Wednesday, 8 July 2015

Siapa Jual Maklumat Pasukan Khas Kepada WSJ?

Kebocoran maklumat task force punca spekulasi tak bertanggung jawab ke atas PM

Artikel yang diterbitkan oleh Wall Street Journal (WSJ) berhubung penyaluran wang 1MDB kepada akaun peribadi DS Najib Tun Razak adalah berdasarkan dokumen yang mereka peroleh daripada pasukan penyiasat khas kerajaan di Malaysia. Pasukan penyiasat khas tersebut telah ditubuhkan oleh Peguam Negara dan dianggotai oleh pegawai dari SPRM, Bank Negara Malaysia dan PDRM.

KPersoalan yang timbul pada hari ini adalah bagaimana Wall Street Journal (WSJ) boleh memperoleh dokumen tersebut dari pasukan penyiasat khas sehari selepas serbuan dilakukan (Serbuan 4 Julai, artikel WSJ diterbitkan 5 Julai). Kebocoran maklumat pasukan penyiasat khas  telah mengakibatkan spekulasi yang jahat dan tidak bertanggung jawab terhadap Perdana Menteri.

Tempoh masa yang terlalu singkat antara serbuan dilakukan dan dokumen tersebut diterbutkan oleh WSJ juga amat tidak munasabah. Dokumen tersebut masih belum disiasat dan dikaji dari segi keabsahannya, tetapi sudah sampai ke tangan media asing WSJ. Sebarang penyiasatan yang dijalankan tidak boleh didedahkan kepada orang awam apatah lagi kepada media asing sebelum selesai dan dibentangkan kepada pihak tertentu. Sekiranya sebarang pendedahan dibuat sekarang, sudah tentu akan menimbulkan pelbagai persepsi dan juga andaian yang tidak betul.

Malah, WSJ juga menyatakan bahawa dokumen yang tertera no akaun AmIslamic bank tersebut tidak tertera nama DS Najib. Nama beliau hanya disebut di dalam sebuah gambarajah yang disediakan oleh pasukan penyiasat khas tersebut berdasarkan spekulasi semata-mata. Sebarang maklumat siasatan tidak wajar didedahkan kepada umum melainkan selepas disahkan bagi mengelakkan sebarang spekulasi. Pendedahan tersebut juga perlu dilakukan secara berhemah dan melalui saluran yang betul, bukannya menghantar ke media asing secara sembunyi.

Sewaktu kerajaan Malaysia menangani insiden pencerobohan Lahad Datu, pasukan keselamatan negara mengalami masalah kebocoran maklumat rahsia sehingga mengakibatkan ancaman keselamatan ke atas anggota keselamatan. Malah, ada juga anggota yang cedera dan terbunuh akibat daripada kebocoran maklumat tersebut. Apabila tindakan mencari dan mengeluarkan dalang kepada pembocoran maklumat tersebut dijalankan, barulah operasi dapat dilaksanakan tanpa diketahui oleh pengganas Sulu. Kejayaan pasukan keselamatan negara juga adalah hasil daripada pembersihan mereka yang membocorkan maklumat.

Pasukan penyiasat khas ini perlu menangguhkan siasatan sehingga dalang yang membocorkan maklumat kepada media asing dapat dikenalpasti dan diambil tindakan. Ketua setiap agensi iaitu SPRM, Bank Negara Malaysia, PDRM dan Peguam Negara perlu mengambil tanggung jawab untuk mencari dalang yang membocorkan maklumat tersebut. Integriti dan kerahsiaan di dalam pasukan penyiasat khas tersebut perlu dijaga untuk memastikan segala siasatan yang dijalankan tidak memihak kepada sesiapapun. Pemeriksaan dari segi emosi dan mentaliti anggota penyiasat juga harus diperiksa agar tidak dipengaruhi oleh sebarang pegangan politik yang keterlaluan. 

Ternakan Kerang Di Kuala Sepetang Merosot 90 Peratus

TAIPING - Kerajaan Negeri Perak sedang mengambil tindakan bagi mengatasi masalah kemerosotan 90 peratus ternakan kerang di Kuala Sepetang sejak awal tahun ini yang telah menjejaskan hasil pendapatan penternak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kerajaan negeri memandang serius masalah yang dihadapi penternak kerang berkenaan.

"Buat masa ini, kita masih menunggu hasil kajian Jabatan Perikanan dan berharap dengan kajian ini tindakan boleh diambil untuk mengatasi masalah tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat ternakan kerang di sini semalam.

Beliau berkata hasil pengeluaran kerang hanya 13,000 metrik tan berbanding sebelum ini yang boleh mencecah sehingga 28,000 metrik tan.

"Perkara ini harus ditangani segera agar masalah kemerosotan hasil ternakan kerang bagi memenuhi kehendak pelanggan di Perak dan juga negeri-negeri lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri Dr Bah Piyan Tan berkata kajian sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemerosotan ternakan kerang.

"Antara faktor penurunan hasil kerang ialah kualiti air, kadar ammonia dan beberapa simptom parasit yang ditemui dalam kerang tersebut.

"Kita telah bawa sampel air sungai ke makmal institusi perikanan bagi mengetahui punca dan kajian terperinci dilakukan sekali gus dapat menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin," katanya.

Pengerusi Persatuan Ternakan Kerang Kuala Sepetang Koay Seng Lam pula berkata penternak di kawasan itu mengalami kerugian kira-kira RM200,000.

"Sebelum ini boleh dapat sehingga lapan guni. Sekarang satu atau dua guni sahaja, memang rugi banyak," katanya.

Beliau berharap pihak berkenaan dapat membantu mengatasi masalah itu secepat mungkin bagi mengelak industri kerang di Kuala Sepetang terjejas lebih teruk pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Anggota Tentera Jangan Terpengaruh Konsep Jihad Kumpulan Militan Di Media Sosial

TAIPING - Anggota tentera dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan konsep jihad yang dilaungkan kumpulan militan IS di Iraq dan Syria menerusi media sosial dan sumber yang tidak boleh dipercayai.

Panglima Medan Barat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata kumpulan militan ini menjadikan kem-kem tentera sebagai sasaran kerana terdapat kemudahan senjata api di situ.

"Seperti yang kita tahu, kumpulan militan ini mengambil peluang menggunakan media sosial untuk mempengaruhi rakyat Malaysia menyertai kumpulan ini," katanya ketika berucap pada majlis moreh di Kem Town Barrack di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau berbuka puasa bersama anggota serta pengawai tentera dan seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

Turut hadir Panglima 2 Divisyen Mej Jen Datuk Fadzil Mokhtar dan Panglima Briged Ke-2 Infantri Malaysia Brig Jen Mohammad bin Ab Rahman.

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Zulkiple menasihatkan anggota tentera yang bercuti supaya berhati-hati di jalan raya ketika pulang ke kampung masing-masing.

"Saya menyeru kepada semua anggota tentera yang pulang berhari raya di kampung agar tidak terlalu ghairah untuk beraya supaya tidak berlaku kemalangan dan rebutlah peluang ini untuk bersama keluarga tercinta," katanya.

-- BERNAMA

Anggota Umno Perlu Kukuhkan Perpaduan, Usah Terpengaruh Pelbagai Provokasi - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menasihati anggota parti itu supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai provokasi yang dilontarkan oleh mereka yang menangguk di air keruh.

Beliau berkata anggota UMNO perlu berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku sejak kebelakangan ini, khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga merupakan Presiden UMNO.

"Kita perlu sedar bahawa dalam keadaan kita hari ini tentunya kita perlu terus waspada dan tidak alpa kerana pihak lain khususnya pembangkang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi benteng kita selama ini," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata anggota UMNO perlu terus memberi sokongan padu kepada presiden parti itu, serta memberikannya ruang untuk memikirkan tindakan sewajarnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Anggota UMNO perlu teruskan fokus perjuangan parti itu selaras dengan gerak kerja yang telah diatur, katanya.

"Usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan oleh mereka, malah sikap mereka yang gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi," katanya.

Tengku Adnan berharap anggota UMNO dapat terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur.

Jumaat lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib.

Sehubungan itu, banyak pihak menggesa perdana menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan nama beliau dan imej negara kerana dakwaan itu melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.

Dua hari lepas, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan itu.

Katanya perkara tersebut telah dirujuk kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan nasihat dan bentuk tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang boleh diambil di dalam dan luar negara.

BERNAMA

Durian Kepada Peneroka Felda Sempena Hari Raya

JELEBU - Sebanyak 98,688 peneroka Felda menerima durian runtuh menerusi pembayaran dividen Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan duit raya berjumlah keseluruhan RM88.8 juta yang akan dibayar mulai 13 Julai ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata ia melibatkan pembayaran dividen FGV berjumlah RM59,212,800 serta duit raya RM29,606,400.

"Peneroka yang bersama Felda layak terima dividen sebanyak RM600 dan RM300 duit raya...yang tidak bersama Felda, tidak akan terima (dividen dan duit raya)," katanya ketika merasmikan program Ihya' Rahmat Ramadan warga Felda peringkat kebangsaan di Felda Pasoh 4 di sini, Selasa.

Turut hadir bersama kira-kira 5,000 peneroka ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Peneroka yang tidak bersama Felda ialah mereka yang tidak menanam semula bersama Felda atau tidak menghantar hasil ladang kepada Felda, berurus niaga tanah tanpa kebenaran dan menyaman Felda.

Dalam pada itu, Najib menyeru peneroka untuk terus bersama Felda dan menyokong segala usaha yang dilaksanakan agensi itu dalam meningkatkan pendapatan warganya.

"Kita perlu bersama Felda, jangan banyak sangat ragam, songel...sebenarnya yang mengelirukan orang Felda ini ialah orang yang datang (ke Felda), menjadi makhluk perosak, dialah yang meracuni fikiran sehingga kita buat yang baik pun mereka kata sebaliknya," kata perdana menteri.

Beliau berkata Felda mempunyai pelbagai perancangan untuk menambah punca pendapatan sekalipun menghadapi kekangan dari segi faktor ketiadaan tanah untuk dimajukan sebagai ladang di negara ini.

Katanya FGV merancang membeli tanah seluas 420,000 hektar di Papua New Guinea yang mampu menjana hasil sekali ganda berbanding di negara ini, berdasarkan jenis tanah gunung berapinya yang subur.

Selain itu, katanya pihak FGV juga bercadang membeli 37 peratus ladang milik syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantation bernilai USD680 juta untuk pelaburan jangka panjang.

"Bagaimanapun, kita belum putuskan secara muktamad, kita mesti buat penilaian dahulu untuk tentukan harga terbaik, bila dah ada kata sepakat barulah kita buat keputusan muktamad...harap boleh buat keputusan tak lama lagi," katanya.

FGV juga, kata Najib merancang memasuki pasaran Indonesia bagi memasarkan pelbagai produk Felda termasuk minyak masak.

Beliau berkata kesemua pelaburan itu jika berjaya dimuktamadkan dijangka mampu meningkatkan pendapatan warga Felda selain mengukuhkan saham FGV - Bernama

Badan Berkanun Bakal Ambilalih Pinjaman Perumahan Kakitangan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka akan mengurangkan lagi subsidi serta menghentikan pinjaman perumahan kepada kakitangan kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Bercakap sewaktu temu bual bersama Bloomberg, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata penghapusan akan dilakukan secara berperingkat melibatkan petrol, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak.

"Naik taraf Fitch menyentuh tentang kedudukan fiskal Malaysia dan usaha kita melaksanakan konsolidasi. Justeru kita akan teruskan usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara," kata Mohd Irwan.

"Akan wujud cakap-cakap, namun saya sifatkan ia hanya sementara," katanya lagi.

Pada masa sama, Mohd Irwan berkata sebuah badan berkanun akan mengambil alih pinjaman perumahan kakitangan kerajaan sekali gus meringankan beban berjumlah RM40 bilion daripada akaun kerajaan.

Mohd Irwan berkata negara memperlihatkan kesungguhan memperbaik bajet yang dibayangi hutang 1MDB.

Beliau sekali lagi menegaskan 1MDB adalah sebuah syarikat yang kukuh yang mana firma berkenaan memiliki aset mencukupi untuk membayar hutang.

Fitch Rating sebelum ini menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan negara memikul liabiliti kecemasan tambahan melebihi jaminan akibat 1MDB.

Namun kerajaan memberi jaminan akan menangani hutang 1MDB dengan berhemah.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia Datuk Jalilah Baba berkata pengurangan subsidi adalah langkah terbaik mengurangkan hutang kerajaan.

"Saya tidak rasa ia perlu dilakukan tahun ini, mungkin tahun depan atau akhir tahun depan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

"Rakyat mesti bersikap terbuka, subsidi perlu dimansuh dan tidak boleh disediakan untuk jangka panjang," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj pula berkata pengurangan subsidi tidak sesuai dilakukan pada masa sentimen pengguna masih rapuh.

"Kita harap kerajaan membantu rakyat supaya perbelanjaan mereka kurang dari segi perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan," katanya kepada Astro AWANI.

Program rasionalisasi subsidi mula dijalankan sejak Julai 2010 bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.

Awani

#TPRNews : Najib Saman Wall Street Journal

Menurut sumber yang diperoleh, pasukan guaman Dato' Sri Najib telah mengeluarkan surat bertarikh 8 Julai 2015 kepada Wall Street Journal (WSJ) berhubung dua artikel berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri Malaysia tersebut. Surat tersebut dikeluarkan oleh Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menamakan Lembaga Pengarah Dow Jones & Company, Inc sebagai penerima surat guaman tersebut.

Surat tersebut menyatakan bahawa artikel yang ditulis oleh Simon Clark dan Tm Wright di dalam WSJ yang bertajuk "Malaysia Leader's Account Probed" yang diterbitkan pada 2 Julai 2015 dan "Scandal In Malaysia" yang diterbitkan pada 6 Julai 2015. Menurut surat itu lagi, peguam Dato' Sri Najib telah diarahkan untuk mendapatkan kepastian daripada WSJ adakah pendirian mereka di dalam artikel tersebut yang menyatakan bahawa Dato' Sri Najib telah menerima hampir USD 700juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak peguam Dato' Sri Najib juga menyebut bahawa arahan tersebut adalah kerana penulis tidak pasti sumber wang tersebut dan apakah yang terjadi kepada wang tersebut pada akhirnya. Walhal, keseluruhan artikel tersebut telah menampakkan secara jelas bahawa wang hampir USD 700 juta telah diterima oleh Dato' Sri Najib yang dimiliki oleh 1MDB. Surat tersebut juga menyatakan bahawa dakwaan WSJ diambil serius dan tindakan undang-undang akan diambil.

Peguam Dato' Sri Najib juga meminta jawapan dalam masa 14 hari bermula pada tarikh surat tersebut dan memaklumkan sekiranya WSJ telah melantik peguam di Malaysia bagi mewakili syarikat dan juga penulis artikel tersebut.

Bagi mereka yang bertanyakan samada Dato' Sri Najib akan mengambil tindakan undang-undang atau tidak terhadap WSJ, inilah jawapan kepada persoalan tersebut. Kes ini akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya WSJ menjawab bahawa dakwaan mereka bahawa Dato' Sri Najib menerima hampir USD 700 juta adalah benar-benar dimaksudkan oleh WSJ ataupun tidak.

Sudah tentu sekiranya WSJ menjawab bahawa dakwaan tersebut bukanlah maksud mereka, maka artikel tersebut akan ditarik balik dan kredibiliti WSJ akan tercalar. Pada masa yang sama, Dato' Sri Najib sudah tentu akan dapat membersihkan nama beliau sekaligus menolak segala persepsi buruk dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau selama ini.