Thursday 9 July 2015

KENYATAAN MEDIA KELAB PENYOKONG KERAJAAN BN (BNBBC) NEGERI PERAK

Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Negeri Perak hari ini menggesa pihak berkuasa supaya segera mencari dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan seperti didedahkan oleh Peguam Negara dalam satu kenyataannya semalam. 

Semua agensi yang terbabit dengan siasatan, iaitu Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menjejaki dan membawa individu yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan supaya tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang negara. 

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau tidak akan teragak-agak mendakwa mana-mana individu yang membocorkan maklumat siasatan. 

Menurutnya, membocorkan maklumat sulit yang berkaitan siasatan adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mana-mana individu yang mepunyai akses pada dokumen siasatan atau maklumat berhubung hal ehwal akaun mana-mana pelanggan. 

Beliau juga berkata, adalah menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203 A Kanun Keseksaan untuk mana-mana individu menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehnya semasa melaksanakan tugas. 

Menurut Abdul Gani, kesalahan juga tertakluk pada individu yang sedang dan pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan berkaitan yang bertindak mendedahkan kepada seseorang apa-apa dokumen atau maklumat akaun yang disebutkan dalam siasatan. 

Kelab BNBBC Perak menyokong penuh kenyataan Peguam Negara itu dan menggesa supaya tindakan segera diambil oleh ketiga-tiga agensi terbabit bagi menjaga integriti siasatan yang sedang dijalankan. 

Perbuatan membocorkan maklumat seumpama itu amat serius, tambahan lagi ianya disalurkan kepada pihak luar negara, khususnya Wall Street Journal dan Sarawak Report yang berpangkalan di London, dengan niat mahu menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya berlandaskan sistem demokrasi. 

Malahan Peguam Negara sendiri memaklumkan bahawa dokumen yang didedahkan dalam artikel Wall Street Journal, “Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib” bertarikh 7 Julai 2015 merupakan hal perkara suatu siasatan dan menekankan kepentingan menjaga integriti siasatan itu agar tidak timbul kemusykilan di kalangan orang awam. 

Individu yang membocorkan maklumat itu boleh dianggap sebagai dalang dan pengkhianat kerana terlibat dalam satu konspirasi di peringkat antarabangsa untuk meranapkan kerajaan sebuah negara dan juga mensabotaj siasatan yang sedang dijalankan.

Pepatah yang paling tepat adalah 'harapkan pegar, pegar makan padi' kerana individu berkenaan berkemungkinan besar turut terbabit dalam pasukan petugas khas siasatan yang dibentuk. 

Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia, PDRM dan SPRM perlu membekalkan maklumat secukupnya kepada Peguam Negara supaya individu terbabit boleh didakwa secepat mungkin. 

DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB 
Pengerusi BNBBC Perak 
ADUN Slim, Perak 
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim 
9 Julai 2015

0 comments:

Post a Comment