Saturday 4 July 2015

AWAS SEMUA PENGGUNA INTERNET

Amiruddin (tiga, kanan) menyerahkan MyCyber Security Clinic Premium License kepada Mohd Nazaruddin (tiga, kiri) sambil disaksikan Zambry (tengah) dan beberapa Exco kerajaan negeri


IPOH -  Sebanyak 4,581 aduan berkaitan kesalahan siber diterima CyberSecurity Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amiruddin Abdul Wahab berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.27 peratus atau 464 kes berbanding 4,117 aduan yang diterima bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, aduan mengenai kesalahan berkaitan spam adalah yang tertinggi dengan 2,056 kes, diikuti penipuan dan pemalsuan sebanyak 1,359 aduan, manakala pencerobohan sebanyak 709 kes.  

“Aduan mengenai kehadiran e-mel spam ini perlu diambil perhatian oleh pengguna kerana kebiasaannya e-mel berkenaan turut membawa kod berniat jahat (malware) yang boleh mengakibatkan seseorang menjadi mangsa penipuan.

"Dalam tempoh lima bulan itu juga, aduan tertinggi dicatatkan pada Februari iaitu sebanyak 1,271 aduan merangkumi pelbagai jenis kesalahan dan jenayah siber,” katanya kepada media kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian MyCyber Security Clinic Premium License kepada KPerak di Bilik Mesyuarat Exco, Pejabat Menteri Besar Perak, di sini, semalam.

Penyampaian disempurnakan sendiri Amiruddin kepada Ketua Pengawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Amiruddin berkata, berikutan peningkatan jenayah siber itu, pengguna internet di negara ini dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan mempunyai kesedaran tinggi mengenai kepentingan memiliki ilmu berkaitan keselamatan siber.

Menurutnya, aduan yang diterima berkaitan isu keselamatan siber sentiasa meningkat saban tahun.

Malah, katanya, sepanjang 2014 pihaknya menerima 11,918 aduan dan sejak 1997, lebih 66,000 kes diterima daripada orang ramai.

“Kita turut menerima aduan berkaitan kegiatan cubaan menceroboh, penafian perkhidmatan, pembulian siber, kod berniat jahat (malware), gangguan dan fitnah melalui siber.

“Ketika ini, kita banyak melihat maklumat yang tidak terkawal dalam dunia siber dan keperluan mengenai kesedaran terhadap aspek keselamatan siber amat diperlukan pengguna internet di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perak menjadi negeri pertama menerima Lesen Premium MyCSC, terutama dalam menyediakan perkhidmatan keselamatan siber daripada CyberSecurity Malaysia, Pusat Pakar Teknikal Keselamatan Siber Kebangsaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi.

Penganugerahan itu juga menggalakkan pertumbuhan rangkaian Klinik MyCyberSecurity di seluruh negara dengan Perak menerusi Perbadanan Pelaksanaan dan Penyelarasan KPerak (KPerak) dijangka menubuhkan sekurang-kurangnya empat cawangan klinik berkenaan dalam tempoh terdekat.

Perak dipilih sebagai negeri pertama menerima pengiktirafan itu memandangkan kerjasama dengan Kperak sudah sedia terjalin menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KPerak tahun lalu. - SINAR HARIAN


0 comments:

Post a Comment