Saturday 25 July 2015

PENIAGA TAPAH DI KOMPAUN

Musa (kiri) ketika menjalankan pemeriksaan, baru-baru ini.



TAPAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Tapah mengeluarkan satu kompaun kepada seorang peniaga kerana tidak meletakkan tanda harga warna merah jambu sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri di daerah ini.

Ketua Cawangannya, Musa Ramli berkata, bilangan kompaun yang dikeluarkan pihaknya berkurangan berbanding tahun lalu yang mencatatkan tiga kompaun diberikan kepada peniaga atas kesalahan sama.

Menurutnya, seorang peniaga di hadapan Pasar Awam Sungkai dikenakan kompaun RM100 setelah gagal meletakkan tanda harga warna merah jambu baru-baru ini.

“Adalah menjadi satu kesalahan mana-mana peniaga yang gagal meletakkan tanda harga warna merah jambu menyebabkan mereka (peniaga) boleh dikenakan kompaun.

“Selain itu, pihak kami turut merampas barangan terkawal yang tidak diletakkan harga warna merah jambu iaitu tomato dan bawang putih yang bernilai RM36,” katanya .

Musa berkata, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga warna merah jambu pada barangan terkawal boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, peniaga boleh dikenakan denda RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 jika didapati bersalah.

“Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 jika didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya.

Katanya, bilangan kompaun yang dikeluarkan oleh pihaknya pada tahun ini berkurangan kerana peniaga akur selain mematuhi peraturan etika perniagaan.

“Selain itu juga, kekerapan pemantauan yang dijalankan oleh pegawai dan anggota saya ke premis perniagaan antara bilangan kompaun dikeluarkan berkurangan berbanding tahun lalu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment