Thursday, 2 July 2015

Jambatan Baru 6 Masuk Malaysia Book of Records

GERIK - Jambatan Batu 6 yang menghubungkan Gerik dengan Bandariang, di sini dianugerahkan sebagai jambatan konkrit satu rentang terpanjang di Malaysia oleh The Malaysia Book of Records, hari ini.

Pembinaan jambatan yang dimulakan pada 2013 menggunakan kaedah Ultra High Performance Concrete (UHPC) dibina dengan panjang 100 meter dan kelebaran 5 meter menyeberangi Sungai Perak.

Sijil The Malaysia Book of Records disampaikan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof kepada Pengarah Jabatan Kerjaraya Perak, Datuk Ir Safry Kamal Ahmad.

Projek yang menelan kos RM6.3 juta itu merupakan projek di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Pembinaan jambatan berteraskan teknologi terkini dan mesra alam itu juga diiktiraf sebagai jambatan terpanjang di Asia menggunakan kaedah UHPC.

SH

Perlu Perluas Bidang Diminati Masyarakat

TELUK INTAN -  Institusi Pengajian Tinggi (IPT), khususnya kolej komuniti diminta terus membuat sesi penerangan kepada masyarakat bagi mempromosi kursus pembelajaran yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, kekurangan inisiatif IPT untuk memberi penerangan kepada masyarakat Teluk Intan menyebabkan maklumat sepatutnya tidak sampai kepada golongan sasar khususnya belia.

Menurutnya,  itu menyebabkan kemudahan IPT yang sedia ada di Teluk Intan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya juga mahu Kolej Komuniti Teluk Intan mengambil inisiatif membuat perjumpaan dengan pengetua sekolah  di Parlimen ini untuk mengenal pasti pelajar berpotensi.

"Pendedahan mengenai IPT ini perlu diperluaskan skopnya supaya sampai kepada golongan sasar,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Teluk Intan, di sini, semalam.

Mohd Azhar berkata, skop pembelajaran ditawarkan perlu diperluaskan kepada bidang  diminati masyarakat.

"Ia usaha membudayakan amalan menuntut ilmu tanpa mengira usia," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Teluk Intan ditubuhkan bagi membantu keberkesanan program.

"Jawatankuasa ini berperanan sebagai badan perhubungan bagi program  kolej komuniti untuk dimanfaat kan masyarakat setempat.

“Ahli jawatankuasa penasihat ini akan bermesyuarat bagi menggembleng idea untuk memajukan IPT ini," katanya.

SH

Tetap Mengemis Walaupun Dilarang

TELUK INTAN - Merupakan klien aktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hilir Perak, malah sehingga kini masih menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 setiap seorang.

Itu penjelasan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hilir Perak, Selva Ratnam mengenai seorang warga emas dan cucunya yang mengemis di Jalan Sungai Nibong di sini hingga menjadi viral dalam laman sosial.

Menurutnya, Salasiah Darani, 87, yang mempunyai 10 anak kematian suami dan turut menerima bantuan JKM sejak 2007 hingga kini.

"Sebelum ini, suami Salasiah ada terima bantuan Baitulmal tapi ditamatkan selepas dia meninggal dunia.

"Kini kami cuba meminta Baitulmal untuk menyambung kembali bantuan tersebut untuk warga emas itu," katanya.

Mengulas mengenai cucu Salasiah, Mohd Yaser Hashim, 37, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Selva berkata, dia  didaftarkan di bawah JKM sejak kecil.

"Mohd Yaser juga ada menerima bantuan JKM sebanyak RM200 sebulan.

“Kami sudah beberapa kali menegur tindakan warga emas itu dan cucunya yang mengemis di Jalan Sungai Nibong, namun mereka tetap berdegil,” katanya.

Selva berkata,  pagi semalam, seorang daripada anak Salasiah menghubungi JKM dan bertanyakan berkenaan ibunya.

"Kita ada berikan peringatan kepada mereka. Jika Salahsiah dan Mohd Yaser masih teruskan aktiviti minta sedekah, JKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Orang Papa," katanya.

Beliau berkata, JKM mempunyai hak untuk menahan dan menempatkan mereka di rumah kebajikan untuk diberikan penjagaan  yang sewajarnya.

“Setakat ini, kita sudah beri peringatan kepada anak-anak warga emas itu untuk pastikan ibu dan anak saudara mereka tidak mengemis.

“Sekiranya, aktiviti itu masih berjalan, kami tidak teragak-agak meletakkan mereka di Rumah Orang Tua Ulu Kinta dan Rumah Sinar Harapan di Johor," katanya.

SH

Kamunting Diselubungi Asap Tebal

TAIPING – Penduduk berhampiran Kawasan Perindustrian Kamunting, di sini panik apabila asap tebal menyelubungi  ruang udara selepas longgokan sampah di sebuah tapak kitar semula di situ terbakar semalam.

Kejadian pada  ira-kira jam 1.52 petang itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran di kawasan longgokan bahan buangan seperti sampah dan plastik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abdul Sattar berkata, sebaik anggotanya tiba di lokasi kejadian, asap tebal dilihat sudah memenuhi Kawasan Perindustrian Kamunting dan lokasi sekitarnya.

Beliau berkata, bagaimanapun dalam tempoh 10 minit,  kebakaran berjaya dikawal.

“Kejadian menyebabkan berlakunya pencemaran udara di kawasan perumahan berhampiran kerana asap tebal dan hitam, kita minta mana-mana pihak tidak melakukan pembakaran secara terbuka seperti ini,” katanya.

Mohd Taufiq berkata, buat masa ini, punca kejadian masih dalam siasatan.

SH

Tiga Rumah Terbakar

KAMPAR – Gara-gara membakar sampah, dua rumah di Kampung Changkat Bendera, Malim Nawar musnah dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang kelmarin.

Difahamkan, kebakaran itu berpunca dari api sampah dibakar oleh seorang lelaki yang ditugaskan oleh tuan rumah untuk membersihkan kawasan kediaman terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd Yamin Naib berkata, empat jentera dengan kekuatan 21 anggota dikejarkan lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng turut membantu operasi pemadaman yang bermula pada kira-kira jam 6.04 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian mendapat kedua-dua rumah kayu telah 80 peratus musnah.

“Operasi diketuai Mokhtar Sudin mengambil tindakan membuat ‘size up’ memastikan tiada mangsa dan membuat pemadaman sehingga api dapat di kawal kira-kira jam 7.10 petang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Yamin berkata, anggotanya mengambil masa lebih sejam untuk mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran. Operasi tamat kira-kira jam 7.12 petang.

“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu berikutan dua rumah berkenaan adalah kosong yang sudah lama ditinggalkan. Jumlah kerugian sedang dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu di Ipoh, sebuah rumah kosong turut musnah 70 peratus di Pangkalan Gate 1, berhampiran Pasir Puteh di sini kira-kira jam 5.15 petang kelmarin.

SH

Wednesday, 1 July 2015

Kanak-kanak Menangis Ditangkap Di Ipoh



IPOH – Dua kanak-kanak perempuan lari lintang pukang selepas melihat van penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menghampiri mereka dalam Operasi Kutipan Khairat Tanpa Kebenaran yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, petang kelmarin.

Mereka turut mencampakkan beg sandang yang berisi wang kutipan derma serta barangan lain untuk menyelamatkan diri daripada dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak berusia 12 tahun itu berjaya ditahan anggota penguat kuasa di lorong belakang barisan kedai yang terletak di Persiaran Sunway City di sini.

Tinjauan Sinar Harian yang mengikuti operasi tersebut mendapati kanak-kanak terbabit dilihat sedang menunggu di hadapan bank untuk meminta derma dan menjual produk yang didakwa untuk membantu pusat tahfiz tempat mereka belajar.

Tiga lagi rakan mereka berusia 12 dan 13 tahun turut ditahan di hadapan bank sekitar Pusat Perdagangan Greentown dan Ampang kerana melakukan perkara yang sama.

Malah seorang daripadanya menangis teresak-esak kerana takut ketika disoal anggota penguat kuasa bertugas.

Difahamkan, mereka yang belajar di tempat sama, bukan berasal dari negeri ini tetapi dari Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Berdasarkan rekod, seorang daripada kanak-kanak berkenaan sebelum ini, pernah di atas kesalahan sama di Batu Gajah, tahun lalu.

Tabung derma turut dirampas

Dalam rondaan di bazar Ramadan Bercham Raya pula, seorang lelaki warga Thailand berusia 20 tahun ditahan apabila didapati mengadakan tabung kutipan derma tanpa kebenaran sah.

Tabung-tabung kutipan derma untuk pusat tahfiz dan anak yatim itu dirampas di bazar berkenaan apabila didapati nama pusat tahfiz berkenaan tiada dalam senarai kebenaran Maipk.

Pemuda terbabit ditahan kerana tidak mempunyai kebenaran sah daripada Majlis Agama Islam Perak (Maipk) untuk mengutip derma bagi pembinaan masjid di Narathiwat, Thailand.

Malah, dokumen perjalanannya juga telah tamat tempoh.

Di hadapan sebuah bank di Ampang pula, anggota penguat kuasa menahan seorang lelaki yang membuka kaunter kutipan derma untuk pembinaan bangunan anak yatim kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Jaipk siasat rangkaian

Ketua Penguatkuasa Agama Jaipk, Ahmad Nizam Amiruddin berkata, operasi tersebut diadakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Perak.

Menurutnya, seramai 20 anggota Penguatkuasa Jaipk, lima pegawai dari JKM dan Jakim terbabit dalam operasi yang diadakan sekitar bazar Ramadan, bank dan pasar raya.

“Operasi hari ini (kelmarin) tertumpu pada kutipan khairat tanpa kebenaran yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 43 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak.

“Dalam operasi ini, kita menahan empat kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun,  seorang remaja berusia 13 tahun, seorang lelaki warga Thailand berusia 20 tahun dan seorang lelaki berusia 47 tahun. Kesemua mereka ditahan bagi tujuan dokumentasi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Kita melihat modus operandi kanak-kanak terbabit seperti sindiket dan cuba cari siapa penganjur yang merancang pergerakan mereka memandangkan mereka masih di bawah umur,” katanya ketika ditemui selepas operasi selesai.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan sama ada kanak-kanak terbabit mempunyai rangkaian sama daripada negeri lain.

“Setakat ini kita belum dapat mengenal pasti sama ada kanak-kanak itu terbabit dalam satu sindiket yang mengeksploitasikan kanak-kanak dalam mencari duit,” jelasnya,

Ahmad Nizam berkata, penguatkuasaan ini akan berterusan bagi memastikan masyarakat atau sesiapa yang hendak mengutip derma agar mematuhi undang-undang yang mana setiap kutipan khairat mesti mendapat kebenaran Maipk.


SINAR HARIAN

Peniaga Bazar Ramadhan Tapah Didenda



TAPAH - Gara-gara tidak meletakkan tanda harga, seorang peniaga kuih bazar Ramadan di Sungkai dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK) Cawangan Tapah, petang kelmarin.

Ketua Cawangannya, Musa Ramli berkata, menjadi satu kesalahan jika peniaga tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijual kepada pengguna dan mereka boleh didakwa, dikenakan denda atau penjara sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kami telah memberi kompaun RM100 kepada peniaga berkenaan selain merampas makanan yang tidak diletakkan harga kerana tidak mahu mereka menjual dengan harga tidak munasabah kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Musa berkata, pada pada masa yang sama, pihaknya membuka sebuah kaunter aduan di bazar Ramadan Tapah bagi memberi ruang kepada pengguna untuk membuat aduan jika ada peniaga bazar Ramadan menjual barangan mereka dengan harga tidak munasabah.

Jelasnya, jika didapati peniaga gagal mematuhi peraturan, bagi kesalahan pertama, mereka boleh didenda kompaun RM50,000 atau penjara dua  tahun atau keduanya sekali jika didapati bersalah.

“Namun begitu, setakat ini, kami masih belum menerima apa-apa aduan daripada orang ramai mengenai harga tidak munasabah dikenakan peniaga,” katanya.

Musa berkata, pihaknya akan sentiasa memantau peniaga di kawasan bazar Ramadan di daerah Batang Padang dan surat peringatan telah diedarkan agar memastikan mereka mematuhi peraturan.



SINAR HARIAN

Meninggal Tak Sempat Berbuka Puasa



GUNUNG SEMANGGOL - Niat seorang lelaki mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah motosikal lain dalam kejadian kemalangan di Kilometer 13, Jalan Kerian-Semanggol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 6.37 petang, mangsa, Saiji Daud, 55, tercampak ke atas jalan sejurus dirempuh motosikal ditunggang seorang remaja berusia 15 tahun.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Semanggol menghala Taiping dikatakan cuba membelok ke kanan untuk pergi mengisi minyak di stesen berhampiran lokasi kejadian.

“Sewaktu mangsa membelok ke kanan, sebuah motosikal jenis Yamaha LC ditunggang seorang remaja dipercayai hilang kawalan dan merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua penunggang tercampak ke permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa segera dibawa ke klinik kesihatan berhampiran namun Saiji meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik berkenaan

Jelasnya, bagaimanapun, remaja berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping akibat mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan termasuk patah tangan dan kaki kanan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mencari punca sebenar kemalangan,” katanya.

Sementara itu, saksi dikenali sebagai  Hassan, 67, berkata, ketika kejadian dia sedang mengisi minyak motosikalnya di stesen berdekatanan dan terkejut melihat dua motosikal berkenaan berlanggar.

“Salah seorang mangsa mengalami pendarahan serius dan tidak sedarkan diri manakala seorang lagi iaitu remaja berusia 15 tahun mengerang kesakitan berikutan tangan serta kakinya dipercayai patah.

“Saya bersama beberapa penduduk segera membawa mereka ke klinik kesihatan berhampiran menggunakan kenderaan orang awam namun mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik sewaktu tiba di klinik terbabit,” katanya.


SINAR HARIAN

Tuesday, 30 June 2015

HRPB Tawar Pembedahan Bariatrik



IPOH - Malaysia antara negara yang mempunyai paling ramai penduduk dengan berat badan berlebihan di Asia dengan 45.3 peratus penduduknya mengalami berat badan berlebihan, diikuti Korea Selatan (33.2 peratus), Pakistan (30.7 peratus) dan China (28.3 peratus).

Bagi mengatasi masalah itu, Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) menawarkan pembedahan bariatrik diuruskan Pakar Perunding Bedah Endokrin dan Bariatrik Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB), Dr  M Kirubakaran.
Kirubakaran berkata, kaedah bariatrik  dapat membantu mengurangkan berat badan dengan cara sihat dan berkesan.

“Bariatrik adalah teknik pembedahan bertujuan mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik dan pembuangan sebahagian daripada perut. 

"Ia mengurangkan isi padu perut dan pemintasan usus kecil untuk mengurangkan penyerapan seperti lemak dan gula," katanya.
Beliau berkata, kaedah itu dilakukan menerusi kaedah laparoskopi dan tujuan utama adalah menurunkan berat badan selain mengekalkan penurunannya untuk jangka lama. 

Jelasnya, dengan cara itu akan dapat membantu mengurang dan memulihkan masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi serta  kolesterol.
"Banyak faktor perlu diambil kira oleh panel doktor dan pesakit sebelum menjalani pembedahan itu seperti kedudukan kewangan, logistik, sokongan keluarga, keadaan kesihatan, kecergasan dan pelbagai lagi.

“Pembedahan bariatrik dicadangkan kepada mereka yang sudah mencuba pelbagai kaedah menurunkan berat badan termasuk bersenam dan mengambil ubat kurus, tetapi tidak berjaya," katanya.

Kirubakaran berkata, fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar tampak kurus tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti punca pelbagai penyakit kronik.

Menurutnya, individu obesiti mungkin akan berasa sedikit lega kerana mereka mempunyai satu lagi pilihan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik iaitu dengan menjalani pembedahan bariatrik.

“Selain Hospital Taiping, HRPB menawarkan pembedahan bariatrik dan pesakit boleh datang ke Pusat Rawatan harian HRPB pada setiap hari Khamis dari jam 2 hingga 5 petang.

“Walaupun masih baharu, namun kami memberikan komitmen menyeluruh untuk memastikan pesakit mendapat perhatian sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembedahan berkenaan dibuat,” katanya.

Beliau turut menambah pesakit yang konsisten dengan rawatan susulan serta mengikut rejim diet yang disarankan pakar diet dan bersenam, mereka berpotensi untuk sembuh dengan segera.


SINAR HARIAN

Kolej Taj Selamatkan 20 Pelajar India



IPOH - Kira-kira 20 pelajar yang mendakwa ditipu pengurusan dalaman sebuah kolej swasta di sini kini lega selepas Kolej Antarabangsa Taj (TIC) tampil menghulurkan bantuan dengan menyediakan tempat untuk mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, wakil pelajar telah hadir ke TIC dan memaklumkan kepada pihak pengurusan untuk mereka ditempatkan di kolej berkenaan bagi menghabiskan pengajian di peringkat sijil.

Menurutnya, pihaknya tiada halangan untuk membantu menyelesaikan masalah pelajar berkenaan memandangkan mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan.

“Mereka bukan sahaja dibantu dari sudut penempatan pengajian malah kita turut membantu mereka dari segi pembiayaan dan kewangan.

“Bagi masalah yang dihadapi semua pelajar ini, pihak TIC telah menyediakan satu pakej khas pembiayaan membolehkan mereka menyambung pengajian. Ini merupakan salah satu khidmat masyarakat TIC kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tina berkata, bantuan seumpama itu bukan kali pertama dilakukan TIC sebaliknya, kolej berkenaan sudah beberapa kali membantu pelajar kolej swasta yang menghadapi masalah sama.

Jelasnya, sehingga kini kira-kira 250 pelajar yang berhadapan masalah seperti itu sudah dibantu termasuk pelajar dari Sabah dan Sarawak.
"Kesemua pelajar berkenaan akan mula mendaftar pada 1 Julai nanti dengan mengikuti dua program sijil iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Automotif dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengurusan Hotel selama satu  hingga dua tahun.

Sementara itu, seorang pelajar berkenaan, S Kasturi, 21, berkata, dia mewakili rakan-rakan yang lain sangat gembira apabila hasrat untuk meneruskan pengajian mereka tercapai.

Katanya, turut gembira dengan perkhabaran tersebut adalah ibu bapa yang sebelum ini sangat bimbangkanmasa depan anak-anak mereka yang tidak dapat menyambung pelajaran.

“Kini saya dan rakan-rakan dah boleh sambung belajar semula. Semua bayaran pengajian ditanggung dan tiada apa lagi yang perlu dirisaukan.
“Kami akan belajar bersungguh-sungguh untuk pastikan impian dan cita-cita kami berjaya,” katanya.

Sebelum ini, 20 pelajar berkenaan berkumpul secara aman membuat bantahan terhadap pengurusan kolej swasta yang didakwa menipu mereka selain menjanjikan peluang pekerjaan.

SINAR HARIAN


Monday, 29 June 2015

Paras Air Empangan Tidak Terjejas

IPOH - Paras air di semua empangan di Perak tidak terjejas setakat ini meskipun cuaca panas sejak dua minggu lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau berkata, setakat ini tidak berlaku pengurangan air di semua empangan berkenaan.
 
"Cuma yang sering kali timbul pada musim perayaan adalah penggunaan air yang tinggi berdasarkan kepada keadaan semasa. Bukan kurang bekalan air ... ini berlaku setiap kali musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di sini hari ini.
 
Katanya, bagaimanapun pihak LAP tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan dan akan menghantar lori air ke kawasan yang mengalami masalah bekalan air.
 
"Apa pun ini amat jarang dilakukan oleh pihak LAP memandangkan kita tidak menghadapi masalah bekalan air ataupun masalah kekurangan air di empangan-empangan yang ada di negeri Perak ini," katanya.
 
Terdahulu, Zainol Fadzi berkata LAP mencatatkan peningkatan keuntungan pracukai 12.4 peratus kepada RM43.17 juta bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mei tahun ini berbanding RM38.88 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2014.
 
"Anggaran keuntungan bersih selepas cukai LAP sehingga 31 Mei 2015 setelah mengambil kira cukai pendapatan sebanyak RM3.12 juta adalah berjumlah RM40.59 juta iaitu peningkatan sebanyak 12.4 peratus," katanya.
 
Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh lapan tahun sehingga 15 Jun lepas, LAP membelanjakan RM6,072,295 bagi membiayai subsidi air untuk rakyat miskin di Perak membabitkan sebanyak 11,141 keluarga.
 
Zainol Fadzi berkata bagi subsidi untuk rumah ibadat, sebanyak 1,697 masjid atau surau mendapat manfaat, kuil (149), tokong (95) dan gereja (34).  
   
"Pemberian subsidi rumah ibadat bagi 2013 berjumlah RM119,143.20; 2014 (RM121,237.26) dan sehingga 15 Jun 2015 berjumlah RM51,450.30," katanya.
 
Sementara itu, Pengurus Besar LAP Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa berkata tiga loji akan digunakan bagi menyokong penggunaan air bersempena Aidilfitri nanti.
 
"Loji yang terlibat adalah di Selama, air terjun Taiping dan Trolak," katanya. - Bernama 

Syukur Rumah Siap Dibaik Pulih

IPOH - “Syukur pada ALLAH SWT. Terima kasih orang Kampung Temiang. Terima kasih untuk semua!” luah mangsa ribut, Amron Ramli, 60, bagi menggambarkan penghargaannya sekeluarga terhadap segala bantuan yang diterima bagi membaik pulih rumah mereka yang rosak teruk dihempap pokok besar dalam kejadian 21 April lalu.

Dalam kejadian dua bulan lalu itu, bahagian siling dan dinding di bahagian tepi rumah mangsa mengalami kerosakan.

Menurut Amron yang juga pesara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), bantuan yang diberikan itu membolehkan keluarganya kembali mendiami rumah berkenaan sekali gus dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut kemeriahan Aidilfitri di rumah sendiri.

“Syukur pada ALLAH, rumah saya ini dapat dibaik pulih mengikut tempoh masa ditetapkan. Dapatlah kami sambut Ramadan dan seterusnya berhari raya di rumah ini.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat, Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKK) Kampung Temiang; MBI; Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Amron berkata, masih ada barang seperti pakaian yang perlu dikemas selain menyusun semula perabot selepas rumah itu siap dibaik pulih.

“Sekarang, saya dan isteri sibuk mengemas rumah. Nak pilih baju dan mana-mana kain, selebihnya kami bercadang untuk sedekahkan saja.“Malah, saya juga sibuk membersihkan kawasan halaman rumah yang dipenuhi sampah, terutama serpihan batu bata dan sisa lain disebabkan ribut,” katanya.

Menurutnya, jumlah kerugian sebenar akibat kejadian ribut berkenaan tidak dapat dianggarkan.

“Kita pun tak tahu berapa jumlah sebenar kerugian yang dialami, susah kita nak agak. Yang pasti banyak perkakas seperti perabot, almari yang pecah.

"Tapi, saya bersyukur sebab tiada ahli keluarga yang cedera. Alhamdulillah, semua terselamat dalam bencana itu," katanya.

Sementara itu, isterinya, Khadijah Yusof 61, berkata, turut bersyukur kerana semua ahli keluarganya, termasuk cucu mereka terselamat dan dapat mendiami semula rumah berkenaan.

"Alhamdulillah, rumah ini dapat disiapkan dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama, sempat untuk kami sekeluarga sambut bulan puasa dan raya tak lama lagi.

“Terima kasih kepada JKKK Kampung Temiang dan TNB kerana melakukan kerja pendawaian semula di rumah ini, terima kasih semuanya,” katanya.

SH

Eksport Durian ke China

BUKIT GANTANG – Akibat lambakan buah durian sempena Ramadan, seorang pemborong durian di sini, mengambil inisiatif mengatasinya dengan mengeksport buah itu ke China.

Mazuki Yusuf, 49, berkata, dia memasarkan durian khususnya dari Bukit Gantang ini dengan cara mengambil isi-isi durian sahaja untuk di eksport.
Menurutnya, isi durian ini dieksport bagi tujuan pembuatan kuih perasa durian di China.

"Buah durian memang ada permintaan di China dan inilah peluang yang perlu direbut bagi mempromosikan produk tempatan kepada negara luar,” katanya.

Dalam pada itu, Mazuki berkata, tahun ini, sambutan terhadap buah durian agak berkurangan dan keadaan tersebut mungkin disebabkan bulan puasa.

"Kebiasaannya buah durian Bukit Gantang memang menjadi rebutan bukan sahaja penduduk sekitar tetapi pengunjung luar, namun tahun ini ia agak berkurangan," katanya.

Katanya, keseluruhan durian yang dikumpulkan di kawasan ini adalah hasil dari kebun-kebun penduduk Bukit Gantang.

“Di kawasan Bukit Gantang terdapat pelbagai jenis durian yang ditanam antaranya durian kampung dan yang paling digemari musang king merangkumi pelbagai gred," katanya.

SH

Gelung Punca Banjir

KAMUNTING – Penduduk Kampung Teratai Tambahan, dekat sini, menggesa pihak berkenaan mengkaji semula kedudukan dua gelung di Sungai Malai yang didakwa menjadi punca banjir di kawasan tersebut.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohamad Rizal Mohamad Hamdan berkata, gelung itu sudah tidak mampu menampung air terutama ketika hujan lebat.

Menurutnya, selain tidak mampu menampung air yang banyak, kedudukan gelung itu juga menyebabkan aliran air menjadi sempit.

"Akibat masalah ini, penduduk di sini terpaksa berhadapan dengan bencana banjir sejak enam tahun lalu,” katanya.

Mohamad Rizal berkata, rata-rata penduduk juga berpendapat, gelung tersebut dipasang tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Sepatutnya gelung yang dipasang akan melancarkan laluan air, tapi tidak di sini.

"Setiap kali hujan, rumah penduduk yang berdekatan sungai pasti akan ditenggelami air," katanya.

Dalam pada itu, katanya, penduduk di sini juga berpendapat kawasan tersebut perlu dibina jambatan bagi melancarkan aliran air.

“Hal ini kerana, walaupun ketika ini diletakkan dua gelung, namun ia masih belum mampu untuk menampung aliran air yang banyak ketika hujan lebat.

“Tetapi sekiranya jambatan dibina, ia mungkin akan lebih memudahkan aliran air kerana tidak ada sebarang sekatan,” katanya.

SH

Kerajaan Akan Terus Bantu TLDM

LUMUT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk terus membangun sebagai satu angkatan berwibawa yang boleh dibanggakan.

Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan peralatan yang mampu mempermodenkan TLDM agar mencapai tahap kesiapsiagaan yang tinggi dan kemampuan tempur yang tinggi.

"Apa sahaja yang kita buat untuk kebajikan anggota TLDM dan membina kemampuan TLDM sudah tentu keputusan tepat dan berbaloi," katanya selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM di sini, malam ini.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada pasukan TLDM atas kejayaan pasukan keselamatan itu menawan semula kapal tangki MT Orkim Harmony yang ditawan lanun baru-baru ini.

Beliau juga amat memahami tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul anggota TLDM untuk menjamin keselamatan dan keamanan tanah air.

"Saya juga amat sedar bahawa tanggungjawab tuan-tuan amat berat tidak kira waktu dan masa, orang lain mungkin waktu Ramadan dan Hari Raya mereka boleh bersama keluarga tetapi sebahagian tuan-tuan sudah tentu akan berada di barisan hadapan untuk menjalani tugas.

"Saya juga amat memahami bagaimana perasaan isteri tersayang dan anak tercinta yang tidak dapat berhari raya dengan suami dan bapa mereka kerana terpaksa menjalankan tugas agar rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman damai serta tidur lena.

"Inilah yang dikatakan harga keamanan atau 'the price of peace' dan harga keamanan ini terpaksa kita bayar dan tuan-tuanlah yang sanggup membayar harga keamanan untuk (dinikmati) 28 juta rakyat Malaysia," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.5 juta bagi membangunkan semula Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM Lumut bagi menambah kapasiti jemaah.

"Sebagai mengenang jasa tuan-tuan untuk nusa dan bangsa, malam ini dan pada bulan yang penuh barakah ini, saya rasa amat wajar saya umumkan kelulusan (peruntukan ini) dengan tujuan untuk membangunkan semula masjid TLDM supaya kapasiti lebih luas untuk menampung 3,000 orang kepada 5,000 orang selain mengindahkan lagi masjid ini supaya tuan-tuan dapat beribadah dengan lebih selesa," katanya.

Sementara itu, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam ucapannya berkata bagi pihak pasukan keselamatan berkenaan, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas RM500 kepada penjawat awam sempena Syawal.

Selain itu, katanya sebagai tentera yang diamanahkan menjaga keamanan dan kedaulatan negara, mereka akan terus memikul tanggungjawab itu sehingga ke titisan darah terakhir.

Terdahulu, seramai 3,000 warga TLDM turut menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama-sama Najib.

Sebelum itu, Najib menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Afifah Batu 3, Segari.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mstar