IPOH - Tidak wajar cagar isteri untuk kepentingan politik, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Menurutnya, Dewan Ulama Pas sepatutnya lebih maklum tentang berbai’ah
atau bersumpah taat setia kepada parti kerana keanggotaan ramai ulama di
dalamnya.
“Mereka (Dewan Ulamak) dalam kalangan ulama takkan tidak faham tentang
bai’ah tersebut. Sumpah atau bai’ah boleh dilakukan tetapi sumpah untuk
taat setia kepada parti sahaja.
“Tidak sewajarnya mengaitkan isteri sebagai cagaran untuk kepentingan
politik. Apa kena mengena dengan isteri sedangkan suami yang ingin kekal
dalam kerjaya politiknya,” katanya, semalam.
Menurutnya, Dewan Ulama Pas juga perlu memperjelaskan bai’ah yang
dilakukan agar menepis tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap
perjuangan parti tersebut.
Harussani berkata, walaupun begitu sumpah berkenaan boleh dibatalkan
dengan memberi makan 10 fakir miskin atau memerdekakan seorang hamba.
Mengulas cadangan agar Majlis Fatwa menetapkan garis panduan sumpah
bai’ah supaya tidak dicampuradukkan dengan hal peribadi, beliau berkata,
isu sumpah bai’ah itu telah lama berlaku cuma umum tidak tahu bai’ah
apa yang mereka dilakukan.
“Ini yang susah dengan orang kita. Apabila diketuk baharu hendak buat
sedangkan isu itu telah berlaku sejak dahulu. Dalam hal ini lebih baik
tanya Pengerusi Majlis Fatwa sendiri,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yacob mengesahkan
adanya sumpah bai’ah talak tiga yang dilafazkan wakil rakyat Pas
Kelantan jika mereka meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.
0 comments:
Post a Comment