Friday 24 July 2015

MESEJ PALSU GEMPARKAN PENDUDUK GERIK PERAK

Mesej palsu mengarahkan stesen minyak di Gerik kehabisan bekalan menimbulkan suasana panik orang ramai.


GERIK - Penyebaran beberapa berita palsu melibatkan dua kejadian di Gerik menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak kerana ia menyulitkan tugas pihak berkaitan.

Berita palsu yang tersebar baru-baru ini, mengatakan terdapat gajah naik minyak hingga menyebabkan seorang maut menerima banyak maklum balas daripada pengguna laman sosial sehingga membuatkan mereka bimbang untuk menggunakan Jalan Raya Timur Barat (JRTB).

Beberapa hari sebelum itu, mesej berkaitan kehabisan minyak di seluruh Gerik tersebar secara meluas dan ia menyebabkan keadaan menjadi sedikit kelam-kabut berikutan ada pengguna yang membuat pembelian panik.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Gerik, Mohd Asri Mat Hassan berkata, penyebaran berita palsu itu menyulitkan tugas anggotanya yang terpaksa menjelaskan perkara tersebut kepada orang awam.

Menurutnya, masalah tidak timbul kepada penduduk tempatan kerana mereka tahu bekalan mencukupi namun situasi berbeza buat orang luar yang bimbang sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Penyebaran berita itu adalah palsu kerana stesen minyak yang menghadapi masalah bekalan cuma satu sahaja, yang lain bekalan masih mencukupi.

“Bekalan kurang disebabkan lori tangki tidak mencukupi selain permintaan di luar jangkaan disebabkan orang berpusu-pusu balik ke kampung pada hari berkenaan.

“Begitu pun, bekalan kembali pulih keesokan harinya dan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Asri berkata, pihaknya menumpukan kepada pengawalan bekalan minyak dan harga barangan beberapa hari sebelum Aidilfitri dan hanya bercuti pada hari raya pertama.

Katanya, usaha itu dilakukan bagi memastikan orang awam dapat pulang ke kampung dalam keadaan selesa, namun penyebaran berita seperti itu sedikit sebanyak menjejaskan imej KPDNKK Gerik.

“Bila adanya berita sebegini, orang awam akan lihat seperti kita tidak menjalankan tugas sedangkan setiap hari laporan dihantar kepada saya untuk diperiksa.

“Berita seperti ini kadangkala menyulitkan tugas kami dan sedikit sebanyak menjejaskan imej kementerian. Mereka yang mahu memuat naik maklumat dalam media sosial perlu memeriksa kesahihan berita itu terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Gerik, Suhasni Hayani menempelak sikap segelintir individu yang gemar menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dengan mengheret individu-individu tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan agar memberi pengajaran kepada orang lain.

“Berkenaan kes gajah mengamuk, ia menyebabkan orang ramai mula panik untuk melalui JRTB kerana terkesan dengan berita sebegitu sedangkan kita sedia maklum, gajah hanya bertindak liar apabila mempertahankan diri.

“Oleh itu, kita berharap rakyat jangan mudah terpedaya dengan maklumat melalui aplikasi WhatsApp sebaliknya perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi pihak berkuasa," katanya.




0 comments:

Post a Comment