Thursday 6 August 2015

PDRM BERJAYA BERKAS PENYAMUN DI IPOH



IPOH - Cubaan tiga lelaki menyamun seorang penunggang motosikal gagal selepas salah seorang daripada mereka ditangkap oleh rakan mangsa yang kebetulan tiba di Jalan Lahat- Pusing di sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 40 tahun sedang menaiki motosikal telah ditahan kumpulan suspek yang menaiki kereta Proton Iswara. 
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek bersenjatakan pisau dan rotan bertindak mengugut  dan merampas beg duit milik mangsa. 

“Kebetulan rakan mangsa sampai dan suspek cuba melarikan diri namun, salah seorang daripada mereka berjaya ditangkap sebelum tangkapan semula dibuat oleh anggota balai. 
“Bagaimanapun, dalam kejadian itu, mangsa kerugian sekurang-kurangnya RM200,” katanya di sini, semalam. 

Menurutnya, polis sedang melancarkan gerakan mengesan dua lagi suspek yang telah dikenal pasti berada Ipoh.


#MH370 : Serpihan Sah Milik MH370


Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu akhir terjawab apabila serpihan bangkai pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion, Lautan Hindi pada 29 Julai lalu disahkan milik pesawat berkenaan.

Keputusan hasil siasatan mengenai serpihan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 2 pagi, Khamis.

“Selepas 550 hari kehilangan pesawat MAS, dengan rendah hati dimaklumkan pasukan pakar antarabangsa telah mengesahkan serpihan yang ditemui itu milik MH370, kini kita ada bukti kukuh ia berakhir di Lautan Hindi.

“Bagi pihak Malaysia, terima kasih kepada semua yang membantu dalam operasi mencari selama ini dan kepada keluarga serta waris penumpang pesawat, pengesahan ini walaupun ia sesuatu yang tragis dan menyedihkan tetapi tentu dapat memberi kelegaan kepada mereka.

“Kerajaan Malaysia akan melakukan apa sahaja untuk mengetahui kebenaran dalam kehilangan MH370,” katanya pada sidang media khas yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Pada 29 Julai lalu, bahagian dari sayap pesawat dikenali sebagai flaperon dijumpai seorang pekerja pembersih pantai di Pulau La Reunion.

Individu berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu kepada pihak berkuasa Perancis untuk memulakan siasatan.
Pakar penerbangan Perancis, Xavier Tytleman tidak menolak serpihan itu mungkin milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

“Saya sudah mengkaji beratus gambar dan bercakap dengan rakan-rakan. Kami semua fikir ia mungkin sayap pesawat Boeing 777 – pesawat yang sama seperti MH370,” katanya.

Serpihan tersebut dipenuhi cangkerang dan berkarat.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam Twitter Fox News, keadaan serpihan itu menunjukkan ia mungkin berada terlalu lama di dalam air laut.

Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal pada 8 Mac tahun lalu.

Operasi pencarian yang diketuai Australia diteruskan di selatan Lautan Hindi sehingga hari ini tetapi tiada bukti ditemui sebelum penemuan terbaharu di Pulau La Reunion ini.

- Mstar

Sunday 2 August 2015

UPSI DAN ITBM TERUS KUKUHKAN KERJASAMA

Upsi dan ITBM mendatangani memorandum perjanjian bagi mengukuhkan lagi kerjasama.


TANJUNG MALIM - Dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak 2002 antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menandatangi memorandum perjanjian (MoA) baru-baru ini.

Upsi melalui Pejabat Karang Mengarang (PKM) akan memberi tumpuan khusus kepada aspek penterjemahan buku-buku cemerlang dalam dunia pendidikan dari luar negara ke dalam bahasa Melayu untuk bakal pendidik di Upsi dan universiti lain.

Pengarah PKM, Prof Madya Dr Nasir Nayan berkata, lima judul penerbitan dengan 20 penterjemah di Upsi berjaya dilakukan pada kali pertama kerjasama dan tidak mustahil jumlah tersebut akan meningkat dengan termeterainya memorandum kali ini.

Menurutnya, kerjasama tersebut dapat memperkukuhkan pengajaran, pembelajaran dan melengkapkan keunggulan bersama ITBM dalam bidang usaha sama penterjemahan, penerbitan bersama, latihan serta pemasaran.

“Kami akan melaksanakan kerja-kerja terjemahan dengan lebih agresif dan inovatif dalam bidang penerbitan yang boleh menguntungkan kedua-dua institusi,” katanya.

Hadir sama, Pendaftar Upsi, Mohd Faizi Othman yang mewakili Naib Canselor, Pengarah ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah.

Pada majlis sama turut diadakan majlis pra pelancaran buku bertajuk Matematik Kejuruteraan Asas Untuk Jurutera Elektronik, Elektrik, Komunikasi dan Sistem serta Matematik Kejuruteraan Moden Edisi Keempat berserta Mathlab yang diterjemahkan lapan ahli akademik dari Fakulti Sains dan Matematik Upsi.

Selain itu, pengisian diteruskan dengan wacana ilmu bersama ITBM bertajuk Industri Penterjemahan Buku Ilmiah Dalam Pendididkan Di Malaysia di samping jualan buku dengan potongan harga sehingga 30 peratus.


BAGAN DATOH TETAP MENYOKONG PERDANA MENTERI

Ahmad Zahid pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, semalam.


BAGAN DATOH – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkias meminta semua ahli memberi sokongan penuh kepada kepimpinan parti dalam mengharungi pelbagai isu semasa.

Menurutnya, kepercayaan dan taat setia yang diberikan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak penting dalam mendepani pelbagai usaha pihak lawan yang cuba menimbulkan budaya kebencian terhadap kerajaan dan pimpinannya.

“Mohon kepada Umno dan seluruh negara.... ketika ini apabila kapal dilanda gelombang jangan pula ada sesiapa berusaha mencampakkan nakhoda ketika menempuh badai.

“Jadi, inilah masa untuk kita menyusun barisan menyatakan taat setia kepada pucuk kepemimpinan parti. Tidak ada isu yang tidak boleh diatasi, jadi berikan sokongan sekuat-kuatnya kepada perdana menteri,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh, semalam.


Mesyuarat itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Adnan Yaakob di Wisma Umno, di sini, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendirian bahawa pelantikan jawatan baharunya itu adalah satu tanggungjawab besar kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya meminta semua ahli memainkan peranan menenangkan rakyat ketika kerajaan dilanda dengan pelbagai isu.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Pahang turut menyentuh isu seperti kos sara hidup, siswazah menganggur dan perumahan rakyat yang perlu diselesaikan sebelum menghadapi PRU14.

“(Menghadapi) PRU14 bukan satu tugas yang mudah. Kita tengok trend sekarang, kebangkitan kebencian sehingga rakyat tidak percaya kepada kerajaan. Jadi, apa yang penting adalah beri kepercayaan kepada kepimpinan kita.

"Gandingan perdana menteri dan timbalannya sama-sama cari jalan untuk selesaikan masalah. Pada masa sama, yang di bawah janganlah menokok tambah sebaliknya tunggu,”