Sunday, 5 July 2015

Hanya 3 terbunuh dalam gempa di Xinjiang semalam

BEIJING: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.5 yang menggegarkan wilayah barat China, Xinjiang semalam, menyebabkan tiga orang terbunuh dan 71 yang lain cedera manakala ribuan rumah runtuh, menurut pihak berkuasa. Gempa itu melanda daerah Pishan di bandar Hotan di Xinjiang awal semalam. Laporan awal media tempatan memberitahu enam orang meninggal dunia, tetapi Pusat Pentadbiran Gempa China hari ini mengesahkan hanya tiga terbunuh dan 71 cedera.

"Bangunan bergegar dan orang ramai bergegas menuju ke jalan-jalan," kata Jin Xingchang, seorang petugas kurier ekspres di bandar Hotan, kira-kira 15 kilometer dari Pishan. 

Sementara itu, akhbar People's Daily melaporkan pihak berkuasa menganggarkan kerugian akibat gempa bumi itu ialah sekurang-kurangnya AS$30 juta (RM113 juta). Majoriti etnik Islam Uighur di kawasan Pishan berada di pinggir selatan Taklamakan yang berhampiran sempadan dengan India. Kawasan itu kaya dengan sumber mineral termasuk arang batu, minyak mentah, gas asli dan mutiara. - AP

Letupan di masjid Syria bunuh 25 pejuang Al-Nusra

BEIRUT: Satu letupan di sebuah masjid di utara Syria membunuh 25 anggota Al-Qaeda Syria, termasuk seorang pemimpinnya, ketika mereka menunaikan solat Maghrib, menurut kumpulan pemantau. Pengarah Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman, berkata angka korban mungkin meningkat apabila puluhan orang awam turut cedera dalam letupan selepas mereka berbuka puasa di masjid di bandar Ariha itu. 

"Seramai 25 anggota Al-Nusra, termasuk seorang pemimpin kumpulan, mati dalam letupan di sebuah masjid di bandar Ariha dalam wilayah Idlib," menurut kumpulan pemantau yang berpangkalan di Britain itu.

BH