Monday 29 June 2015

Pemilik Berdepan Tindakan Tegas

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik 108 rumah di Taman Cempaka kerana kesemua kediaman kosong terbabit dipercayai menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Setiausahanya, Mohammad Zakuan Zakaria berkata, Bahagian Kesihatan Am MBI telah mengenal pasti rumah terlibat dan pemilik rumah sedang dikesan supaya tindakan undang-undang dapat dilaksanakan.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, MBI turut menjalankan kerja-kerja kawalan demam Denggi malah pada bulan ini aktiviti semburan kabus termal, pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk, membunuh jentik-jentik di longkang bawah tanah dan beberapa kaedah lain dilakukan.

“Taman Cempaka diisytiharkan sebagai lokaliti kawasan panas Denggi tegar dengan 109 kes terkumpul dari November 2014 sehingga 20 Jun lalu.

“Kawasan ini juga berada di kedudukan kedua tempoh wabak paling lama dalam negara iaitu 200 hari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program gotong-royong besar-besar di Taman Cempaka, kelmarin.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Mohammad Zakuan berkata, hampir 40 peratus pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyewa di taman terbabit diminta bekerjasama menjaga persekitaran kawasan rumah masing-masing daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Katanya, walaupun hanya menyewa, pelajar-pelajar terbabit juga berperanan penting dalam usaha memerangi denggi kerana nyamuk aedes tidak mengenal siapa mangsanya.

Sementara itu, seramai 300 kakitangan pembersihan MBI turun padang menjayakan program gotong royong di seluruh kawasan Taman Cempaka.

Program itu diadakan susulan teguran kerajaan negeri terhadap Kampung Dato’ Ahmad Said, Manjoi dan Taman Cempaka yang menjadi kawasan denggi tegar di negeri ini.

SH

0 comments:

Post a Comment