Saturday 11 July 2015

CARI PENGKHIANAT SAMPAI KELUBANG CACING



IPOH - Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Negeri Perak menggesa pihak berkuasa supaya mencari dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didedahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. 

Pengerusinya,  Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, semua agensi yang terbabit dengan siasatan iaitu Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera mengheret individu yang membocorkan maklumat siasatan ke muka pengadilan supaya tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang negara.

“BNBBC Perak menyokong penuh kenyataan peguam negara itu dan kita gesa supaya tindakan segera diambil oleh ketiga-tiga agensi terbabit bagi menjaga integriti siasatan yang sedang dijalankan. 

“Perbuatan membocorkan maklumat seumpama itu amat serius, tambahan lagi ianya disalurkan kepada pihak luar negara, khususnya Wall Street Journal dan Sarawak Report yang berpangkalan di London, dengan niat mahu menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Mohd Khusairi berkata, individu yang membocorkan maklumat itu boleh dianggap sebagai pengkhianat kerana terlibat dalam satu konspirasi di peringkat antarabangsa untuk meranapkan kerajaan sebuah negara selain mensabotaj siasatan yang sedang dijalankan.
“Pepatah yang paling tepat adalah ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ kerana individu berkenaan berkemungkinan besar turut terbabit dalam pasukan petugas khas siasatan yang dibentuk. 

“Jadi kami sarankan agar BNM,  SPRM dan PDRM bekalkan maklumat secukupnya kepada peguam negara supaya petualang terbabit boleh didakwa secepat mungkin,” katanya.
Kelmarin, Abdul Gani berkata beliau tidak akan teragak-agak mendakwa mana-mana individu yang membocorkan maklumat siasatan. 

Pembocoran maklumat sulit yang berkaitan siasatan adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mana-mana individu yang mempunyai akses pada dokumen siasatan atau maklumat berhubung hal ehwal akaun mana-mana pelanggan. 

Katanya, adalah menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203 A Kanun Keseksaan untuk mana-mana individu menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehnya semasa melaksanakan tugas. 

Menurutnya, kesalahan juga tertakluk pada individu yang sedang dan pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan berkaitan yang bertindak mendedahkan kepada seseorang apa-apa dokumen atau maklumat akaun yang disebutkan dalam siasatan.




0 comments:

Post a Comment