Tuesday 7 July 2015

Bantuan 5 ribu Setiap Sekolah Agama

SEGAMAT - Pemberian bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM5,000 kepada setiap sekolah agama di negeri ini membuktikan kerajaan negeri tidak meminggirkan sekolah berkenaan seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, pemberian ini membuktikan Menteri Besar cukup peka dan prihatin dengan setiap permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi.

“Hasilnya, pada hari ini (semalam), sebanyak RM260,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada 52 Badan Kebajikan Sekolah Agama (Baksis) di daerah ini dengan masing-masing menerima sebanyak RM5,000.

“Peruntukan ini telah diluluskan oleh kerajaan negeri bermula pada tahun ini dan Johor merupakan negeri pertama yang memberi bantuan seumpama ini selain pemberian bonus kepada guru-guru agama kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Penyerahan Bantuan kepada Badan Kebajikan Sekolah Agama (Baksis) Zon Dua di Masjid Paya Pulai, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Islam Daerah (PPID) Segamat, Zamri Mo’men dan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Agama (Persaga) Segamat, Kamal Lokman.

Menurutnya, selain itu, kerajaan negeri juga berusaha menyelesaikan masalah lain melibatkan sekolah agama seperti menyiapkan bangunan terbengkalai serta membina bangunan baharu yang menjadi isu sebelum ini.

“Syarikat konsesi yang mendapat kontraktor sekolah agama sebelum ini juga telah ditamatkan kontraknya dan telah diambil alih oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ). Bagaimanapun, terdapat masalah lain yang perlu diselesaikan kerana melibatkan perundangan.

“Namun, saya yakin masalah ini akan dapat diselesaikan segera dalam masa terdekat kerana kerajaan negeri amat komited untuk menjadikan sekolah agama sebagai tempat untuk menghasilkan rakyat yang mempunyai penerapan nilai agama yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Zamri berkata, setiap Baksis yang menerima peruntukan tersebut perlu bijak mengurus dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan sekolah agama dan manfaat para pelajar.

Menurutnya, peruntukan berkenaan juga amat bermakna kerana dapat digunakan untuk membeli peralatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) seperti koleksi buku atau kitab baharu dan peralatan pusat sumber sekolah seperti projektor LCD dan peralatan-peralatan lain.

SH

0 comments:

Post a Comment