Wednesday 22 July 2015

CILAKA MENIMPA PAS DI AIDILFITRI



IPOH - Pas Perak menyokong kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menegaskan tindakan disiplin akan dikenakan terhadap ahli parti yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi menjaga imej dan kredibiliti Pas daripada dicemari anasir yang mempunyai kepentingan tertentu.

“Kalau GHB berdaftar sebagai parti politik dan ahli Pas yang sertai pertubuhan itu automatik terlucut keahliannya.

“Itu bukan individu tertentu dalam Pas yang tetapkan, tetapi berdasarkan perlembagaan parti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, tindakan itu juga sebagai peringatan kepada ahli lain supaya tidak sesekali membuat keputusan membelakangkan parti.

“Ketegasan itu perlu ada dan bagi kita, tiada ruginya jika Pas kehilangan individu yang hanya mempunyai kepentingan tertentu sehingga membelakangkan parti,” katanya.

Bagi Razman, meskipun kewujudan GHB sedikit sebanyak memberi kesan kepada Pas, namun pihaknya yakin kepimpinan sedia ada mampu mendepani cabaran tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan GHB tidak akan memberi nilai tambah kepada sokongan rakyat terhadap PR dalam mengambil alih pemerintahan daripada BN.

“Hal ini kerana, mereka merupakan individu yang lahir daripada Pas dan mereka adalah individu sama yang menggerakkan GHB, jadi di mana nilai tambahnya?,” katanya - SINAR HARIAN


RAZMAN ZAKARIA


0 comments:

Post a Comment