KUALA KURAU - Program Ihya Ramadan yang dijalankan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Hidayah Parit Abas, di sini, sepanjang Ramadan bertujuan membentuk keperibadian dan kerohanian pelajar dalam mengimarahkan bulan mulia itu.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Nazrudin Abd Rasid berkata, Bahagian Hal Ehwal Murid sekolah melalui Badan Dakwah dan Kerohanian (Badar) saban tahun menganjurkan program Ihya Ramadan bagi mengisi aktiviti sepanjang Ramadan.
Menurutnya, beberapa aktiviti khusus bagi menghidupkan bulan Ramadan ini dengan amal kebajikan dan ibadah telah disusun Badar.
“Pelbagai bentuk program Ihya Ramadan disusun pengarahnya, Zubaidah Abd Rahim seperti program Tadarus Al-Quran, Qiamullail, memasak bubur lambuk, Ziarah Mahabbah, ceramah Ramadan, sumbangan kepada keluarga miskin, iftar perdana bersama waris dan khatam al-Quran.
“Melalui program ini, pelajar dan guru-guru dilibatkan secara langsung dalam aktiviti yang dijalankan seperti memasak bubur lambuk dan mengagihkannya kepada penduduk setempat.
“Program yang melibatkan semua warga sekolah ini turut mendapat kerjasama dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lembaga pengurusan sekolah yang memberi sumbangan khas bagi menjayakan program yang dirancang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, program seperti itu juga memberi input berguna kepada para pelajar sekolah ini dengan melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti yang dijalankan.
“Saya juga berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama para ibu bapa dan penyumbang yang telah menjayakan program sepanjang Ramadan kali ini,” katanya.
SH
0 comments:
Post a Comment