Wednesday 1 July 2015

UMNO dan PAS Gopeng Bergabung Demi Masa Depan Islam

Sulaiman menunjukkan draf memorandum penyatuan Umno dan Pas demi masa depan Umat Islam di negeri ini.


IPOH - Umno Cawangan Taman Desa Aman akan menggerakkan usaha bagi menggabungkan  Umno dan Pas bertujuan menyatukan umat Islam di negeri ini.

Ahli Jawatankuasanya, Sulaiman Ahmad Zaiti berkata, usaha itu sudah dirancang hampir setahun lalu selepas melihat kepada keperluan dan cabaran dihadapi Umat Islam khususnya bangsa Melayu masa kini.

Menurutnya, beberapa pemimpin tertinggi termasuk veteran politik sudah menyuarakan pandangan agar penyatuan antara Umno dan Pas dilaksanakan demi masa depan umat Islam di negara ini.

“Ramai pemimpin yang suruh bersatu tapi tiada  yang nak mula gerakkan ke arah  itu. Jadi saya rasa biarlah cawangan kami mulakan dulu.
“Penyatuan ini perlu bermula di peringkat bawahan kerana ahli atau penyokong  ramai di peringkat ini,” katanya.

Sulaiman berkata, sebagai langkah permulaan, selepas Aidilfitri nanti, satu mesyuarat jawatankuasa di peringkat cawangan akan diadakan bagi membincangkan perkara itu.

Jelasnya, draf memorandum penyatuan itu sudah disiapkan sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi Umno Negeri dan Pas Negeri.
“Saya telah suarakan perkara ini secara tak rasmi kepada rakan dalam Umno dan mereka menyokongnya. Harapnya usaha ini  membuahkan hasil.

“Saya akan menyerahkan memorandum kepada pimpinan tertinggi supaya penyatuan ini dapat digerakkan di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya Umno dan Pas bersatu demi Islam untuk menguatkan lagi agama yang semakin dihina serta diperkecil-kecilkan pihak tertentu.

Katanya, jika penyatuan itu berjaya, satu himpunan khas akan diadakan bagi membuktikan Umno dan Pas tiada masalah untuk bersatu demi Islam.


SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment