Sunday, 2 August 2015

UPSI DAN ITBM TERUS KUKUHKAN KERJASAMA

Upsi dan ITBM mendatangani memorandum perjanjian bagi mengukuhkan lagi kerjasama.


TANJUNG MALIM - Dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak 2002 antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menandatangi memorandum perjanjian (MoA) baru-baru ini.

Upsi melalui Pejabat Karang Mengarang (PKM) akan memberi tumpuan khusus kepada aspek penterjemahan buku-buku cemerlang dalam dunia pendidikan dari luar negara ke dalam bahasa Melayu untuk bakal pendidik di Upsi dan universiti lain.

Pengarah PKM, Prof Madya Dr Nasir Nayan berkata, lima judul penerbitan dengan 20 penterjemah di Upsi berjaya dilakukan pada kali pertama kerjasama dan tidak mustahil jumlah tersebut akan meningkat dengan termeterainya memorandum kali ini.

Menurutnya, kerjasama tersebut dapat memperkukuhkan pengajaran, pembelajaran dan melengkapkan keunggulan bersama ITBM dalam bidang usaha sama penterjemahan, penerbitan bersama, latihan serta pemasaran.

“Kami akan melaksanakan kerja-kerja terjemahan dengan lebih agresif dan inovatif dalam bidang penerbitan yang boleh menguntungkan kedua-dua institusi,” katanya.

Hadir sama, Pendaftar Upsi, Mohd Faizi Othman yang mewakili Naib Canselor, Pengarah ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah.

Pada majlis sama turut diadakan majlis pra pelancaran buku bertajuk Matematik Kejuruteraan Asas Untuk Jurutera Elektronik, Elektrik, Komunikasi dan Sistem serta Matematik Kejuruteraan Moden Edisi Keempat berserta Mathlab yang diterjemahkan lapan ahli akademik dari Fakulti Sains dan Matematik Upsi.

Selain itu, pengisian diteruskan dengan wacana ilmu bersama ITBM bertajuk Industri Penterjemahan Buku Ilmiah Dalam Pendididkan Di Malaysia di samping jualan buku dengan potongan harga sehingga 30 peratus.


BAGAN DATOH TETAP MENYOKONG PERDANA MENTERI

Ahmad Zahid pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, semalam.


BAGAN DATOH – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkias meminta semua ahli memberi sokongan penuh kepada kepimpinan parti dalam mengharungi pelbagai isu semasa.

Menurutnya, kepercayaan dan taat setia yang diberikan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak penting dalam mendepani pelbagai usaha pihak lawan yang cuba menimbulkan budaya kebencian terhadap kerajaan dan pimpinannya.

“Mohon kepada Umno dan seluruh negara.... ketika ini apabila kapal dilanda gelombang jangan pula ada sesiapa berusaha mencampakkan nakhoda ketika menempuh badai.

“Jadi, inilah masa untuk kita menyusun barisan menyatakan taat setia kepada pucuk kepemimpinan parti. Tidak ada isu yang tidak boleh diatasi, jadi berikan sokongan sekuat-kuatnya kepada perdana menteri,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh, semalam.


Mesyuarat itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Adnan Yaakob di Wisma Umno, di sini, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendirian bahawa pelantikan jawatan baharunya itu adalah satu tanggungjawab besar kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya meminta semua ahli memainkan peranan menenangkan rakyat ketika kerajaan dilanda dengan pelbagai isu.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Pahang turut menyentuh isu seperti kos sara hidup, siswazah menganggur dan perumahan rakyat yang perlu diselesaikan sebelum menghadapi PRU14.

“(Menghadapi) PRU14 bukan satu tugas yang mudah. Kita tengok trend sekarang, kebangkitan kebencian sehingga rakyat tidak percaya kepada kerajaan. Jadi, apa yang penting adalah beri kepercayaan kepada kepimpinan kita.

"Gandingan perdana menteri dan timbalannya sama-sama cari jalan untuk selesaikan masalah. Pada masa sama, yang di bawah janganlah menokok tambah sebaliknya tunggu,”


Tuesday, 28 July 2015

SENARAI PENUH KABINET BARU 2015


Kabinet Kerajaan

Perdana Menteri Merangkap Menteri Kewangan - YAB DS Najib Razak
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KDN - YAB DS Dr Zahid Hamidi

Menteri Pengangkutan - YB DS Liow Tiong Lai
Timb. Pengangkutan - YB Dato Aziz Kaprawi

Menteri Kesihatan - YB DS Subramaniam
Timbalan - YB DS Dr. Hilmi Yahya

Menteri JPM - YB Dato Mah Siew
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan - YB DS Nazri Aziz
Timbalan - YB
Dato Mas Ermyriati

Menteri Pertahanan - YB DS Hishamuddin
Timbalan -YB DW Mohd Johari Baharom

Menteri MITI - YB DS Mustpha Mohamad
Timbalan - YB Dato Ahmad MAslan dan YB Senator Dato Lee Chee Liong

Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan AIr - YB DS Maximus Ongkili
Timbalan - YB Dr James Dawos Mamat

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi - YB Dato Amar Douglas
Timbalan - YB Dato Noriah Kasnom

Menteri Pertanian dan Industri Tani - YB DS Shabery Cheek
Timbalan - YB DS Haji Tajuddin Abd Rahman

Menteri KKLW - YB DS Ismail Sabri
Timbalan - YB Dato Alaxender dan YB Dato Ahmad Jazlan

Menteri Kewangan II - YB DS Ahmad Husni Hanadzlah
Timbalan Menteri Kewangan - YB Datuk Johari Abd Ghani dan YB Datuk Chua Tee Yong

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi - YB Datuk Wilfred
Timbalan - YB Datuk Dr Abu Bakar

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - YB DS Hajah Rohani
Timbalan - YB Datuk Hajah Azizah dan YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun

Menteri Kerja Raya - YB DS Fadhilah Yusof
Timbalan - YB Dato Rosnah Rashid Shirlin

Menteri Sumber Manusia - YB DS Richard RIot
Timbalan - YB DS Haji Ismail

Menteri WP - YB DS Tengku Adnan Tengku Mansor
Timbalan - YB Loga Bala

Menteri Pengajian Tinggi - YB DS Idris Jusoh
Timbalan - YB Datuk Yap Kain

Menteri Luar - YB DS Anifah Aman
Timbalan - YB DS Reezal
Menteri JPM - YB Datuk Joseph Entulu

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar - YB Datuk Dr Wan Junaidi
Timbalan - YB Datuk Ir Haji Hamim

Menteri Pendidikan - YB DS Mahadzir Khalid
Timbalan - YB P Kamalanathan

Menteri Belia dan Sukan - YBKhairy Jamalaluddin
Timbalan - YBDatuk Saravanan

Menteri Komunikasi dan Multimedia - YB DS Panglima Dr. Mohd Salleh Keruak
Timbalan - YB Dato Jailani Johari

Menteri KPDNKK - YB Datuk Hamzah Zainuddin
Timbalan - YB Datuk Paduka Ahmad Bashah

Menteri JPM - YB DS Jamil Kamil Baharoom
Timbalan - YB Senator Dato Dr. Asyraf Wajdi

Menteri JPM - YB DS Azalina , YB Dato Ir. Wee Ka Siong, YB DS Wanid Omar, YB Puan Hajah Nancy, YB DS Shahidan Kassim, YB Senator Paul Lo, YB DS Idris Jala, YB DS Panglima Joseph Kurup, YB Dato Josep Entulu,

Timbalan Menteri JPM - Dato Razali Ibrahim
Timbalan Menteri KDN - Datuk Nur Jazlan dan Tuan Masir Anak Kujat






Monday, 27 July 2015

TALAK 3 ISTERI PEMIMPIN PAS BOLEH DI SELAMATKAN ?



IPOH - Tidak wajar cagar isteri untuk kepentingan politik, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Menurutnya, Dewan Ulama Pas sepatutnya lebih maklum tentang berbai’ah atau bersumpah taat setia kepada parti kerana keanggotaan ramai ulama di dalamnya.
“Mereka (Dewan Ulamak) dalam kalangan ulama takkan tidak faham tentang bai’ah tersebut. Sumpah atau bai’ah boleh dilakukan tetapi sumpah untuk taat setia kepada parti sahaja.
“Tidak sewajarnya mengaitkan isteri sebagai cagaran untuk kepentingan politik. Apa kena mengena dengan isteri sedangkan suami yang ingin kekal dalam kerjaya politiknya,” katanya, semalam.
Menurutnya, Dewan Ulama Pas juga perlu memperjelaskan bai’ah yang dilakukan agar menepis tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap perjuangan parti tersebut.  
Harussani berkata, walaupun begitu sumpah berkenaan boleh dibatalkan dengan memberi makan 10 fakir miskin atau memerdekakan seorang hamba. 
Mengulas cadangan agar Majlis Fatwa menetapkan garis panduan sumpah bai’ah supaya tidak dicampuradukkan dengan hal peribadi, beliau berkata, isu sumpah bai’ah itu telah lama berlaku cuma umum tidak tahu bai’ah apa yang mereka dilakukan.
“Ini yang susah dengan orang kita. Apabila diketuk baharu hendak buat sedangkan isu itu telah berlaku sejak dahulu. Dalam hal ini lebih baik tanya Pengerusi Majlis Fatwa sendiri,” katanya. 
Terdahulu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yacob mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang dilafazkan wakil rakyat Pas Kelantan jika mereka meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.


Sunday, 26 July 2015

ZAMBRY PERTAHANKAN ISU COUPLE SEAT DI PANGGUNG WAYANG PERAK !!!



LUMUT - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan kenyataan pemimpin DAP Perak berkaitan syarat ditetapkan panggung wayang di Seri Iskandar sebagai gambaran sikap tidak bertanggungjawab mereka dalam mengendali isu sensitif.

Beliau menyifatkan tindakan DAP mengeluarkan kenyataan biadab tanpa melakukan soal selidik dan mendapatkan maklum balas pihak pengurusan panggung wayang berkaitan perkara itu dilakukan demi kepentingan politik.

"Saya telah sebutkan bahawa hal yang sedemikian hendaklah diatasi dengan mendapat maklum balas terlebih dahulu, khususnya isu sensitif, berkaitan soal agama dan kaum yang kita tahu boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. 

"Kenyataan biadab yang dikeluarkan itu boleh menghiris perasaan umat Islam yang lain. Sekadar nak menjadi jaguh untuk mendapat keuntungan politik tanpa memikirkan implikasi buruk yang bakal muncul, tidak menggambarkan ahli politik yang baik," katanya kepada pemberita pada majlis Jamuan Aidilfitri Umno Bahagian Lumut di Dewan Merdeka Seri Manjung hari ini.

Isu berkenaan muncul selepas pihak pengurusan pawagam berkenaan menetapkan pasangan yang duduk di kerusi berkembar untuk menonton wayang perlu menunjukkan sijil nikah sebagai bukti mereka adalah suami isteri.

Zambry berkata beliau telah mendapatkan maklum balas Majlis Daerah Perak Tengah berhubung perkara itu dan dimaklumkan perbincangan berhubung syarat itu telah diadakan ketika pawagam ini hendak diwujudkan beberapa tahun yang lalu di kawasan Parlimen Parit dan Perak Tengah yang melibatkan 90 peratus kaum Melayu.
"Jadi sudah tentu sebarang aktiviti yang hendak dilakukan hendaklah merujuk komposisi kaum di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata sebarang persoalan berhubung isu itu sepatutnya dibawa berbincang bagi menjaga keharmonian masyarakat, terutama yang membabitkan isu perkauman dan agama.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, menerusi akaun Facebooknya mempertikai syarat yang dikenakan ke atas pasangan yang duduk di kerusi berkembar untuk menonton wayang di pawagam itu sambil menyifatkannya sebagai 'penyakit kerajaan BN (Barisan Nasional) Perak'.

Bantahan berhubung perkara itu turut disokong Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) negeri Lee Chuan How dalam sidang media Khamis lepas. - Bernama


Saturday, 25 July 2015

SEKOLAH LANGKAP RUGI RM16,500

Gambar hiasan


LANGKAP- Sebuah sekolah rendah di sini dipecah masuk dan pelbagai jenis peralatan komputer dilarikan, 16 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisoner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian pada kira-kira jam 1.30 pagi itu disedari pengawal sekolah tersebut yang sedang meronda di kawasan tersebut.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat sebelum pegawai dan anggotanya bergegas ke tempat kejadian bagi membuat siasatan awal.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan memasuki makmal komputer  melalui bangunan utama sebelum memasuki lokasi kejadian menerusi bumbung makmal tersebut.

“Suspek berjaya melarikan tiga untuk LCD Projector dan lapan unit komputer riba. Kerugian dianggarkan sebanyak RM16,500,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Shuhaily berkata, pemeriksaan pada kamera litar tertutup yang dipasang tidak dapat mengecam suspek kerana kejadian itu berlaku pada waktu malam.

Menurutnya, pihaknya juga percaya kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan modus operandi yang dijalankan oleh suspek.

Katanya, pihaknya kini sedang giat mencari kesemua suspek bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan curi.


PENIAGA TAPAH DI KOMPAUN

Musa (kiri) ketika menjalankan pemeriksaan, baru-baru ini.



TAPAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Tapah mengeluarkan satu kompaun kepada seorang peniaga kerana tidak meletakkan tanda harga warna merah jambu sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri di daerah ini.

Ketua Cawangannya, Musa Ramli berkata, bilangan kompaun yang dikeluarkan pihaknya berkurangan berbanding tahun lalu yang mencatatkan tiga kompaun diberikan kepada peniaga atas kesalahan sama.

Menurutnya, seorang peniaga di hadapan Pasar Awam Sungkai dikenakan kompaun RM100 setelah gagal meletakkan tanda harga warna merah jambu baru-baru ini.

“Adalah menjadi satu kesalahan mana-mana peniaga yang gagal meletakkan tanda harga warna merah jambu menyebabkan mereka (peniaga) boleh dikenakan kompaun.

“Selain itu, pihak kami turut merampas barangan terkawal yang tidak diletakkan harga warna merah jambu iaitu tomato dan bawang putih yang bernilai RM36,” katanya .

Musa berkata, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga warna merah jambu pada barangan terkawal boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, peniaga boleh dikenakan denda RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 jika didapati bersalah.

“Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 jika didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya.

Katanya, bilangan kompaun yang dikeluarkan oleh pihaknya pada tahun ini berkurangan kerana peniaga akur selain mematuhi peraturan etika perniagaan.

“Selain itu juga, kekerapan pemantauan yang dijalankan oleh pegawai dan anggota saya ke premis perniagaan antara bilangan kompaun dikeluarkan berkurangan berbanding tahun lalu,” katanya.