Wednesday 8 July 2015

Ternakan Kerang Di Kuala Sepetang Merosot 90 Peratus

TAIPING - Kerajaan Negeri Perak sedang mengambil tindakan bagi mengatasi masalah kemerosotan 90 peratus ternakan kerang di Kuala Sepetang sejak awal tahun ini yang telah menjejaskan hasil pendapatan penternak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kerajaan negeri memandang serius masalah yang dihadapi penternak kerang berkenaan.

"Buat masa ini, kita masih menunggu hasil kajian Jabatan Perikanan dan berharap dengan kajian ini tindakan boleh diambil untuk mengatasi masalah tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat ternakan kerang di sini semalam.

Beliau berkata hasil pengeluaran kerang hanya 13,000 metrik tan berbanding sebelum ini yang boleh mencecah sehingga 28,000 metrik tan.

"Perkara ini harus ditangani segera agar masalah kemerosotan hasil ternakan kerang bagi memenuhi kehendak pelanggan di Perak dan juga negeri-negeri lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri Dr Bah Piyan Tan berkata kajian sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemerosotan ternakan kerang.

"Antara faktor penurunan hasil kerang ialah kualiti air, kadar ammonia dan beberapa simptom parasit yang ditemui dalam kerang tersebut.

"Kita telah bawa sampel air sungai ke makmal institusi perikanan bagi mengetahui punca dan kajian terperinci dilakukan sekali gus dapat menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin," katanya.

Pengerusi Persatuan Ternakan Kerang Kuala Sepetang Koay Seng Lam pula berkata penternak di kawasan itu mengalami kerugian kira-kira RM200,000.

"Sebelum ini boleh dapat sehingga lapan guni. Sekarang satu atau dua guni sahaja, memang rugi banyak," katanya.

Beliau berharap pihak berkenaan dapat membantu mengatasi masalah itu secepat mungkin bagi mengelak industri kerang di Kuala Sepetang terjejas lebih teruk pada masa akan datang.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment