Friday 24 July 2015

5 JUTA BANTUAN DARI YBU UNTUK PENDUDUK TANJUNG PIANDANG

Abdul Puhat(tiga, kiri) menyerahkan sumbangan kotak makanan YBU kepada salah seorang penerima bantuan di Kampung Sungai Baru, Tanjung Piandang sambil diiringi Ismail (tengah).


TANJUNG PIANDANG - Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) menyasarkan peruntukan RM5 juta bagi membaik pulih dan membina baharu rumah rakyat Perak yang memerlukan dapat diselesaikan sepanjang 2015.

Pengerusinya, Datuk Ismail Saffian berkata, sehingga Julai 2015, pihaknya sudah membelanjakan sekurang-kurangnya RM2.5 juta bagi tujuan membaik pulih dan membina baharu lebih 500 rumah penerima bantuan yang terpilih di setiap daerah di negeri ini.

Menurutnya, di sebalik usaha menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, YBUDR tetap meletakkan syarat permohonan yang ketat bagi memastikan hanya pemohon yang benar-benar layak sahaja diberikan bantuan sewajarnya.

“Dua syarat utama dititikberatkan pihak kami adalah pemohon haruslah memastikan status tanah untuk dibangunkan rumah baharu menepati kriteria ditetapkan YBUDR iaitu tidak mempunyai pemilikan bertindih atau bukan tanah pusaka hak milik keluarga pemohon.

“Syarat kedua adalah melibatkan status pemohon itu sendiri iaitu mestilah tergolong di dalam kumpulan Fokus Grup yang dikenal pasti agensi pelaksana pentadbiran daerah.

“Bagi memastikan kedua-dua syarat itu dipenuhi, pihak YBUDR sendiri mengambil inisiatif turun padang bagi mengenal pasti sama ada pemohon bantuan benar-benar layak atau tidak selain laporan agensi pelaksana pentadbiran daerah,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan turun padang ke rumah tiga pemohon bantuan bina rumah baharu di sekitar Mukim Tanjung Piandang, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kerian, Mohd Ghopran Yeop Hamzah.

Ismail berkata, dalam program lawatan turun padang yang diadakan, pihaknya mengenal pasti tiga rumah pemohon bantuan di Kampung Sungai Baru dan Kampung Sungai Burong, di sini memerlukan pembinaan rumah baharu, manakala sebuah lagi rumah bakal dilaksanakan kerja-kerja membaik pulih.

Menurutnya, YBUDR menjangkakan kos keseluruhan kerja membina rumah baharu dan membaik pulih rumah bagi empat permohonan itu bernilai RM150,000 dan projek itu akan dilaksanakan bergantung kepada syarat kelayakan ditetapkan YBUDR.

“Selain itu, sepanjang Ramadan lalu, YBUDR komited memperuntukkan pengagihan sejumlah 8,000 kotak bantuan makanan dan keperluan asas ke seluruh daerah di Perak.

“Pengagihan kotak bantuan makanan itu diagihkan bagi meringankan beban golongan memerlukan dalam menyambut perayaan Aidilfitri ketika ini,” katanya.


0 comments:

Post a Comment