Wednesday, 8 July 2015

Siapa Jual Maklumat Pasukan Khas Kepada WSJ?

Kebocoran maklumat task force punca spekulasi tak bertanggung jawab ke atas PM

Artikel yang diterbitkan oleh Wall Street Journal (WSJ) berhubung penyaluran wang 1MDB kepada akaun peribadi DS Najib Tun Razak adalah berdasarkan dokumen yang mereka peroleh daripada pasukan penyiasat khas kerajaan di Malaysia. Pasukan penyiasat khas tersebut telah ditubuhkan oleh Peguam Negara dan dianggotai oleh pegawai dari SPRM, Bank Negara Malaysia dan PDRM.

KPersoalan yang timbul pada hari ini adalah bagaimana Wall Street Journal (WSJ) boleh memperoleh dokumen tersebut dari pasukan penyiasat khas sehari selepas serbuan dilakukan (Serbuan 4 Julai, artikel WSJ diterbitkan 5 Julai). Kebocoran maklumat pasukan penyiasat khas  telah mengakibatkan spekulasi yang jahat dan tidak bertanggung jawab terhadap Perdana Menteri.

Tempoh masa yang terlalu singkat antara serbuan dilakukan dan dokumen tersebut diterbutkan oleh WSJ juga amat tidak munasabah. Dokumen tersebut masih belum disiasat dan dikaji dari segi keabsahannya, tetapi sudah sampai ke tangan media asing WSJ. Sebarang penyiasatan yang dijalankan tidak boleh didedahkan kepada orang awam apatah lagi kepada media asing sebelum selesai dan dibentangkan kepada pihak tertentu. Sekiranya sebarang pendedahan dibuat sekarang, sudah tentu akan menimbulkan pelbagai persepsi dan juga andaian yang tidak betul.

Malah, WSJ juga menyatakan bahawa dokumen yang tertera no akaun AmIslamic bank tersebut tidak tertera nama DS Najib. Nama beliau hanya disebut di dalam sebuah gambarajah yang disediakan oleh pasukan penyiasat khas tersebut berdasarkan spekulasi semata-mata. Sebarang maklumat siasatan tidak wajar didedahkan kepada umum melainkan selepas disahkan bagi mengelakkan sebarang spekulasi. Pendedahan tersebut juga perlu dilakukan secara berhemah dan melalui saluran yang betul, bukannya menghantar ke media asing secara sembunyi.

Sewaktu kerajaan Malaysia menangani insiden pencerobohan Lahad Datu, pasukan keselamatan negara mengalami masalah kebocoran maklumat rahsia sehingga mengakibatkan ancaman keselamatan ke atas anggota keselamatan. Malah, ada juga anggota yang cedera dan terbunuh akibat daripada kebocoran maklumat tersebut. Apabila tindakan mencari dan mengeluarkan dalang kepada pembocoran maklumat tersebut dijalankan, barulah operasi dapat dilaksanakan tanpa diketahui oleh pengganas Sulu. Kejayaan pasukan keselamatan negara juga adalah hasil daripada pembersihan mereka yang membocorkan maklumat.

Pasukan penyiasat khas ini perlu menangguhkan siasatan sehingga dalang yang membocorkan maklumat kepada media asing dapat dikenalpasti dan diambil tindakan. Ketua setiap agensi iaitu SPRM, Bank Negara Malaysia, PDRM dan Peguam Negara perlu mengambil tanggung jawab untuk mencari dalang yang membocorkan maklumat tersebut. Integriti dan kerahsiaan di dalam pasukan penyiasat khas tersebut perlu dijaga untuk memastikan segala siasatan yang dijalankan tidak memihak kepada sesiapapun. Pemeriksaan dari segi emosi dan mentaliti anggota penyiasat juga harus diperiksa agar tidak dipengaruhi oleh sebarang pegangan politik yang keterlaluan. 

0 comments:

Post a Comment