Wednesday 22 July 2015

PERAK TERIMA TIMBALAN KETUA POLIS BARU

Hasnan (kiri) dilantik Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu berkuat kuasa hari ini.



IPOH – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan, semalam secara rasminya mengambil alih tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu berikutan persaraan Datuk A Paramasivam pada 30 Jun lalu.

Jawatan itu sebelum ini dipangku, Ketua Cawangan Khas Negeri, Datuk Burhanuddin Ijab selama dua bulan sebelum menyerahkan secara rasmi kepada Hasnan.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini yang disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Negeri, Asisten Komisioner Goh Kok Liang.

Hasnan berkata, beliau akan melaksanakan visi dan misi dengan menggunakan pengalamannya selama 38 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya akan berusaha menyelesaikan kes untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang baik dan memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Selain itu, saya akan bekerjasama dengan anggota serta pegawai supaya segala pengurusan di IPK Perak berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

Hasnan, 56, anak kelahiran Jerantut, Pahang memulakan kerjaya bersama PDRM pada 1 Oktober 1977 dan mempunyai pengalaman luas terutamanya dalam Jabatan Siasatan Jenayah.

Turut diadakan majlis serah terima tugas Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Negeri, daripada Datin Zuriani Mohd Kamal daripada pemangku, Datin Siti Maimunah Harjani. - SINAR HARIAN



0 comments:

Post a Comment