Sunday, 5 July 2015

Peru ulangi pencapaian tempat ketiga

CONCEPCION – Paolo Guerrero menyumbat satu gol untuk membantu Peru memenangi tempat ketiga Copa America semalam sekali gus mengekalkan pemain itu dalam persaingan merebut anugerah penja­ring terbanyak kejohanan.

Penyerang Flamengo itu, yang juga penjaring terbanyak Copa America pada 2011, menyumbat gol keempatnya dalam kejohanan ini pada penghujung perlawanan untuk membantu Peru menang 2-0 ke atas Paraguay.

Gol tersebut menyaksikan Guerrero menyamai jumlah gol penjaring terbanyak Chile, Eduardo Vargas yang memiliki kesempatan untuk menambah jaringan apabila menentang Argentina dalam perlawanan akhir (pukul 4 pagi tadi waktu Malaysia).

“Objektif untuk sampai ke peringkat kalah mati telah tercapai. Diharap rakyat Peru berasa bangga di atas usaha hebat ini.

“Kemenangan ini sangat penting. Kami tahu Paraguay merupakan salah satu pasukan terkuat, namun kami perlu bertenang dan mengawal bola dengan baik. Malah, gol pertama banyak membantu kami.

“Kejayaan ini didedikasikan kepada semua keluarga kami,” kata Guerrero.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang telah menjaringkan 25 gol antarabangsa, kini berada hanya satu gol untuk menyamai rekod kebangsaan milik legenda Peru, Teofilo Cubillas yang melakukan 26 jaringan.

Gol pembukaan Peru semalam hadir menerusi Andre Carrillo pada minit ke-48 yang berpunca daripada sepakan sudut yang ditanduk oleh pemain tengah Christian Cueva, tetapi berjaya dihalang oleh penyerang Paraguay, Raul Bobadilla.

Bola bagaimanapun sampai kepada Carrillo dan pemain berusia 24 tahun itu melepaskan sepakan voli untuk menumpaskan penjaga gol Justo Villar.

Paraguay, yang kalah teruk 1-6 kepada Argentina di separuh akhir, cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi penyerang Edgar Benitez, namun berjaya dihadang oleh pemain tengah Carlos Ascues.

Kejayaan Peru semalam menyaksikan mereka mengulangi pencapaian yang sama dalam Copa America edisi empat tahun lalu. – AFP

Kerajaan sumbang RM3.7 juta bina masjid di Sevilla

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan kerajaan Malaysia kepada Yayasan Masjid Sevilla, Sepanyol (Fundacion Mezquita De Sevilla) berjumlah RM3.7 juta (AS$1 juta) untuk pembinaan masjid di Sevilla.

Sumbangan itu diserahkan kepada Naib Presiden Fundacion Mezquita De Sevilla, Ibrahim Hernandez.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berbuka puasa bersama wakil-wakil Yayasan Masjid Sevilla, golongan asnaf, anak yatim dan jemputan di kediaman rasmi­nya, Sri Satria di sini malam ini.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri dan isteri turut me­nyampaikan sumbangan peribadi kepada 85 orang anak yatim dan golongan asnaf dari Parlimen Kuala Selangor di bawah seliaan Ketua Bahagian UMNO Kuala Selangor, Datuk Ishak Harun.

Muhyiddin dan Noorainee kemudiannya menunaikan solat fardu isyak dan solat sunat tarawih bersama hadirin yang hadir.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

UM

Bukti Asas Ekonomi Kukuh

PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengumuman penarafan terbaharu oleh agensi antarabangsa, Fitch Ratings yang menyemak naik unjuran Malaysia kepada stabil memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu menandakan asas ekonomi yang kukuh sekali gus menunjukkan dasar-dasar dilaksanakan pentadbiran negara membawa kebaikan sehingga badan antarabangsa seperti Fitch Ratings menambah penilaian dan keyakinan mereka.

“Ini bererti dasar kepemimpinan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjaya menambah keyakinan badan itu.

“Kesannya ialah apabila ekonomi negara lebih kukuh, hasil negara juga bertambah. Lebih mudah dan mampu kerajaan untuk melaksanakan pembangunan pesat dan menyeluruh sehingga ke setiap ceruk negara mendapat nikmat daripada projek yang akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada warga emas di Masjid Kampung Merchong, Bebar di sini hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, sebagai seorang pemimpin, beliau sentiasa melakukan yang terbaik untuk membangunkan negara dan menentukan rakyat dapat hidup dengan punca rezeki yang bertambah serta kemudahan asas ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Kata beliau, semua itu boleh dilakukan jika dasar negara dapat dilaksanakan dengan membawa Malaysia ke arah masa depan lebih cemerlang dan asas ekonomi negara lebih kukuh.

Perdana Menteri berkata, beliau dapat melihat kemajuan yang dinikmati penduduk umpamanya di daerah ini dengan kewujudan rumah, masjid baharu dan projek agropolitan.

“Ini adalah tanda kejayaan kita tetapi tidak mungkin dapat dilakukan jika urus tadbir negara lemah. Kalau tidak mendapat keyakinan daripada badan penarafan seperti Fitch Ratings, sudah tentu kemampuan kerajaan akan terjejas.

“Saya harap anda semua yakin kepada kerajaan dan yakin kepada saya,” katanya.

Terdahulu, Najib meluangkan masa menghadiri Program Mengacau Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) dan Pertubuhan Ibu Tunggal Daerah Pekan di kediamannya di Seri Kenangan di sini.

Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 5.35 petang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun serta pimpinan UMNO bahagian.

Selain beramah mesra, Najib dan isteri turut meluangkan masa mengacau bubur lambuk pada program berkenaan.

Sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk disediakan untuk diedarkan kepada anak yatim dan ibu tunggal di sekitar daerah ini.

Sementara itu, Perdana Menteri menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Ar-Rahmah Kampung Pasir Panjang dan menyampaikan sumbangan kepada 48 warga emas di kampung berkenaan selepas itu.

UM

Pasukan Petugas Khas Sudah Mulakan 
Siasatan Ke Atas 1MDB – Gani Patail

KUALA LUMPUR – Sebuah pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia telah pun memulakan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pasukan petugas khas itu juga telah menyerbu dan mengambil beberapa dokumen penting milik syarikat SRC International Sdn. Bhd., Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. semalam.

“Saya mengesahkan bahawa saya telah menerima dokumendokumen mengenai 1MDB termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pasukan petugas khas ini.

“Saya telah meneliti dan me­nye­mak semua dokumen dikemukakan. Saya seterusnya telah memberi nasihat dan panduan kepada pasukan petugas khas ini untuk diambil tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menyentuh mengenai serbuan ke atas ketiga-tiga buah syarikat tersebut, Abdul Gani berkata, beliau sudah membuat analisis ke atas dokumen yang dirampas dan memberi jaminan bahawa siasatan akan memfokus kepada setiap aspek dibangkitkan.

Katanya, dengan keanggotaan daripada pelbagai agensi penguat kuasa, beliau percaya pasukan petugas khas berkenaan berupaya menjalankan siasatan dengan lebih profesional dan terperinci.

“Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan pasukan ini menjalankan siasatan dan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan lagi orang ramai,” ujarnya.

UM

Yazid Search Tunggu Penderma Buah Pinggang

KUALA LUMPUR – Pemain dram kumpulan rock legenda, Search, Yazid Ahmad sekali lagi merayu kepada orang ramai yang sudi untuk menderma buah pinggang kepadanya.

Meskipun setelah lebih enam tahun menunggu penderma yang bermurah hati, Yazid percaya akan ada insan yang sudi membantu dirinya dan sepanjang tempoh menunggu itu, dia tidak akan menyerah kalah.

“Saya sekali lagi merayu jika ada pihak yang sudi menderma. Saya benar-benar memerlukannya ketika ini.

“Kita tahu memang susah sikit mahu mencari penderma organ, tetapi saya tetap berharap. Sebagai pesakit buah pinggang memang apa yang saya lalui sejak enam tahun lalu bukan mudah, sebab itu kalau boleh saya mahu segera sembuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pemain dram yang kini berusia 53 tahun itu telah dimasukkan semula ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak seminggu lalu.

Menurut Yazid, dia dimasukkan ke wad setelah doktor mendapati terdapat keracunan di bahagian jantungnya.

“Malah sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak dapat menjalani ibadah puasa atas nasihat doktor. Mungkin juga saya akan berada di sini sehingga Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam nada sebak.

UM

Zambry Mahu Kebersihan Pulau Pangkor Dijaga

PANGKOR - Masyarakat perlu menjaga kebersihan Pulau Pangkor yang menjadi destinasi pelancongan tempatan dan antarabangsa, kata Mentei Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Pangkor juga perlu bertanggungjawab dalam menjaganya di samping masyarakat perlu mempunyai kesedaran untuk memastikan kebersihan di pulau ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan  Aidilfitri kepada 417 penerima daripada golongan orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Zambry berkata beliau mahu kawalan khusus dilakukan di pusat pembuangan sampah di pulau ini bagi menangani pencemaran.

Ini kerana masyarakat di pulau ini mengadu mengenai aktiviti pembakaran di kawasan pembuangan sampah yang tidak sistematik, katanya.

"Pembakaran sampah perlu dijaga agar tidak berlaku secara berpanjangan sehingga berhari-hari atau berminggu-minggu dan tidak dapat dipadamkan.

"Saya mengharapkan insenarator yang ada di Pangkor dapat berfungsi dengan lebih efisien dalam memastikan kapasiti pembuangan yang ada yang saban hari meningkat dapat diselesaikan," katanya. - Bernama 

Nyaris Maut Treler Terbakar

GUNUNG SEMANGGOL - Seorang pemandu treler muatan barangan lusuh nyaris maut apabila lori yang dipandunya terbakar di Kilometer 194.3 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan), malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 40-an itu dikatakan masih sempat meneruskan perjalanan lebih satu kilometer sebelum menyedari kebakaran itu setelah dimaklumkan beberapa kenderaan yang memintasnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.16 malam sebelum bergerak ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, badan kenderaan terbabit sudah 60 peratus terbakar dan hasil kepantasan bomba api berjaya dipadamkan daripada terus merebak.

“Berdasarkan keterangan pemandu, dia tidak menyedari kebakaran itu dan terus memandu sehinggalah dimaklumkan beberapa pengguna jalan raya yang melihat api mula membakar belakang treler.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Anuar, 44, berkata, dia dalam perjalanan dari Bukit Merah menghala Kuala Kangsar sebelum melihat belakang sebuah treler terbakar.

"Saya bagi isyarat tapi pemandu treler itu tak sedar dan sebab bimbang, saya terus pintas sebelum beri isyarat supaya dia berhenti sebab api sudah marak.

"Treler itu mula berhenti di laluan kecemasan dan saya terus membuat panggilan kecemasan," katanya.

SH