Friday, 24 July 2015

4 KENDERAAN KEMALANGAN DI KAMPAR

Keadaan lori tiga tan yang hilang kawalan dan merempuh belakang Perodua Alza, menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan mengalami keretakan di pergelangan tangannya.


KAMPAR – Seorang kanak-kanak perempuan cedera apabila kereta dinaiki bersama ahli keluarganya terlibat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 308, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di sini, semalam.

Kejadian pada kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan kereta jenis Proton Perdana, Perodua Alza, lori dan kontena yang dalam perjalanan menuju ke utara. 

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mahiri Hussin berkata, mangsa  yang berusia 11 tahun dan berasal dari Masjid Tanah, Melaka adalah penumpang Perodua Alza.

“Siasatan awal mendapati Proton Perdana dari Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah kontena yang berada di lorong kiri lalu melanggar tepi kenderaan itu, menyebabkannya berpusing tengah jalan. 

“Pelanggaran itu menyebabkan Perodua Alza dan lori tiga tan yang berada di belakang kontena tak sempat elak dan melanggar kedua-dua kenderaan itu,” katanya. 

Beliau berkata, kanak-kanak perempuan itu yang mengalami retak pergelangan tangan kanan serta luka pada mata kanan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Bagaimanapun, kesemua pemandu dan penumpang terlibat tidak cedera. 

“Siasatan masih diteruskan mengikut Perkara 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 166/59,” katanya. 

Sementara itu dalam kejadian berasingan, anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai berjaya mengeluarkan dua lelaki yang tersepit selepas van dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Simpang Pulai – Changkat Larang di sini, semalam. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Rozmi Che Hamat, sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 5.23 pagi. 

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba segera mengeluarkan pemandu dan penumpang hadapan van terbabit.  Kedua-dua mangsa dihantar mendapatkan rawatan di HRPB,” katanya.



0 comments:

Post a Comment