaan berkumpul secara aman membuat bantahan terhadap pengurusan kolej swasta yang didakwa menipu mereka selain menjanjikan peluang pekerjaan.

SINAR HARIAN


Monday 29 June 2015

Paras Air Empangan Tidak Terjejas

IPOH - Paras air di semua empangan di Perak tidak terjejas setakat ini meskipun cuaca panas sejak dua minggu lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau berkata, setakat ini tidak berlaku pengurangan air di semua empangan berkenaan.
 
"Cuma yang sering kali timbul pada musim perayaan adalah penggunaan air yang tinggi berdasarkan kepada keadaan semasa. Bukan kurang bekalan air ... ini berlaku setiap kali musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di sini hari ini.
 
Katanya, bagaimanapun pihak LAP tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan dan akan menghantar lori air ke kawasan yang mengalami masalah bekalan air.
 
"Apa pun ini amat jarang dilakukan oleh pihak LAP memandangkan kita tidak menghadapi masalah bekalan air ataupun masalah kekurangan air di empangan-empangan yang ada di negeri Perak ini," katanya.
 
Terdahulu, Zainol Fadzi berkata LAP mencatatkan peningkatan keuntungan pracukai 12.4 peratus kepada RM43.17 juta bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mei tahun ini berbanding RM38.88 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2014.
 
"Anggaran keuntungan bersih selepas cukai LAP sehingga 31 Mei 2015 setelah mengambil kira cukai pendapatan sebanyak RM3.12 juta adalah berjumlah RM40.59 juta iaitu peningkatan sebanyak 12.4 peratus," katanya.
 
Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh lapan tahun sehingga 15 Jun lepas, LAP membelanjakan RM6,072,295 bagi membiayai subsidi air untuk rakyat miskin di Perak membabitkan sebanyak 11,141 keluarga.
 
Zainol Fadzi berkata bagi subsidi untuk rumah ibadat, sebanyak 1,697 masjid atau surau mendapat manfaat, kuil (149), tokong (95) dan gereja (34).  
   
"Pemberian subsidi rumah ibadat bagi 2013 berjumlah RM119,143.20; 2014 (RM121,237.26) dan sehingga 15 Jun 2015 berjumlah RM51,450.30," katanya.
 
Sementara itu, Pengurus Besar LAP Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa berkata tiga loji akan digunakan bagi menyokong penggunaan air bersempena Aidilfitri nanti.
 
"Loji yang terlibat adalah di Selama, air terjun Taiping dan Trolak," katanya. - Bernama