Monday, 6 July 2015

Meninggal selepas tujuh jam

Kota Kinabalu: Selepas bertarung nyawa hampir tujuh jam, pemain Piala Presiden Sabah, Ak Mohd Farris Mahamud, 21, yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 3.5 Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, disahkan meninggal dunia, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa disahkan meninggal dunia 8.37 malam tadi selepas menerima rawatan.
"Mangsa dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) petang tadi, selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan 1.30 petang.
"Pada 8.37 malam tadi, Farris disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kejadian 1.30 petang itu, kereta jenis Honda Civil yang dipandu mangsa bersama bekas penyerang Harimau Muda Md Rozaimi Abdul Rahman dalam perjalanan dari Inanam menghala ke pusat bandar raya sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok, tiang telefon dan tembok konkrit.
Akibat kejadian itu, Farris dan Rozaimi yang mengalami kecederaan parah dibahagian kepala kemudian dikejarkan ke HEQ II untuk rawatan lanjut.
HM

AS Juara Piala Dunia Wanita 2015

VANCOUVER: Amerika Syarikat (AS) menggondol Piala Dunia Wanita 2015 selepas menewaskan penyandang juara, Jepun 5-2 pada perlawanan final di BC Place, di sini sebentar tadi.

AS terlebih dahulu mencipta kejutan apabila mendahului seawal minit ke-3 menerusi kaptennya, Carli Lloyd dan lebih manis lagi dia merakam hatrik dalam masa hanya 16 minit.

Gol kedua Lloyd menyusul pada minit ke-5 dan sebelum rakan sepasukan, Lauren Holidau menyumbat gol ketiga pada minit ke-14.

Kemudian giliran Llyod menyudahkan hatriknya pada minit ke-16.

Sebelum tirai separuh masa kedua ditutup, Jepun bangkit untuk meledak gol pertama mereka menerusi Yuki Ogimi pada minit ke-27 untuk menjadikan kedudukan 4-1. 

Masuk babak kedua, kesilapan hantaran belakang Julie Johnston pada minit ke-52 menyebabkan bola masuk ke gawang sendiri, namun AS terus mengasak untuk memperoleh gol kelima pada minit ke-54 menerusi Tobin Heath. 

Gol Jepun: Julie Johnston (gol sendiri m52; Yuki Ogimi, m27 

Gol AS: Carli Lloyd, m2, m5, m16; Lauren Holiday m14; Tobin Heath m54. - AFP


Sunday, 5 July 2015

T-Team dituntut beraksi lebih baik lawan Kedah

KUALA TERENGGANU – Pengendali T-Team, Tomislav Steinbruckner tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun gagal melebarkan rekod sepuluh kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas terikat 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya kelmarin.

Jelas Steinbruckner, keputusan seri itu bukan sesuatu yang sukar diterima memandangkan pasukannya terpaksa beraksi di gelanggang luar tanpa kelibat dua pemain tonggak di bahagian te­ngah iaitu Norhakim Hassan dan Badrul Hisham Morris.

Katanya, ketiadaan kedua-dua pemain tonggak itu sedikit seba­nyak menyukarkan T-Team untuk melebarkan rekod kemenangan mereka, selain terpaksa meme­nuhi harapan tinggi daripada semua pihak khususnya peminat yang mahu melihat pasukan itu mengekalkan rentak kemenangan berturut-turut sepanjang musim ini.

“Pada masa yang sama, kami juga amat memerlukan pemain import baharu yang boleh menggantikan kapten kami, David (Oniya) yang meninggal dunia lebih dua minggu lalu seberapa segera. Sudah empat perlawanan kami lalui sejak pemergian beliau,” katanya.

Dalam perlawanan kelmarin, pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain dari Brazil, Hilton Moreira pada minit ke-23 sebelum ayam tambatan T-Team, Farhod Tdjiev menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-31.

Gol tersebut merupakan yang ke-15 oleh pemain dari Uzbekistan itu, sekali gus mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini.

Dalam pada itu, Steinbruckner berkata, keputusan seri 1-1 ketika menentang skuad Pulau Mutiara itu menyebabkan kedudukan T-Team selaku pendahulu liga kini mulai goyah apabila hanya dibezakan dengan dua mata dengan pasukan di anak tangga kedua, Kedah.
“Jadi, kami akan menunggu kedatangan Kedah Selasa ini (di Kuala Terengganu) dan berharap dapat mengulangi persembahan terbaik kami se­perti sebelum ini.

“Berita baiknya dalam perlawanan itu nanti ialah kami berkemungkinan besar akan dapat menggunakan kembali khidmat kedua-dua pemain tengah itu (Norhakim dan Badrul Hisham) yang semakin pulih daripada kecederaan,” ujarnya.

T-Team dan Kedah terikat tanpa jaringan dalam pusingan pertama liga di Alor Setar pada 20 Februari lalu.

 UM

Peru ulangi pencapaian tempat ketiga

CONCEPCION – Paolo Guerrero menyumbat satu gol untuk membantu Peru memenangi tempat ketiga Copa America semalam sekali gus mengekalkan pemain itu dalam persaingan merebut anugerah penja­ring terbanyak kejohanan.

Penyerang Flamengo itu, yang juga penjaring terbanyak Copa America pada 2011, menyumbat gol keempatnya dalam kejohanan ini pada penghujung perlawanan untuk membantu Peru menang 2-0 ke atas Paraguay.

Gol tersebut menyaksikan Guerrero menyamai jumlah gol penjaring terbanyak Chile, Eduardo Vargas yang memiliki kesempatan untuk menambah jaringan apabila menentang Argentina dalam perlawanan akhir (pukul 4 pagi tadi waktu Malaysia).

“Objektif untuk sampai ke peringkat kalah mati telah tercapai. Diharap rakyat Peru berasa bangga di atas usaha hebat ini.

“Kemenangan ini sangat penting. Kami tahu Paraguay merupakan salah satu pasukan terkuat, namun kami perlu bertenang dan mengawal bola dengan baik. Malah, gol pertama banyak membantu kami.

“Kejayaan ini didedikasikan kepada semua keluarga kami,” kata Guerrero.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang telah menjaringkan 25 gol antarabangsa, kini berada hanya satu gol untuk menyamai rekod kebangsaan milik legenda Peru, Teofilo Cubillas yang melakukan 26 jaringan.

Gol pembukaan Peru semalam hadir menerusi Andre Carrillo pada minit ke-48 yang berpunca daripada sepakan sudut yang ditanduk oleh pemain tengah Christian Cueva, tetapi berjaya dihalang oleh penyerang Paraguay, Raul Bobadilla.

Bola bagaimanapun sampai kepada Carrillo dan pemain berusia 24 tahun itu melepaskan sepakan voli untuk menumpaskan penjaga gol Justo Villar.

Paraguay, yang kalah teruk 1-6 kepada Argentina di separuh akhir, cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi penyerang Edgar Benitez, namun berjaya dihadang oleh pemain tengah Carlos Ascues.

Kejayaan Peru semalam menyaksikan mereka mengulangi pencapaian yang sama dalam Copa America edisi empat tahun lalu. – AFP

Thursday, 18 June 2015

Najib Ucap Tahniah Kepada Kontinjen Malaysia Di Sukan Sea 2015

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan syabas kepada atlet Malaysia di atas kejayaan meraih 186 pingat - 62 emas, 58 perak, 66 gangsa - pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Najib menerusi catatan terbaru di laman Facebooknya, berkata pencapaian kali ini lebih baik daripada Sukan SEA 2011 di Indonesia dengan pungutan 59 emas dan Sukan SEA 2013 di Myanmar dengan 43 emas.

"Kita pergi ke Singapura dengan sasaran untuk membawa pulang 184 pingat tetapi Alhamdulillah mendapat 186 pingat.

"Setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet dan pegawai. You made all of us and your country proud. Thank you (Anda membuat kami semua dan negara anda berasa bangga. Terima kasih)," katanya.

Kejayaan kontinjen negara pada temasya sukan di Singapura itu merupakan pencapaian kedua terbaik di luar Kuala Lumpur selepas edisi 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia meraih 68 pingat emas.

Malaysia pernah muncul juara keseluruhan pada edisi 2001 yang dianjurkan di Kuala Lumpur, dengan kutipan 111 pingat emas, 98 perak dan 68 gangsa.

Astro Awani

Sunday, 14 June 2015

Isu Farah Ann: 'Gimnastik Bukan Untuk Wanita Islam' - Mufti Perak

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu beragama Islam tidak boleh sewenang-wenangnya mempertikaikan hukum menunjukkan aurat kepada bukan muhrim yang sudah jelas termaktub di dalam al-Quran dan Hadis termasuk larangan membuka aurat di dalam isu sukan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, isu itu seharusnya sudah jelas sejak berzaman dan tidak terlalu terikut-ikut dengan konsep serta cara pemakaian yang diperkenalkan negara Barat.

"Gimnastik bukan untuk wanita Islam, menunjukkan aurat dan bentuk tubuh badan sudah jelas haram hukumnya bagi mereka. Jika mahu juga menyertainya, gimnas berkenaan perlu mencari serta memakai pakaian yang menutup aurat dan sekali gus mungkin tidak sesuai dengan sukan berkenaan.

"Memang itu yang seharusnya, bukan sahaja gimnas, ia termasuk sukan lain seperti bolasepak kepada lelaki, sepatutnya seluar melepasi paras lutut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Harussani mengulas sikap pengguna media sosial yang menyelar gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi selepas gambarnya dimuat naik di laman Facebook sebuah stesen televisyen dengan dengan penampilan pakaian ketat gimnastik yang dikatakan menampakkan lurah faraj.

Aurat merupakan bahagian badan yang tidak boleh dilihat oleh orang ramai (seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan bagi perempuan dan di antara pusat dgn lutut bagi lelaki) menurut hukum Islam.

Sebelum ini, Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM) Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor meminta masyarakat bersikap adil terhadap gimnas berusia 21 tahun itu yang dikatakan memuat naik gambar menunjukkan lurah farajnya setelah memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Singapura baru-baru ini.

Kata Dr. Mariani, sifat menghentam dan suka melihat keburukan orang lain dilihat satu fenomena biasa yang berniat sengaja untuk tujuan sensasi.

Dalam pada itu, ketika ditanya reaksi pengguna media sosial yang mempertikaikan pemakaian Farah, ini kata Dr Harussani;

"Mereka itu kurang bijak kerana suka mempertikaikan isu yang sudah jelas dalam hukum Islam, jangan bermain dengan hukum Islam, agama tidak pernah kata kita boleh menunjukkan aurat kepada orang."

Terbaharu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di dalam catatan Twitternya meminta masyarakat tidak mengganggu Farah dan menyatakan biar tuhan sahaja yang menghakiminya.

Astro Awani