Tuesday, 7 July 2015

REDHA DENGAN UJIAN ALLAH TERHADAP KELUARGA



IPOH - “Kalau boleh saya nak bawa dia balik, kami nak beraya bersama" luah Nurul Afidah Muhammad, 30, ibu bayi enam bulan, Syamil Hafizy yang disahkan mengidap ‘Cystic Hygroma’ atau bengkak kelenjar sejak dilahirkan, Januari lalu.

Syamil yang dilahirkan dengan kesan bengkak di leher tidak pernah dibawa pulang ke rumahnya kerana memerlukan bantuan pernafasan mekanikal.

Lebih menyedihkan, dalam tempoh enam bulan ini, Nurul Afidah hanya berpeluang mendukung anak bongsu daripada tiga beradik itu sekali sahaja, minggu lepas di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh apabila keadaannya stabil.

“Itu pun secara kebetulan, saya terlalu teringin untuk memangkunya, lihat keadaan dia macam okey, saya cuba untuk pangkunya. Walaupun hanya seketika, namun ia detik yang cukup bererti buat saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pusing Perdana, Pusing, di sini.

Nurul Afidah berkata, kebiasaannya, mereka memang tidak dibenarkan untuk mendekati Syamil kerana dikhuatiri akan memberi kesan terhadap sistem pernafasannya.

“Untuk saya tidur sekali dengan dia pun susah, tapi saya faham keadaannya, cuma sejak beberapa minggu ni kerinduan terhadap dia semakin tinggi, sebab tu kami sepakat nak bawa dia pulang ke rumah ini.

"Hati ibu mana yang tak risau mengenangkan anak saya berseorangan di hospital, bila dia ada di rumah nanti, dapatlah saya beri sepenuh perhatian, abang-abangnya pun dah tak sabar nak jumpa,” katanya.

Nurul Afidah dan suaminya, Ismail Othman, 33, yang bekerja sebagai pemandu memiliki dua lagi cahaya mata iaitu Syawal Afifuddin, 7 dan Syabil Azhad, 2.

Pembedahan tak berjaya

Bengkak kelenjar yang dihadapi Syamil mula dikesan sejak bayi itu lima bulan dalam kandungan, namun ketika itu, doktor menjangkakan ia kandungan anak kembar.

Ketika berusia empat hari, Syamil pernah menjalani pembedahan bagi membuang kelenjar berkenaan, namun ia tidak berjaya.

Bimbang dengan risiko dihadapi anaknya, Nurul Afidah bersama suami mengambil keputusan menempatkan anak mereka itu di bawah pengawasan doktor di hospital bermula dari hari pertama dia dilahirkan.

Syamil yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Universiti Kuala Lumpur (HUKL) dibawa ke HRPB lebih sebulan lalu dan kini masih menerima rawatan rapi di PICU.

Nurul Afidah berkata, sehingga hari ini, doktor tidak dapat mengesahkan apakah punca sebenar yang menyebabkan ketumbuhan berkenaan berlaku.

“Cuma bila dirujuk kepada doktor pakar mereka mengatakan ianya mungkin disebabkan kesan ubat yang saya ambil selepas terbabit dalam kemalangan lebih dua tahun lalu,” katanya.

Belajar guna mesin

Ternyata azam ibu muda yang mengambil keputusan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa ini untuk membawa pulang anaknya bukan sekadar omong kosong kerana dalam tempoh beberapa bulan ini, Nurul Afidah sudah mempelajari cara mengendalikan peralatan yang digunakan ke atas Syamil.

Antara peralatan berkenaan adalah oxygen concentrator, suction machine dan tiup penyedut kahak.

Menurutnya, ketika di hospital, dia diberi tunjuk ajar oleh jururawat bertugas mengenai kaedah penggunaan peralatan dengan betul.

“Demi Syamil saya belajar dan sekarang saya dah tahu macam mana nak kendalikan mesin itu, insya-ALLAH saya mampu buat nanti,” katanya.

Nurul Afidah dan suami kini sedang berikhtiar untuk mengumpul dana bagi membolehkan mereka memiliki semua peralatan diperlukan yang dianggarkan bernilai lebih RM8,000.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan khususnya dalam membantu membiayai pembelian peralatan dan mesin mekanikal bagi bantuan pernafasan Syamil boleh berbuat demikian dengan menyalurkan menerusi kaun Maybank 107291012634 di atas nama Ismail Othman atau menghubungi talian 012-563 3088.

Orang ramai juga boleh melayari laman Facebook Syamil Hafizy bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sebarang perkembangan terkini mengenainya. - SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment