Monday 6 June 2016

PEMIMPIN BIARKAN RAKYAT HIDUP DI RUMAH USANG



LEKIR - Walaupun mengalami pelbagai kerosakan, sebuah keluarga di Kampung Batu 12, di sini terpaksa mendiami rumah yang usang dan tidak selesa.

Halimah Abu Tahir, 60, berkata, dia dan suaminya, Mat Yen Diman, 50, bersama anak, Mat Shahir, 30, sudah biasa dengan keadaan itu memandangkan itu sahaja tempat untuk mereka berteduh walaupun lantai sudah reput, dinding rosak selain bumbung bocor. 

Menurutnya, jika diberi pilihan, mereka mahukan sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami namun tidak kesampaian kerana kesempitan hidup yang dialami.

"Kami dah tinggal di sini lebih 15 tahun lalu. Kami amat berbesar hati jika ada pihak yang sudi membantu memandangkan keadaan rumah yang sudah usang," katanya ketika ditemui pada program Jejak Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) di rumahnya, baru-baru ini. 

Sebanyak enam buah keluarga telah diziarahi pada program itu bagi mengenal pasti masalah setiap keluarga berkenaan.

Halimah berkata, mereka tidak mempunyai pendapatan tetap kerana suaminya hanya bekerja mengambil upah menghantar penumpang ke pekan berhampiran.

"Anak saya pula tak bekerja kerana mengalami kecederaan di otak setelah ditimpa kemalangan pada usia 18 tahun. 

"Dia ada dapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat Maipk, Bakri Lee berkata, pihaknya akan mencari rumah sewa yang sesuai untuk didiami oleh keluarga itu memandangkan keadaan rumah mereka yang sudah usang.

0 comments:

Post a Comment