Thursday 11 June 2015

Kes Fitnah PM: Peguam Mohon Mohamed Nizar Dilepaskan Tanpa Dibebaskan

IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan esok untuk mendengar hujah bertulis pihak pendakwa dan pembela bagi menentukan sama ada mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dituduh memfitnah Datuk Seri Najib Razak, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin ketika menangguhkan perbicaraan kes itu, yang telah ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini, meminta kedua-dua pihak mengemukakan hujah-hujah bertulis dalam perbicaraan pagi esok.

Dalam perbicaraan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria menyatakan bahawa perbicaraan kes ini akan dijalankan tanpa kehadiran perdana menteri.

Katanya, pihak pendakwa akan mengemukakan saksi-saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes ini nanti.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin yang dibantu peguam Hatim Musa dan Fitri Asmuni telah membuat bantahan dengan memohon supaya Mohammad Nizar dilepaskan tanpa dibebaskan memandangkan pihak pendakwa tidak memanggil Najib sebagai mangsa dalam kes ini.

Menurutnya, kes ini merupakan kes jenayah yang mana mangsa mesti datang untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwa.

Katanya, sekiranya Najib tidak datang, mengikut prosedur undang-undang jenayah, kes ini akan dibuang.

Mohammad Nizar dituduh memfitnah Najib dengan menyatakan di dalam satu ucapan kepada orang ramai dengan mengetahui bahawa tohmahan tersebut akan merosakkan nama baik perdana menteri.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Taman Desa Pakatan, Ipoh pada 23 April 2012 antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Mohammad Nizar dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Astro Awani

0 comments:

Post a Comment