Wednesday 1 July 2015

Kanak-kanak Menangis Ditangkap Di Ipoh



IPOH – Dua kanak-kanak perempuan lari lintang pukang selepas melihat van penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menghampiri mereka dalam Operasi Kutipan Khairat Tanpa Kebenaran yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, petang kelmarin.

Mereka turut mencampakkan beg sandang yang berisi wang kutipan derma serta barangan lain untuk menyelamatkan diri daripada dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak berusia 12 tahun itu berjaya ditahan anggota penguat kuasa di lorong belakang barisan kedai yang terletak di Persiaran Sunway City di sini.

Tinjauan Sinar Harian yang mengikuti operasi tersebut mendapati kanak-kanak terbabit dilihat sedang menunggu di hadapan bank untuk meminta derma dan menjual produk yang didakwa untuk membantu pusat tahfiz tempat mereka belajar.

Tiga lagi rakan mereka berusia 12 dan 13 tahun turut ditahan di hadapan bank sekitar Pusat Perdagangan Greentown dan Ampang kerana melakukan perkara yang sama.

Malah seorang daripadanya menangis teresak-esak kerana takut ketika disoal anggota penguat kuasa bertugas.

Difahamkan, mereka yang belajar di tempat sama, bukan berasal dari negeri ini tetapi dari Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Berdasarkan rekod, seorang daripada kanak-kanak berkenaan sebelum ini, pernah di atas kesalahan sama di Batu Gajah, tahun lalu.

Tabung derma turut dirampas

Dalam rondaan di bazar Ramadan Bercham Raya pula, seorang lelaki warga Thailand berusia 20 tahun ditahan apabila didapati mengadakan tabung kutipan derma tanpa kebenaran sah.

Tabung-tabung kutipan derma untuk pusat tahfiz dan anak yatim itu dirampas di bazar berkenaan apabila didapati nama pusat tahfiz berkenaan tiada dalam senarai kebenaran Maipk.

Pemuda terbabit ditahan kerana tidak mempunyai kebenaran sah daripada Majlis Agama Islam Perak (Maipk) untuk mengutip derma bagi pembinaan masjid di Narathiwat, Thailand.

Malah, dokumen perjalanannya juga telah tamat tempoh.

Di hadapan sebuah bank di Ampang pula, anggota penguat kuasa menahan seorang lelaki yang membuka kaunter kutipan derma untuk pembinaan bangunan anak yatim kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Jaipk siasat rangkaian

Ketua Penguatkuasa Agama Jaipk, Ahmad Nizam Amiruddin berkata, operasi tersebut diadakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Perak.

Menurutnya, seramai 20 anggota Penguatkuasa Jaipk, lima pegawai dari JKM dan Jakim terbabit dalam operasi yang diadakan sekitar bazar Ramadan, bank dan pasar raya.

“Operasi hari ini (kelmarin) tertumpu pada kutipan khairat tanpa kebenaran yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 43 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak.

“Dalam operasi ini, kita menahan empat kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun,  seorang remaja berusia 13 tahun, seorang lelaki warga Thailand berusia 20 tahun dan seorang lelaki berusia 47 tahun. Kesemua mereka ditahan bagi tujuan dokumentasi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Kita melihat modus operandi kanak-kanak terbabit seperti sindiket dan cuba cari siapa penganjur yang merancang pergerakan mereka memandangkan mereka masih di bawah umur,” katanya ketika ditemui selepas operasi selesai.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan sama ada kanak-kanak terbabit mempunyai rangkaian sama daripada negeri lain.

“Setakat ini kita belum dapat mengenal pasti sama ada kanak-kanak itu terbabit dalam satu sindiket yang mengeksploitasikan kanak-kanak dalam mencari duit,” jelasnya,

Ahmad Nizam berkata, penguatkuasaan ini akan berterusan bagi memastikan masyarakat atau sesiapa yang hendak mengutip derma agar mematuhi undang-undang yang mana setiap kutipan khairat mesti mendapat kebenaran Maipk.


SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment