Monday, 6 June 2016

PEMIMPIN BIARKAN RAKYAT HIDUP DI RUMAH USANG



LEKIR - Walaupun mengalami pelbagai kerosakan, sebuah keluarga di Kampung Batu 12, di sini terpaksa mendiami rumah yang usang dan tidak selesa.

Halimah Abu Tahir, 60, berkata, dia dan suaminya, Mat Yen Diman, 50, bersama anak, Mat Shahir, 30, sudah biasa dengan keadaan itu memandangkan itu sahaja tempat untuk mereka berteduh walaupun lantai sudah reput, dinding rosak selain bumbung bocor. 

Menurutnya, jika diberi pilihan, mereka mahukan sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami namun tidak kesampaian kerana kesempitan hidup yang dialami.

"Kami dah tinggal di sini lebih 15 tahun lalu. Kami amat berbesar hati jika ada pihak yang sudi membantu memandangkan keadaan rumah yang sudah usang," katanya ketika ditemui pada program Jejak Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) di rumahnya, baru-baru ini. 

Sebanyak enam buah keluarga telah diziarahi pada program itu bagi mengenal pasti masalah setiap keluarga berkenaan.

Halimah berkata, mereka tidak mempunyai pendapatan tetap kerana suaminya hanya bekerja mengambil upah menghantar penumpang ke pekan berhampiran.

"Anak saya pula tak bekerja kerana mengalami kecederaan di otak setelah ditimpa kemalangan pada usia 18 tahun. 

"Dia ada dapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat Maipk, Bakri Lee berkata, pihaknya akan mencari rumah sewa yang sesuai untuk didiami oleh keluarga itu memandangkan keadaan rumah mereka yang sudah usang.

Tuesday, 31 May 2016

MUFTI PERAK BENARKAN ISTERI ARWAH BERTANDING MENGIKUT HUKUM ISLAM..




Polimek mengenai pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid,isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khaill Anuar Wan Ahmad agak panas.Ini kerana isu beliau kini dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari kerana kematian suami.

Malah ada yang marah-marah dan mempersoalkan pimpinan UMNO ‘ tidak sensitif pada hal agama’ dalam memilihnya.

Ada juga yang bimbang kemungkinan ia dijadikan modal pihak lawan BN semasa kempen pilihanraya yang dijangka sengit.

Soalnya apakah pimpinan UMNO main semberono begitu saja?

Jawapanya tidak.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria sendiri mengakui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Kadir ada merujuk kepadanya terlebih dahulu sebelum memutuskan pencalonan Mastura.

“Memang Perdana Menteri merujuk kepada saya dahulu, dia tanya bolehkah Mastura dicalonkan sebagai calon PRK Kuala Kangsar. Saya kata boleh. Menteri Besar Perak pun ada tanya saya dan saya kata boleh,” katanya ketika dihubungi wartawan  portal BNBBC.my pada Ahad.

Katanya Mastura tidak menyalahi melanggar batas agama dan adat orang Melayu Islam hanya kerana beliau dicalonkan atas cadangan daripada pihak lain.

Bagaimanapun,kata Harussani beliau tidak dibenarkan untuk keluar berkempen termasuk keluar ke masjid untuk berkempen sehingga tempoh edahnya berakhir.

“Tiada masalah untuk Mastura dicalonkan sebagai calon PRK di Kuala Kangsar. Beliau cuma tidak boleh keluar berkempen. Masa penamaan calon atau pengumuman keputusan PRK pun dia tak boleh keluar.

“Bagaimanapun beliau masih boleh keluar kalau dia nak mencari makanan, pergi ke hospital mendapatkan rawatan dan meluaskan perniagaannya,” katanya.

Sabtu semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar di hadapan kira-kira 2,000 penyokong BN di Bilik Gerakan BN Kuala Kangsar di Safari Resort.

Mastura bagaimanapun tidak hadir semasa pengumuman tersebut dan watikah pelantikan diberikan kepada anaknya sebagai wakil.

Dalam satu video yang ditayangkan, Mastura berterima kasih kerana memilihnya sebagai calon di Kuala Kangsar.

Sebelum ini Exco Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata Mastura tidak boleh keluar berkempen kerana masih dalam edahnya kerana baru kematian suami.

Oleh itu beliau mencadangkan agar anak beliau menjadi pengganti untuk berkempen sepanjang tempoh pilihan raya ini.


SUMBER

Friday, 4 September 2015

KECOH ABG SADO MENGAMUK DI LUBUK MERBAU

Muhammad Hafizul (tiga, kanan) bergambar bersama hadiah dimenanginya selepas dinobatkan juara Badang Malaysia 2015 bagi kategori 75 kilogram ke bawah.

LUBUK MERBAU - Seramai 38 'abang sado' beradu tenaga untuk dinobatkan sebagai Badang Malaysia 2015 yang diadakan di Kampung Labu Kubong, di sini.

Pertandingan sejak Jumaat hingga Ahad lalu, turut menghimpunkan peserta dari Brunei dan Singapura yang diuji melalui acara larian sejauh dua kilometer, memikul tayar, menarik traktor seberat tiga tan dan banyak lagi.


Sementara itu, penjawat awam dari Sabah, Mazri Sital, 31, membuktikan kejaguhannya apabila menjuarai Badang Malaysia 2015 bagi kategori 76 kilogram ke atas.


Beliau yang merupakan juara bertahan nyata sukar digugat peserta lain apabila menamatkan saingan dengan jarak masa yang agak jauh berbanding pemenang tempat kedua.


Bagi Mazri, dia tidak menyangka mampu mengekalkan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu apabila melihat peserta tahun ini lebih bersedia dan mantap.


“Masa saya mula-mula sampai, saya kurang berkeyakinan untuk menang tetapi dalam hati saya bertekad untuk melakukan yang terbaik.


“Halangan pada tahun ini lebih sukar dan memenatkan berbanding tahun lepas. Ada halangan baru seperti panjat tangga tali yang memberi kesulitan kepada peserta.


“Namun, saya bersyukur kerana menang dan wang kemenangan ini saya akan salurkan sedikit kepada Persatuan Orang Kuat Borneo,” katanya.
Dalam pada itu, juara kategori 75 kilogram ke bawah, Muhammad Hafizul Abdul Yazid, 25, bersyukur usahanya menurunkan berat badan bagi menyertai kategori tersebut membuahkan hasil.

Menurutnya, dia menyertai pertandingan itu tahun lalu dan pada waktu itu dia menyertai kategori lain kerana beratnya mencecah 80 kilogram.

“Pada tahun ini, saya usaha kurangkan berat badan dan masuk bawah 75 kilogram. Saya bersyukur kerana usaha saya berhasil malah dinobatkan sebagai juara.

“Pengalaman tahun lepas saya bawa ke tahun ini dan itu banyak membantu saya mengatasi halangan-halangan yang ada dalam pertandingan ini.

Dalam pada itu, Pengarah Badang Malaysia 2015, Amiruddin Mohd Daud bercadang untuk mempromosikan pertandingan itu di Indonesia dan Singapura pada tahun hadapan.

Menurutnya, penyertaan yang semakin meningkat pada tahun ini membuatkan mereka lebih bersemangat untuk menarik lebih ramai peseta pada tahun hadapan.

"Kemungkinan tiada penambahan halangan pada tahun hadapan namun kita rancang untuk meningkatkan tahap disiplin acara-acara dipertandingkan.

“Saya lihat tahun ini Badang Malaysia lebih meriah dari segi jumlah peserta dan jumlah pengunjung yang menyaksikan pertandingan ini.

“Jumlah pengunjung yang datang mencecah 5,000 orang sejak hari pertama pertandingan. Ini merupakan petanda positif,” katanya.

Tambah Amiruddin, beliau bercadang menganjurkan program sama pada tahun depan dalam bulan Julai selepas mengambil kira beberapa aspek yang mempengaruhi jumlah kehadiran peserta.

“Bila kita buat dalam bulan merdeka seperti tahun ini, ramai peserta tidak dapat datang. Ada yang terlibat dengan acara rasmi,” ujarnya.





Thursday, 6 August 2015

PDRM BERJAYA BERKAS PENYAMUN DI IPOH



IPOH - Cubaan tiga lelaki menyamun seorang penunggang motosikal gagal selepas salah seorang daripada mereka ditangkap oleh rakan mangsa yang kebetulan tiba di Jalan Lahat- Pusing di sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 40 tahun sedang menaiki motosikal telah ditahan kumpulan suspek yang menaiki kereta Proton Iswara. 
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek bersenjatakan pisau dan rotan bertindak mengugut  dan merampas beg duit milik mangsa. 

“Kebetulan rakan mangsa sampai dan suspek cuba melarikan diri namun, salah seorang daripada mereka berjaya ditangkap sebelum tangkapan semula dibuat oleh anggota balai. 
“Bagaimanapun, dalam kejadian itu, mangsa kerugian sekurang-kurangnya RM200,” katanya di sini, semalam. 

Menurutnya, polis sedang melancarkan gerakan mengesan dua lagi suspek yang telah dikenal pasti berada Ipoh.


#MH370 : Serpihan Sah Milik MH370


Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu akhir terjawab apabila serpihan bangkai pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion, Lautan Hindi pada 29 Julai lalu disahkan milik pesawat berkenaan.

Keputusan hasil siasatan mengenai serpihan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 2 pagi, Khamis.

“Selepas 550 hari kehilangan pesawat MAS, dengan rendah hati dimaklumkan pasukan pakar antarabangsa telah mengesahkan serpihan yang ditemui itu milik MH370, kini kita ada bukti kukuh ia berakhir di Lautan Hindi.

“Bagi pihak Malaysia, terima kasih kepada semua yang membantu dalam operasi mencari selama ini dan kepada keluarga serta waris penumpang pesawat, pengesahan ini walaupun ia sesuatu yang tragis dan menyedihkan tetapi tentu dapat memberi kelegaan kepada mereka.

“Kerajaan Malaysia akan melakukan apa sahaja untuk mengetahui kebenaran dalam kehilangan MH370,” katanya pada sidang media khas yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Pada 29 Julai lalu, bahagian dari sayap pesawat dikenali sebagai flaperon dijumpai seorang pekerja pembersih pantai di Pulau La Reunion.

Individu berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu kepada pihak berkuasa Perancis untuk memulakan siasatan.
Pakar penerbangan Perancis, Xavier Tytleman tidak menolak serpihan itu mungkin milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

“Saya sudah mengkaji beratus gambar dan bercakap dengan rakan-rakan. Kami semua fikir ia mungkin sayap pesawat Boeing 777 – pesawat yang sama seperti MH370,” katanya.

Serpihan tersebut dipenuhi cangkerang dan berkarat.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam Twitter Fox News, keadaan serpihan itu menunjukkan ia mungkin berada terlalu lama di dalam air laut.

Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal pada 8 Mac tahun lalu.

Operasi pencarian yang diketuai Australia diteruskan di selatan Lautan Hindi sehingga hari ini tetapi tiada bukti ditemui sebelum penemuan terbaharu di Pulau La Reunion ini.

- Mstar

Sunday, 2 August 2015

UPSI DAN ITBM TERUS KUKUHKAN KERJASAMA

Upsi dan ITBM mendatangani memorandum perjanjian bagi mengukuhkan lagi kerjasama.


TANJUNG MALIM - Dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak 2002 antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menandatangi memorandum perjanjian (MoA) baru-baru ini.

Upsi melalui Pejabat Karang Mengarang (PKM) akan memberi tumpuan khusus kepada aspek penterjemahan buku-buku cemerlang dalam dunia pendidikan dari luar negara ke dalam bahasa Melayu untuk bakal pendidik di Upsi dan universiti lain.

Pengarah PKM, Prof Madya Dr Nasir Nayan berkata, lima judul penerbitan dengan 20 penterjemah di Upsi berjaya dilakukan pada kali pertama kerjasama dan tidak mustahil jumlah tersebut akan meningkat dengan termeterainya memorandum kali ini.

Menurutnya, kerjasama tersebut dapat memperkukuhkan pengajaran, pembelajaran dan melengkapkan keunggulan bersama ITBM dalam bidang usaha sama penterjemahan, penerbitan bersama, latihan serta pemasaran.

“Kami akan melaksanakan kerja-kerja terjemahan dengan lebih agresif dan inovatif dalam bidang penerbitan yang boleh menguntungkan kedua-dua institusi,” katanya.

Hadir sama, Pendaftar Upsi, Mohd Faizi Othman yang mewakili Naib Canselor, Pengarah ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah.

Pada majlis sama turut diadakan majlis pra pelancaran buku bertajuk Matematik Kejuruteraan Asas Untuk Jurutera Elektronik, Elektrik, Komunikasi dan Sistem serta Matematik Kejuruteraan Moden Edisi Keempat berserta Mathlab yang diterjemahkan lapan ahli akademik dari Fakulti Sains dan Matematik Upsi.

Selain itu, pengisian diteruskan dengan wacana ilmu bersama ITBM bertajuk Industri Penterjemahan Buku Ilmiah Dalam Pendididkan Di Malaysia di samping jualan buku dengan potongan harga sehingga 30 peratus.


BAGAN DATOH TETAP MENYOKONG PERDANA MENTERI

Ahmad Zahid pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, semalam.


BAGAN DATOH – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkias meminta semua ahli memberi sokongan penuh kepada kepimpinan parti dalam mengharungi pelbagai isu semasa.

Menurutnya, kepercayaan dan taat setia yang diberikan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak penting dalam mendepani pelbagai usaha pihak lawan yang cuba menimbulkan budaya kebencian terhadap kerajaan dan pimpinannya.

“Mohon kepada Umno dan seluruh negara.... ketika ini apabila kapal dilanda gelombang jangan pula ada sesiapa berusaha mencampakkan nakhoda ketika menempuh badai.

“Jadi, inilah masa untuk kita menyusun barisan menyatakan taat setia kepada pucuk kepemimpinan parti. Tidak ada isu yang tidak boleh diatasi, jadi berikan sokongan sekuat-kuatnya kepada perdana menteri,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh, semalam.


Mesyuarat itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Adnan Yaakob di Wisma Umno, di sini, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendirian bahawa pelantikan jawatan baharunya itu adalah satu tanggungjawab besar kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya meminta semua ahli memainkan peranan menenangkan rakyat ketika kerajaan dilanda dengan pelbagai isu.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Pahang turut menyentuh isu seperti kos sara hidup, siswazah menganggur dan perumahan rakyat yang perlu diselesaikan sebelum menghadapi PRU14.

“(Menghadapi) PRU14 bukan satu tugas yang mudah. Kita tengok trend sekarang, kebangkitan kebencian sehingga rakyat tidak percaya kepada kerajaan. Jadi, apa yang penting adalah beri kepercayaan kepada kepimpinan kita.

"Gandingan perdana menteri dan timbalannya sama-sama cari jalan untuk selesaikan masalah. Pada masa sama, yang di bawah janganlah menokok tambah sebaliknya tunggu,”