Tuesday 2 June 2015

Kementerian Pelancongan Mohon Jambatan Victoria Diisytihar Warisan Negara

KUALA KANGSAR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam proses memohon kepada kerajaan Perak untuk menjadikan Jambatan Victoria di sini, diisytihar sebagai Warisan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usaha itu dilakukan bertujuan untuk memastikan jambatan berkenaan diberi penjagaan sewajarnya selain bagi mengekalkan nilai warisannya.

"Apabila telah diisytiharkan sebagai Warisan Negara, hak penjagaan jambatan itu akan diberikan kepada Jabatan Warisan Negara...ini untuk kepentingan generasi akan datang.

"Dengan cara itu, kita dapat memastikan tiada pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ke-115 tahun jambatan berkenaan di sini, pada Ahad.

Mohamed Nazri berkata proses permohonan berhubung cadangan tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan Perak untuk dipertimbangkan.

"Apabila kerajaan negeri sudah beri kelulusan, kita boleh isytihar dalam masa terdekat. Kita akan ikut proses," katanya.

Jambatan Victoria, juga dikenali sebagai Jambatan Enggor yang terletak di Enggor di sini, merupakan antara jambatan kereta api tertua di Malaysia.

Jambatan itu mula dibina pada 1897 dan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan dan dirasmikan oleh Sultan Perak ke-28 Sultan Idris Murshidul'adzam Shah 1 pada 1900.

Pembinaan jambatan itu merupakan laluan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar, namun pada 1910 jambatan tersebut telah digunakan sepenuhnya untuk laluan kereta api dari Seberang Perai, Pulau Pinang ke Johor Baharu.

Jambatan berkenaan kekal digunakan sehingga 2002 apabila jambatan baharu dibina bagi menggantikan laluan kereta api.

Sementara itu, mengulas mengenai kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan pelarian etnik Rohingya dari Myanmar di Langkawi,

Kedah baru-baru ini, Mohamed Nazri berkata ia tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di negara ini.

"Dalam perkara ini, asalkan kerajaan berurusan mengikut kehendak PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu), saya fikir ia tidak akan menjejaskan pelancongan.

"Setakat ini, kita bertanggungjawab dengan membenarkan mereka mendarat ambil... mereka untuk sementara sahaja, sebelum penempatan tetap diputuskan," katanya.

Sejumlah 1,158 pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh, dilaporkan ditahan selepas bot mereka mendarat di Langkawi pada 11 Mei lepas.

Astro Awani