Saturday 11 July 2015

LAPAN KAKI JUDI KANTOI DIBULAN PUASA



TELUK INTAN - Polis menahan lapan kaki judi dan seorang penjaga tempat judi dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Jalan Maharajalela di sini, awal pagi ini.
 
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua suspek yang berusia antara 39 dan 54 tahun dan berasal dari Sungai Besar, Selangor ditahan kira-kira pukul 3.30 pagi.
 
Katanya, tangkapan itu adalah hasil maklumat risikan yang dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenaya(JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
 
"Kesemua suspek ditahan ketika leka bermain judi komputer di rumah itu yang dijadikan tempat untuk mereka menjalankan kegiatan berkenaan," katanya kepada pemberita di IPD Hilir Perak di sini, hari ini.
 
Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas wang tunai bernilai RM3,709 serta sebelas unit komputer.
 
Mohd Shuhaily berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment