Wednesday, 8 July 2015

Anggota Umno Perlu Kukuhkan Perpaduan, Usah Terpengaruh Pelbagai Provokasi - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menasihati anggota parti itu supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai provokasi yang dilontarkan oleh mereka yang menangguk di air keruh.

Beliau berkata anggota UMNO perlu berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku sejak kebelakangan ini, khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga merupakan Presiden UMNO.

"Kita perlu sedar bahawa dalam keadaan kita hari ini tentunya kita perlu terus waspada dan tidak alpa kerana pihak lain khususnya pembangkang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi benteng kita selama ini," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata anggota UMNO perlu terus memberi sokongan padu kepada presiden parti itu, serta memberikannya ruang untuk memikirkan tindakan sewajarnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Anggota UMNO perlu teruskan fokus perjuangan parti itu selaras dengan gerak kerja yang telah diatur, katanya.

"Usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan oleh mereka, malah sikap mereka yang gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi," katanya.

Tengku Adnan berharap anggota UMNO dapat terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur.

Jumaat lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib.

Sehubungan itu, banyak pihak menggesa perdana menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan nama beliau dan imej negara kerana dakwaan itu melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.

Dua hari lepas, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan itu.

Katanya perkara tersebut telah dirujuk kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan nasihat dan bentuk tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang boleh diambil di dalam dan luar negara.

BERNAMA

0 comments:

Post a Comment