Saturday 11 July 2015

REMAJA GERIK TERIMA TANGAN ROBOTIK

Firdaus menunjukkan tangan bionik yang diterimanya dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Kolej Komuniti Gerik, baru-baru ini.


GERIK - Remaja kudung akibat kemalangan di tempat kerja Disember tahun lalu bertuah kerana menjadi penerima pertama tangan robotik elektronik cetakan 3D.
Tangan robotik ciptaan Sujana Mohd Rejab, 47, atau lebih mesra dipanggil Pak Su dihasilkan dengan kos kira-kira RM15,000 dinamakan M-1 menggunakan kuasa bateri dan motor elektronik yang dikawal secara automatik menerusi sensor otot atau secara manual.

Penerima, Muhammad Firdaus Eswan, 23, berkata, sebaik sahaja dimaklumkan dia akan memperoleh tangan robotik itu, dia bersemangat dan tidak sabar menggunakan teknologi terbaharu berkenaan.

Menceritakan detik hitam dalam hidupnya, dia menjelaskan pergelangan tangannya terpaksa dipotong selepas terlibat kemalangan di tempat kerja.
"Kejadian itu berlaku ketika saya sedang membaiki sebuah mesin pencetak di kilang di Klang, Selangor. Tangan kanan termasuk ke dalam mesin sehingga menyebabkan pergelangan tangan terputus, mujur saya masih sedar ketika itu dan meluru ke pejabat untuk mendapatkan bantuan.

“Pada waktu itu, berlaku pendarahan teruk pada tangan saya. Dengan dibantu beberapa pekerja, saya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan doktor terpaksa memotong pergelangan ini kerana kecederaan serius,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Kolej Komuniti Gerik (KKG), di sini.

Menurutnya yang juga berasal dari Sabak Bernam, Selangor, tangan robotik berkenaan mudah dikawal walaupun baru beberapa jam mencuba.
"Sebelum ini saya pernah gunakan tangan mekanikal dan ia juga merupakan ciptaan Pak Su dan kini berpeluang menggunakan tangan robotik pula,” katanya.

Sementara itu, Pak Su pula berkata, dia mengambil masa enam bulan untuk menghasilkan tangan berkenaan walaupun tanpa sebarang pembiayaan dari kerajaan.
Menerusi syarikat MyVista, dia menjalankan kajian dan penyelidikan hasil sumbangan orang ramai yang prihatin membantu golongan kurang upaya. 

“Boleh dikatakan kos menghasilkan tangan ini adalah yang termudah setakat ini. Tangan robotik elektronik ini diberi jaminan selama tiga tahun dan pengguna tidak perlu risau mengenai servis perkhidmatan selepas jualan. 

“Ia juga menggunakan komponen campuran tempatan dan luar negara,” katanya yang sebelum ini turut menyumbangkan beberapa tangan mekanikal cetakan 3D kepada kanak-kanak seperti Ainna Amanda Shahzali, 7 dan Muhammad Muqri Mifzal Rhemi Rizal, 8.

Menurutnya, dia berharap lebih banyak sektor korporat atau agensi kerajaan yang dapat membantu menjayakan program itu dan orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya boleh berhubung menerusi facebook Paksu Delta (www.facebook.com/sujana.rejab) atau telefon ke 019-305 3000. - SINAR HARIAN


0 comments:

Post a Comment