Wednesday, 8 July 2015

#TPRNews : Najib Saman Wall Street Journal

Menurut sumber yang diperoleh, pasukan guaman Dato' Sri Najib telah mengeluarkan surat bertarikh 8 Julai 2015 kepada Wall Street Journal (WSJ) berhubung dua artikel berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri Malaysia tersebut. Surat tersebut dikeluarkan oleh Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menamakan Lembaga Pengarah Dow Jones & Company, Inc sebagai penerima surat guaman tersebut.

Surat tersebut menyatakan bahawa artikel yang ditulis oleh Simon Clark dan Tm Wright di dalam WSJ yang bertajuk "Malaysia Leader's Account Probed" yang diterbitkan pada 2 Julai 2015 dan "Scandal In Malaysia" yang diterbitkan pada 6 Julai 2015. Menurut surat itu lagi, peguam Dato' Sri Najib telah diarahkan untuk mendapatkan kepastian daripada WSJ adakah pendirian mereka di dalam artikel tersebut yang menyatakan bahawa Dato' Sri Najib telah menerima hampir USD 700juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak peguam Dato' Sri Najib juga menyebut bahawa arahan tersebut adalah kerana penulis tidak pasti sumber wang tersebut dan apakah yang terjadi kepada wang tersebut pada akhirnya. Walhal, keseluruhan artikel tersebut telah menampakkan secara jelas bahawa wang hampir USD 700 juta telah diterima oleh Dato' Sri Najib yang dimiliki oleh 1MDB. Surat tersebut juga menyatakan bahawa dakwaan WSJ diambil serius dan tindakan undang-undang akan diambil.

Peguam Dato' Sri Najib juga meminta jawapan dalam masa 14 hari bermula pada tarikh surat tersebut dan memaklumkan sekiranya WSJ telah melantik peguam di Malaysia bagi mewakili syarikat dan juga penulis artikel tersebut.

Bagi mereka yang bertanyakan samada Dato' Sri Najib akan mengambil tindakan undang-undang atau tidak terhadap WSJ, inilah jawapan kepada persoalan tersebut. Kes ini akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya WSJ menjawab bahawa dakwaan mereka bahawa Dato' Sri Najib menerima hampir USD 700 juta adalah benar-benar dimaksudkan oleh WSJ ataupun tidak.

Sudah tentu sekiranya WSJ menjawab bahawa dakwaan tersebut bukanlah maksud mereka, maka artikel tersebut akan ditarik balik dan kredibiliti WSJ akan tercalar. Pada masa yang sama, Dato' Sri Najib sudah tentu akan dapat membersihkan nama beliau sekaligus menolak segala persepsi buruk dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau selama ini. 

Sunday, 5 July 2015

Bukti Asas Ekonomi Kukuh

PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengumuman penarafan terbaharu oleh agensi antarabangsa, Fitch Ratings yang menyemak naik unjuran Malaysia kepada stabil memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu menandakan asas ekonomi yang kukuh sekali gus menunjukkan dasar-dasar dilaksanakan pentadbiran negara membawa kebaikan sehingga badan antarabangsa seperti Fitch Ratings menambah penilaian dan keyakinan mereka.

“Ini bererti dasar kepemimpinan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjaya menambah keyakinan badan itu.

“Kesannya ialah apabila ekonomi negara lebih kukuh, hasil negara juga bertambah. Lebih mudah dan mampu kerajaan untuk melaksanakan pembangunan pesat dan menyeluruh sehingga ke setiap ceruk negara mendapat nikmat daripada projek yang akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada warga emas di Masjid Kampung Merchong, Bebar di sini hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, sebagai seorang pemimpin, beliau sentiasa melakukan yang terbaik untuk membangunkan negara dan menentukan rakyat dapat hidup dengan punca rezeki yang bertambah serta kemudahan asas ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Kata beliau, semua itu boleh dilakukan jika dasar negara dapat dilaksanakan dengan membawa Malaysia ke arah masa depan lebih cemerlang dan asas ekonomi negara lebih kukuh.

Perdana Menteri berkata, beliau dapat melihat kemajuan yang dinikmati penduduk umpamanya di daerah ini dengan kewujudan rumah, masjid baharu dan projek agropolitan.

“Ini adalah tanda kejayaan kita tetapi tidak mungkin dapat dilakukan jika urus tadbir negara lemah. Kalau tidak mendapat keyakinan daripada badan penarafan seperti Fitch Ratings, sudah tentu kemampuan kerajaan akan terjejas.

“Saya harap anda semua yakin kepada kerajaan dan yakin kepada saya,” katanya.

Terdahulu, Najib meluangkan masa menghadiri Program Mengacau Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) dan Pertubuhan Ibu Tunggal Daerah Pekan di kediamannya di Seri Kenangan di sini.

Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 5.35 petang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun serta pimpinan UMNO bahagian.

Selain beramah mesra, Najib dan isteri turut meluangkan masa mengacau bubur lambuk pada program berkenaan.

Sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk disediakan untuk diedarkan kepada anak yatim dan ibu tunggal di sekitar daerah ini.

Sementara itu, Perdana Menteri menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Ar-Rahmah Kampung Pasir Panjang dan menyampaikan sumbangan kepada 48 warga emas di kampung berkenaan selepas itu.

UM

Monday, 29 June 2015

Kerajaan Akan Terus Bantu TLDM

LUMUT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk terus membangun sebagai satu angkatan berwibawa yang boleh dibanggakan.

Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan peralatan yang mampu mempermodenkan TLDM agar mencapai tahap kesiapsiagaan yang tinggi dan kemampuan tempur yang tinggi.

"Apa sahaja yang kita buat untuk kebajikan anggota TLDM dan membina kemampuan TLDM sudah tentu keputusan tepat dan berbaloi," katanya selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM di sini, malam ini.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada pasukan TLDM atas kejayaan pasukan keselamatan itu menawan semula kapal tangki MT Orkim Harmony yang ditawan lanun baru-baru ini.

Beliau juga amat memahami tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul anggota TLDM untuk menjamin keselamatan dan keamanan tanah air.

"Saya juga amat sedar bahawa tanggungjawab tuan-tuan amat berat tidak kira waktu dan masa, orang lain mungkin waktu Ramadan dan Hari Raya mereka boleh bersama keluarga tetapi sebahagian tuan-tuan sudah tentu akan berada di barisan hadapan untuk menjalani tugas.

"Saya juga amat memahami bagaimana perasaan isteri tersayang dan anak tercinta yang tidak dapat berhari raya dengan suami dan bapa mereka kerana terpaksa menjalankan tugas agar rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman damai serta tidur lena.

"Inilah yang dikatakan harga keamanan atau 'the price of peace' dan harga keamanan ini terpaksa kita bayar dan tuan-tuanlah yang sanggup membayar harga keamanan untuk (dinikmati) 28 juta rakyat Malaysia," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.5 juta bagi membangunkan semula Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM Lumut bagi menambah kapasiti jemaah.

"Sebagai mengenang jasa tuan-tuan untuk nusa dan bangsa, malam ini dan pada bulan yang penuh barakah ini, saya rasa amat wajar saya umumkan kelulusan (peruntukan ini) dengan tujuan untuk membangunkan semula masjid TLDM supaya kapasiti lebih luas untuk menampung 3,000 orang kepada 5,000 orang selain mengindahkan lagi masjid ini supaya tuan-tuan dapat beribadah dengan lebih selesa," katanya.

Sementara itu, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam ucapannya berkata bagi pihak pasukan keselamatan berkenaan, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas RM500 kepada penjawat awam sempena Syawal.

Selain itu, katanya sebagai tentera yang diamanahkan menjaga keamanan dan kedaulatan negara, mereka akan terus memikul tanggungjawab itu sehingga ke titisan darah terakhir.

Terdahulu, seramai 3,000 warga TLDM turut menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama-sama Najib.

Sebelum itu, Najib menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Afifah Batu 3, Segari.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mstar

Thursday, 18 June 2015

Najib Ucap Tahniah Kepada Kontinjen Malaysia Di Sukan Sea 2015

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan syabas kepada atlet Malaysia di atas kejayaan meraih 186 pingat - 62 emas, 58 perak, 66 gangsa - pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Najib menerusi catatan terbaru di laman Facebooknya, berkata pencapaian kali ini lebih baik daripada Sukan SEA 2011 di Indonesia dengan pungutan 59 emas dan Sukan SEA 2013 di Myanmar dengan 43 emas.

"Kita pergi ke Singapura dengan sasaran untuk membawa pulang 184 pingat tetapi Alhamdulillah mendapat 186 pingat.

"Setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet dan pegawai. You made all of us and your country proud. Thank you (Anda membuat kami semua dan negara anda berasa bangga. Terima kasih)," katanya.

Kejayaan kontinjen negara pada temasya sukan di Singapura itu merupakan pencapaian kedua terbaik di luar Kuala Lumpur selepas edisi 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia meraih 68 pingat emas.

Malaysia pernah muncul juara keseluruhan pada edisi 2001 yang dianjurkan di Kuala Lumpur, dengan kutipan 111 pingat emas, 98 perak dan 68 gangsa.

Astro Awani