Sunday 5 July 2015

T-Team dituntut beraksi lebih baik lawan Kedah

KUALA TERENGGANU – Pengendali T-Team, Tomislav Steinbruckner tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun gagal melebarkan rekod sepuluh kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas terikat 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya kelmarin.

Jelas Steinbruckner, keputusan seri itu bukan sesuatu yang sukar diterima memandangkan pasukannya terpaksa beraksi di gelanggang luar tanpa kelibat dua pemain tonggak di bahagian te­ngah iaitu Norhakim Hassan dan Badrul Hisham Morris.

Katanya, ketiadaan kedua-dua pemain tonggak itu sedikit seba­nyak menyukarkan T-Team untuk melebarkan rekod kemenangan mereka, selain terpaksa meme­nuhi harapan tinggi daripada semua pihak khususnya peminat yang mahu melihat pasukan itu mengekalkan rentak kemenangan berturut-turut sepanjang musim ini.

“Pada masa yang sama, kami juga amat memerlukan pemain import baharu yang boleh menggantikan kapten kami, David (Oniya) yang meninggal dunia lebih dua minggu lalu seberapa segera. Sudah empat perlawanan kami lalui sejak pemergian beliau,” katanya.

Dalam perlawanan kelmarin, pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain dari Brazil, Hilton Moreira pada minit ke-23 sebelum ayam tambatan T-Team, Farhod Tdjiev menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-31.

Gol tersebut merupakan yang ke-15 oleh pemain dari Uzbekistan itu, sekali gus mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini.

Dalam pada itu, Steinbruckner berkata, keputusan seri 1-1 ketika menentang skuad Pulau Mutiara itu menyebabkan kedudukan T-Team selaku pendahulu liga kini mulai goyah apabila hanya dibezakan dengan dua mata dengan pasukan di anak tangga kedua, Kedah.
“Jadi, kami akan menunggu kedatangan Kedah Selasa ini (di Kuala Terengganu) dan berharap dapat mengulangi persembahan terbaik kami se­perti sebelum ini.

“Berita baiknya dalam perlawanan itu nanti ialah kami berkemungkinan besar akan dapat menggunakan kembali khidmat kedua-dua pemain tengah itu (Norhakim dan Badrul Hisham) yang semakin pulih daripada kecederaan,” ujarnya.

T-Team dan Kedah terikat tanpa jaringan dalam pusingan pertama liga di Alor Setar pada 20 Februari lalu.

 UM

0 comments:

Post a Comment