Monday 27 July 2015

TALAK 3 ISTERI PEMIMPIN PAS BOLEH DI SELAMATKAN ?



IPOH - Tidak wajar cagar isteri untuk kepentingan politik, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Menurutnya, Dewan Ulama Pas sepatutnya lebih maklum tentang berbai’ah atau bersumpah taat setia kepada parti kerana keanggotaan ramai ulama di dalamnya.
“Mereka (Dewan Ulamak) dalam kalangan ulama takkan tidak faham tentang bai’ah tersebut. Sumpah atau bai’ah boleh dilakukan tetapi sumpah untuk taat setia kepada parti sahaja.
“Tidak sewajarnya mengaitkan isteri sebagai cagaran untuk kepentingan politik. Apa kena mengena dengan isteri sedangkan suami yang ingin kekal dalam kerjaya politiknya,” katanya, semalam.
Menurutnya, Dewan Ulama Pas juga perlu memperjelaskan bai’ah yang dilakukan agar menepis tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap perjuangan parti tersebut.  
Harussani berkata, walaupun begitu sumpah berkenaan boleh dibatalkan dengan memberi makan 10 fakir miskin atau memerdekakan seorang hamba. 
Mengulas cadangan agar Majlis Fatwa menetapkan garis panduan sumpah bai’ah supaya tidak dicampuradukkan dengan hal peribadi, beliau berkata, isu sumpah bai’ah itu telah lama berlaku cuma umum tidak tahu bai’ah apa yang mereka dilakukan.
“Ini yang susah dengan orang kita. Apabila diketuk baharu hendak buat sedangkan isu itu telah berlaku sejak dahulu. Dalam hal ini lebih baik tanya Pengerusi Majlis Fatwa sendiri,” katanya. 
Terdahulu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yacob mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang dilafazkan wakil rakyat Pas Kelantan jika mereka meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.


0 comments:

Post a Comment