Wednesday 8 June 2016

APA SUDAH JADI TAPAK PASAR MALAM TAIPING ?

  TAIPING - Koperasi Usahawan Pasar Malam dan Harian Larut Matang Berhad menuntut agar sewaan tapak Pasar Malam Kamunting diberikan semula kepada koperasi berkenaan mengikut perjanjian asal iaitu selama 10 tahun bermula 2011 hingga 2021.

Setiausahanya, Rosli Baharom berkata, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sepatutnya memaklumkan perkara tersebut lebih awal sekurang-kurangnya notis tiga bulan.

Menurutnya, ketika ini kawasan tapak Pasar Malam Kamunting seluas 1.53 hektar sudah disusun atur semula MPT bagi menempatkan peniaga-peniaga.

“Seharusnya sebelum perkara tersebut dilaksanakan, makluman dan perbincangan dengan koperasi perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, difahamkan petak-petak tapak niaga yang disediakan hanya mampu memuatkan lebih kurang 370 peniaga sahaja berbanding 500 peniaga sebelum ini.

“Jika keadaan ini berlaku, ia sekali gus menimbulkan masalah kepada baki selebihnya yang tidak mempunyai tapak niaga,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, sejak kebelakangan ini berlaku limpahan peniaga di Pasar Malam Kamunting.

“Keadaan tersebut disebabkan ramai peniaga-peniaga yang berniaga di Pasar Changkat Jering berpindah ke sini selepas tapak niaga di sana kurang mendapat sambutan,” katanya.

Lokasi beroperasi secara aktif

Rosli berkata, tapak Pasar Malam Kamunting antara lokasi yang beroperasi secara aktif kerana dalam tempoh masa seminggu, ia turut dijadikan sebagai tapak pasar harian, pasar minggu pada Ahad pagi, pasar Fama pada Sabtu dan pasar malam setiap Rabu, Khamis serta Sabtu.

“Oleh yang demikian, ramai dalam kalangan peniaga berpindah ke sini menyebabkan berlakunya limpahan peniaga bagi mencari rezeki,” katanya.

Tambahnya, apabila peniaga hanya dibenarkan berniaga di tapak yang disediakan sahaja, dia akan mendatangkan masalah kepada peniaga yang tidak mendapat tapak.
“Jika perkara tersebut berlaku, ia sekali gus akan mengganggu sumber rezeki peniaga terutama bagi mereka yang 100 peratus pendapatan diperoleh daripada hasil berniaga,” katanya.

Dalam masa sama katanya, difahamkan proses undian bagi menentukan tapak juga akan dilakukan.

“Sekiranya sistem undian dilaksanakan, ia sekali lagi mendatangkan masalah kepada peniaga kerana mungkin terpaksa berpindah ke tapak lain.

“Kebanyakan yang berniaga di sini sudah lama dan ada sebahagiannya mewarisi perniagaan datuk dan bapa mereka. Pelanggan juga sudah sedia maklum mereka berniaga di tapak tersebut dan sekiranya perlu berpindah mungkin pelanggan memerlukan masa untuk mencari mereka di tapak baru,” katanya.

Kawasan tapak niaga Pasar Malam dan Harian Kamunting yang diubah suai bagi menempatkan peniaga-peniaga.
Guna khemah 10x10 sahaja

Dalam pada itu, Rosli berkata, peniaga-peniaga juga hanya dibenarkan menggunakan khemah yang berkeluasan 10×10 dan perlu meletakkan kenderaan di tempat letak kereta di luar kawasan tapak niaga.

“Penggunaan khemah dengan keluasan itu tidak bersesuaian terutama kepada peniaga yang menjalankan perniagaan makanan atau pakaian. Tambahan pula kawasan Kamunting sememangnya sinonim dengan kejadian ribut dan angin pusar,” katanya.

Menurutnya, pada 2012 pihak koperasi memohon peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi menaik taraf tapak Pasar Malam dan Harian Kamunting iaitu memasang bumbung.
“Peruntukan sebanyak RM1.2 juta diluluskan dan diuruskan oleh pihak MPT dengan mendirikan bangunan perniagaan serba guna di tapak pasar malam ini.

“Namun menjadi kemusykilan apabila bangunan tersebut kemudiannya disewakan kepada koperasi dengan perjanjian baharu,” katanya.
Katanya, pihak koperasi kecewa dengan masalah yang berlaku kerana majoriti peniaga di situ adalah Melayu.

“Sejak tapak ini mula beroperasi sehingga sekarang, ia menunjukkan satu perkembangan yang baik dalam usaha menambah pendapatan peniaga-peniaga kecil ini.

“Setelah berjaya, mengapa keadaan ini berlaku sedangkan kita hanya ingin menjaga kebajikan peniaga sekali gus mencari penyelesaian terhadap setiap masalah yang timbul,” katanya.

Berunding dengan koperasi, peniaga

Peniaga, Mohd Hasnulkifli Abd Talib, 51, berkata, dia berharap pihak MPT dapat berunding dan berbincang terlebih dahulu dengan koperasi serta peniaga sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Tambahan pula, kira-kira 98 peratus adalah peniaga Melayu yang menjalankan perniagaan di tapak ini.

“Jika hanya sebahagian sahaja peniaga boleh berniaga, bagaimana dengan nasib peniaga lain sedangkan di sinilah tempat mereka mencari rezeki," katanya.
Mohd Hasnulkifli berkata, dia yang mewakili peniaga-peniaga lain berharap pihak MPT dapat mendengar rintihan dan keluhan semua peniaga di sini.

“Apa yang kami mahukan ialah kawasan tapak pasar malam dan harian ini dibina bumbung supaya dapat  memberikan keselesaan serta kemudahan kepada peniaga,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Azlan Abd Aziz pula berkata, kebanyakan yang berniaga di tapak ini bukan daripada golongan senang malah ada daripada mereka terdiri daripada ibu tunggal.
“Sekiranya mereka tidak boleh berniaga bagaimana dengan sumber pendapatan mereka, pastinya akan terjejas,” katanya.

Peniaga, Norasmah Ibrahim, 36, berkata, dia juga antara salah seorang peniaga yang meneruskan perniagaan keluarga sejak lebih 20 tahun lalu.
“Saya hanya berniaga kecil-kecilan dengan menjual air dan buah, sekiranya kami diarah berpindah memang agak sukar,” katanya.
Ahli-ahli koperasi dan wakil peniaga berkumpul di kawasan tapak pasar malam.

Tuesday 7 June 2016

PENYOKONG BARISAN NASIONAL KOTORKAN BANDAR DIRAJA KUALA KANGSAR



BANDAR KUALA KANGSAR - Selesai sudah penamaan calon bagi PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, namun sayangnya keadaan selepasnya tidak seindah disangka.

Bandar Kuala Kangsar sememangnya terkenal dengan imej bandar bersih namun keadaan selepas penamaan calon tidak melambangkan imej tersebut.
Manakan tidak, bekas minuman, sampah sarap malah sepanduk dan bendera turut dibuang begitu sahaja oleh penyokong BARISAN NASIONAL.

Tinjauan juga mendapati sampah memenuhi jalan raya manakala sepanduk diletakkan di pagar dan pokok lantas mewujudkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.
Begitu pun, bukan semua lokasi pengumpulan penyokong berada dalam keadaan kotor kerana ada juga kebersihannya dijaga dengan baik.

Ada tempat yang bersih malah juga terserempak dengan seorang lelaki separuh umur yang sibuk membersihkan jalan raya yang dipenuhi sampah.
Biar apa pun aktiviti, seharusnya kebersihan dijadikan amalan apatah lagi apabila berada di Kuala Kangsar, bandar yang terkenal dengan imej bersihnya.
Kebersihan itu amalan mulia, apa salahnya dipraktikkan.



Monday 6 June 2016

PEMIMPIN BIARKAN RAKYAT HIDUP DI RUMAH USANG



LEKIR - Walaupun mengalami pelbagai kerosakan, sebuah keluarga di Kampung Batu 12, di sini terpaksa mendiami rumah yang usang dan tidak selesa.

Halimah Abu Tahir, 60, berkata, dia dan suaminya, Mat Yen Diman, 50, bersama anak, Mat Shahir, 30, sudah biasa dengan keadaan itu memandangkan itu sahaja tempat untuk mereka berteduh walaupun lantai sudah reput, dinding rosak selain bumbung bocor. 

Menurutnya, jika diberi pilihan, mereka mahukan sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami namun tidak kesampaian kerana kesempitan hidup yang dialami.

"Kami dah tinggal di sini lebih 15 tahun lalu. Kami amat berbesar hati jika ada pihak yang sudi membantu memandangkan keadaan rumah yang sudah usang," katanya ketika ditemui pada program Jejak Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) di rumahnya, baru-baru ini. 

Sebanyak enam buah keluarga telah diziarahi pada program itu bagi mengenal pasti masalah setiap keluarga berkenaan.

Halimah berkata, mereka tidak mempunyai pendapatan tetap kerana suaminya hanya bekerja mengambil upah menghantar penumpang ke pekan berhampiran.

"Anak saya pula tak bekerja kerana mengalami kecederaan di otak setelah ditimpa kemalangan pada usia 18 tahun. 

"Dia ada dapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat Maipk, Bakri Lee berkata, pihaknya akan mencari rumah sewa yang sesuai untuk didiami oleh keluarga itu memandangkan keadaan rumah mereka yang sudah usang.