CONCEPCION – Paolo Guerrero menyumbat satu gol untuk membantu Peru memenangi tempat ketiga Copa America semalam sekali gus mengekalkan pemain itu dalam persaingan merebut anugerah penjaring terbanyak kejohanan.
Penyerang Flamengo itu, yang juga penjaring terbanyak Copa America pada 2011, menyumbat gol keempatnya dalam kejohanan ini pada penghujung perlawanan untuk membantu Peru menang 2-0 ke atas Paraguay.
Gol tersebut menyaksikan Guerrero menyamai jumlah gol penjaring terbanyak Chile, Eduardo Vargas yang memiliki kesempatan untuk menambah jaringan apabila menentang Argentina dalam perlawanan akhir (pukul 4 pagi tadi waktu Malaysia).
“Objektif untuk sampai ke peringkat kalah mati telah tercapai. Diharap rakyat Peru berasa bangga di atas usaha hebat ini.
“Kemenangan ini sangat penting. Kami tahu Paraguay merupakan salah satu pasukan terkuat, namun kami perlu bertenang dan mengawal bola dengan baik. Malah, gol pertama banyak membantu kami.
“Kejayaan ini didedikasikan kepada semua keluarga kami,” kata Guerrero.
Pemain berusia 31 tahun itu, yang telah menjaringkan 25 gol antarabangsa, kini berada hanya satu gol untuk menyamai rekod kebangsaan milik legenda Peru, Teofilo Cubillas yang melakukan 26 jaringan.
Gol pembukaan Peru semalam hadir menerusi Andre Carrillo pada minit ke-48 yang berpunca daripada sepakan sudut yang ditanduk oleh pemain tengah Christian Cueva, tetapi berjaya dihalang oleh penyerang Paraguay, Raul Bobadilla.
Bola bagaimanapun sampai kepada Carrillo dan pemain berusia 24 tahun itu melepaskan sepakan voli untuk menumpaskan penjaga gol Justo Villar.
Paraguay, yang kalah teruk 1-6 kepada Argentina di separuh akhir, cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi penyerang Edgar Benitez, namun berjaya dihadang oleh pemain tengah Carlos Ascues.
Kejayaan Peru semalam menyaksikan mereka mengulangi pencapaian yang sama dalam Copa America edisi empat tahun lalu. – AFP
0 comments:
Post a Comment