Thursday 16 July 2015

AIDILFITRI YANG SURAM WARGA PEKITA

Antara warga emas yang menetap di Pekita.


IPOH – Kehadiran Aidilfitri dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia bagi merayakannya bersama keluarga, saudara mara dan rakan-rakan.

Namun, bagi penghuni di Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua (Islam) Titian Abadi (Pekita), Aidilfitri kali ini disambut suram oleh mereka.

Ini kerana ada di antara penghuni rumah itu tinggal sebatang kara atau telah diabaikan ahli keluarga.

Sinar Harian berkesempatan menyelami hati penghuni Pekita, dengan senang hati mereka menceritakan perasaan yang dirasai mereka ketika ini.

Penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, dia sudah tinggal di Pekita selama empat tahun dan dia gembira dapat bersama rakan-rakan di situ.

Dia yang tidak pernah berkahwin berasa sedih setiap kali mengenangkan nasib penghuni yang tidak mempunyai anak dan nasib sepertinya.

"Pakcik berharap ahli keluarga dan saudara mara yang menghantar ahli keluarga mereka ke rumah jagaan ini tidak melupakan mereka pada Aidilfitri kali ini, sekali gus menceriakan sambutan perayaan tersebut bersama kami di sini.

“Pakcik tak ada siapa-siapa, anak pun takda, cuma ada saudara mara namun dah lama tak jumpa. Walaupun sudah biasa, dah terpaksa duduk di sini, apabila dengar cerita kawan-kawan lain, sedih juga bila mereka pun sama nasib macam pakcik, ahli keluarga tak datang jenguk pada hari raya,” katanya.

Zamimah pula berkata, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan hiba apabila ditanya siapakah yang paling dirindui apabila tiba Hari Raya Aidilfitri.

“Saya rindu ingin bertemu dengan ahli keluarga dan sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa, sudah setiap tahun saya beraya di sini.

“Jika ada rezeki memang nak jumpa, tapi itulah....,” katanya kepada Sinar Harian.

Berlindung di Pekita

Meskipun tiada pertalian darah dengan mana-mana penghuni, namun kasih sayang dicurahkan Pengurus Pekita, Zurina Alias terhadap warga emas di pusat jagaan terbabit umpama keluarga sendiri.

Zurina mengakui menjaga 25 warga emas yang terdiri daripada 17 wanita dan lapan lelaki yang mempunyai pelbagai ragam berbeza memerlukan kesabaran tinggi.

“Majoriti penghuni di sini antara umur 60 tahun ke atas dan mempunyai pelbagai ragam. Saya sentiasa berpesan dengan semua kakitangan di sini supaya sentiasa bersabar dan menggunakan kaedah psikologi.

“Sebilangan besar penghuni di sini ada yang tidak mempunyai waris, ada yang sudah terlalu uzur dan terlantar di katil,” katanya.

Zurina berkata, tidak kurang juga yang masih mempunyai anak-anak turut dihantar ke Pekita.

Biasanya, alasan diberikan disebabkan ayah atau ibu mereka mengalami masalah Alzheimer sehingga sukar dikawal atau sibuk berkerja  sehingga tak ada masa mahu jaga ibu bapa.

“Kita tidak menyalahkan anak-anak jika membuat keputusan menghantar orang tua ke Pekita, namun apa yang membuatkan kami tersentuh hati apabila melihat keadaan mereka tidak terurus.

“Ada yang datang ke sini kerana tak nak susahkan anak-anak, jadi mereka ambil keputusan duduk sini, ada yang hilang tempat bergantung dan lain-lain lagi,” katanya.
 
Perlu berpindah sebelum 10 Ogos depan

Bagi Pengerusi Pekita, Ahmad Wan Chih berkata, Pekita ditubuhkan dalam usaha membangunkan sebuah rumah penjagaan warga emas beragama Islam dengan menyediakan pelbagai kemudahan, keselesaan dan menjamin kebajikan mereka.

Bagaimanapun, kemudahan itu bakal bermasalah apabila mereka terpaksa mengosongkan rumah yang didiami di Lot 319339, Jalan Berlian 8, RPT Jelapang Baru, Ipoh di sini setelah tamat kontrak pada 10 Ogos depan.

“Pemilik rumah tidak mahu menyambung kontrak sewa dengan Pekita dan mahu mengambil semula rumah ini, kami perlu keluar dari sini sebelum 10 Ogos depan.

“Sepanjang Ramadan, saya sudah puas mencari rumah ganti bagi menempatkan warga emas namun sehingga ke hari ini masih menemui jalan buntu,” katanya.

Ahmad berkata, boleh dikatakan setiap hari penghuni Pekita akan bertanyakan kepada saya adakah sudah jumpa rumah lain untuk mereka berpindah?

“Mereka kata seronok tinggal di sini dan kalau boleh mahu sama-sama mencari rumah sewa baharu, ada seorang tu kata pada saya dia sanggup merayu kepada sesiapa pun jika mahu menyewakan rumah untuk mereka berteduh.

“Kami di Pekita masih mencari dan kita harapkan sokongan orang ramai yang ingin membantu bagi memastikan Pekita terus memberi khidmat kepada warga emas,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan atau mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Ahmad di talian 05-5275223 atau 013-4793223 dan Zurina di talian 017-5519570 - SINAR HARIAN