Tuesday 7 July 2015

Warga Emas Berbuka Puasa Dengan Kucing

PONTIAN - Ketika umat Islam berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan, seorang warga emas di Kampung Sungai Burung di sini hanya berbuka puasa hanya bertemankan kucing peliharaannya. 

Rahmah Abas, 78,  kini tinggal seorang diri di rumah pusaka milik keluarganya. 

Katanya, walaupun hatinya sedih setiap bulan Ramadan tiba, namun dia tetap bersemangat untuk meneruskan ibadah berkenaan yang telah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam.

“Tok tidak pernah berkahwin dan hanya menumpang kasih dengan anak saudara, Norhayati Rosman, 46, yang tinggal tidak jauh dari rumah tok. 

“Duduk rumah sendirian memang sunyi tapi tok sudah biasa. Kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas, dan mencuci pakaian dilakukan sendiri,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Ramadan Dun Kukup bersama Kolej Komuniti Tanjung Piai (KKTP) , di sini, semalam.  

Turut serta, Adun Kukup, Suhaimi Salleh; Pengarah KKTP, Shudermawan Jaruman dan Ketua Kampung kawasan (2) Kampung Sungai Burung, Abd Ghafar Ahmad. 

Menurut Rahmah, dia gemar berkebun di sekitar kawasan rumah dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan ulam-ulaman. 

“Syukur, saudara mara dan jiran-jiran sering menjenguk dan bertanya khabar. Malah ada juga yang menghulur sumbangan. 

“Dengan wang bantuan RM300 sebulan dari JKM, tok gunakan untuk membeli makanan, pakaian dan ubat-ubatan,” katanya. 

Ketika ditanya mengenai persiapan raya, Rahmah memberitahu dia tidak pernah membuat sebarang persiapan raya seperti membeli pakaian raya dan kuih raya. 

“Setiap kali raya, tok akan ke rumah Norhayati. Memang tidak pernah buat sebarang persiapan, kebiasaannya kami hanya akan masak juadah raya seperti ketupat dan rendang,” katanya. 

Sementara itu, seramai 20 pelajar Kolej Komuniti Tanjung Piai turut serta dalam program jelajah bagi menyerahkan bantuan makanan kepada 20 penerima sumbangan di sekitar Pekan Nenas, Telok Kerang dan Kukup.

SH

0 comments:

Post a Comment