Friday 26 June 2015

Hentikan Kritikan Terhadap Pasukan Keselamatan Negeri - Zambry

IPOH: Pihak-pihak yang gemar membuat analisis dan kritikan terhadap pasukan keselamatan negeri dan negara dinasihatkan supaya jangan bertindak keterlaluan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan mereka ini tidak membawa sebarang kebaikan, malah boleh merendahkan moral perjuangan anggota pasukan keselamatan negara.

Menurut beliau, mana-mana negara sekalipun akan menjaga aspek keselamatan dan menghormati pasukan keselamatan mereka.

“Mana-mana negara akan menghormati pasukan keselamatan anggota tentera daripada pelbagai unit dan juga pelbagai lapangan seperti darat, udara dan laut.

“Ini semua merupakan elemen-eleman penting dalam pertahanan negara dan juga keselamatan negara,” kata Dr Zambry kepada pemberita selepas menyerahkan sejumlah 15,589 kotak juadah Hari Raya kepada 16 pasukan keselamatan dan beruniform sumbangan Kerajaan Negeri Perak dan Baiduri sempena Aidilfitri di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Turut hadir di majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Polis Perak, Timbalan Pesuruhjaya Kanan Polis (SDCP) Datuk Osman Salleh.

Menurut Zambry, rakyat jelata harus menghormati pasukan keselamatan yang selama ini menjadi kunci kepada keselamatan negeri dan negara.

Katanya, majlis sumbangan juadah Hari Raya ini merupakan simbolik terhadap pengiktirafan daripada kerajaan negeri terhadap jasa-jasa yang ditaburkan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan kepada negeri dan negara.

Beliau berkata, sumbangan bungkusan juadah raya kepada anggota pasukan keselamatan dan beruniform di negeri ini merupakan tradisi yang dilaksanakan saban tahun oleh Kerajaan Negeri Perak dan Baiduri.

Menurut Zambry, pada tahun ini bilangan bungkusan juadah Hari Raya yang disumbangkan kepada anggota pasukan keselamatan telah bertambah berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, kalau dulu dianggarkan sekitar 9,000 bungkusan tapi kali ini meningkat kepada 16,000 bungkusan dan sudah pastinya ramai dalam kalangan anggota keselamatan dan beruniform dapat merasai pemberian sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan negeri.

Sebanyak 16 pasukan yang menerima sumbangan itu ialah PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, Markas 2 Briged, TUDM, TLDM, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja, Jabatan Penjara Taiping, Kem Tahanan Taiping, Jabatan Penjara Tapah dan Jabatan Penjara Batu Gajah.

Astro Awani