Tuesday, 7 July 2015

PUNCA MATI DITETAK BELAKANG BANK CHEMOR



CHEMOR – Seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan tujuh kesan tetakan di kepala dan kedua-dua tangan di sebuah lorong di Laluan Klebang Restu 1, Medan Klebang Restu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Gobinathan, 45, dipercayai dikejar seorang lelaki bersenjatakan parang selepas keluar dari sebuah kedai di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati, mangsa ditetak secara bertubi-tubi oleh dua penjenayah menaiki motosikal yang mengejarnya sejauh 100 meter dari kedai terbabit.

“Seorang daripada suspek yang juga pembonceng motosikal bertindak menetak mangsa ketika mangsa lari menyelamatkan diri melalui lorong di belakang deretan kedai di laluan ini.

“Walaupun ditetak, mangsa cuba menyelamatkan diri dengan berlari sejauh 80 meter sebelum rebah berhampiran longkang.

"Mangsa disahkan mati oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa dan beliau menolak kejadian itu bermotifkan samun.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. Lima saksi kejadian telah diambil keterangan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya. - SINAR HARIAN



Monday, 6 July 2015

KEBENARAN MALAM LAILATUL QADAR YANG DISEMBUNYIKAN NASA



Lailatul Qadar merupakan malam yang sangat istimewa dimana pada malam tersebut lebih utama dari seribu bulan. Selama ini umat Islam hanya mempercayai kebenaran bahawa adanya malam Lailatul Qadar bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah (Hadith).

Sehinggakan kita tidak begitu peduli dengan fakta-fakta ilmiah yang mungkin saja terjadi di alam semesta yang berkaitan dengan sains yang membenarkan adanya malam Lailatul Qadar.

Kehadiran malam Lailatul Qadar adalah menjadi rahsia Allah SWT. Hanya ada sedikit informasi yang disampaikan Nabi Muhammad bila akan terjadi malam yang mulia ini. Diantaranya ia terjadi pada 10 malam terakhir Ramadhan dan pada malam-malam yang bilangan harinya ganjil. Sementara ciri-ciri fizikalnya yang kita dapat lihat adalah suhunya yang sederhana (tak panas dan tak sejuk), pada waktu paginya matahari memancar dengan terang tapi tak terasa langsung bahangnya, serta di waktu malamnya yang tak kelihatan langsung bintang-bintang di angkasa.

Sebenarnya ciri-ciri malam ini sudah ditemui oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA). Tetapi mereka tidak hebahkan tentang kebenaran adanya fenomena ini untuk menghindari kepercayaan terhadap Agama Islam. Hal ini diungkapkan oleh Pengarah Lembaga Mukjizat Ilmiah Al- Quran dan Sunnah di Mesir, Dr. Abdul Basith As-Sayyid. 

Abdul Basith As-Sayyid menegaskan, kurang lebih 12 tahun lalu NASA pernah menemui ciri dari malam Lailatul Qadar sama seperti yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW. Tapi sayang, perkara macam ni tak mendapat sambutan untuk melanjutkan lagi kajian oleh jutawan Arab dalam mendapatkan dana.

Kenyatan tersebut diucapkan oleh seorang pakar NASA, Carner, seperti yang disiarkan oleh akhbar Al-Wafd Mesir. Carner pada akhirnya masuk Islam dan harus meletak jawatannya di NASA kerana menceritakan kebenaran fenomena tersebut kepada akhbar Al-Wafd Mesir.

Menurut beliau, NASA menemui fenomena aneh ini pada suatu malam disebabkan tiada meteor yang jatuh ke atmosfer bumi beserta suhu udara yang sederhana. Padahal kebiasaan di waktu malam, meteor yang jatuh ke atmostfer bumi jumlsekitar 20 meteor. 

Fenomena ini bersamaan dengan hadith Nabi Muhammad SAW yang bersabda bahawa pada malam Lailatul Qadar langit kelihata begitu cerah, tetapi tiada kerlipan bintang. Pada malam itu suhunya tidak panas dan tidak sejuk atau suhunya sederhana.

Carner juga menyatakan bahawa pada sebelah paginya NASA juga menemui matahari yang bersinar begitu cerah tetapi langsung tiada radiasi. Hal ini juga bersamaa dengan sabda Nabi bahawa pada pagi hari matahari bersinar cerah namun tidak terasa panas.

Oleh itu, mari kita fikir kembali dari manakah Nabi Muhammad SAW mengetahui semua pengetahuan tersebut? Tentunya dari Zat yang Maha Besar, Allah SWT.

Oleh sebab NASA kerap menyembunyikan fakta-fakta kebenaran tentang Al-Qur’an, mereka sering mendapat kritikan dari para pakar Islam. Namun apapun yang telah disembunyikan NASA tidaklah menjadi masalah bagi kita yang menyakini kebenaran Islam bukan dari sisi Ilmiah saja tetapi dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT juga.

Semoga dengan artikel yang bermanfaat ini boleh menambah rasa cinta terhadap agama Islam. Semoga fakta-fakta ilmiah yang telah dikaji oleh ilmuan barat yang meragukan Islam dapat membawa mereka ke jalan yang benar.



Meninggal selepas tujuh jam

Kota Kinabalu: Selepas bertarung nyawa hampir tujuh jam, pemain Piala Presiden Sabah, Ak Mohd Farris Mahamud, 21, yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 3.5 Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, disahkan meninggal dunia, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa disahkan meninggal dunia 8.37 malam tadi selepas menerima rawatan.
"Mangsa dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) petang tadi, selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan 1.30 petang.
"Pada 8.37 malam tadi, Farris disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kejadian 1.30 petang itu, kereta jenis Honda Civil yang dipandu mangsa bersama bekas penyerang Harimau Muda Md Rozaimi Abdul Rahman dalam perjalanan dari Inanam menghala ke pusat bandar raya sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok, tiang telefon dan tembok konkrit.
Akibat kejadian itu, Farris dan Rozaimi yang mengalami kecederaan parah dibahagian kepala kemudian dikejarkan ke HEQ II untuk rawatan lanjut.
HM

Laman Portal Kolej Komuniti Digodam

IPOH: Ketibaan Isnin pagi ini dikejutkan dengan insiden serangan ke atas laman web Kolej Komuniti Sungai Siput oleh penggodam.

Halaman utama portal di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia telah digantikan dengan skrin grafik seolah-olah mengambarkan seorang pahlawan Morocco di padang Sahara dengan perkataan" hacked "(digodam) by "ZD-OFF "yang mendakwa mereka bertanggungjawab.



Semakan terhadap halaman facebook pengodam seperti yang diberikan (https://www.facebook.com/ZDoFF.official)(https://www.facebook.com/MoroccanZDoFF) mengakui pengodaman hanya kepada laman portal Kolej Komuniti Sungai Siput sahaja (www.kkss.edu.my)

Sehingga pukul 10.00 pagi tadi, laman portal itu masih tidak boleh diakses.Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkenaan setakat ini.

The Perak Reports

AS Juara Piala Dunia Wanita 2015

VANCOUVER: Amerika Syarikat (AS) menggondol Piala Dunia Wanita 2015 selepas menewaskan penyandang juara, Jepun 5-2 pada perlawanan final di BC Place, di sini sebentar tadi.

AS terlebih dahulu mencipta kejutan apabila mendahului seawal minit ke-3 menerusi kaptennya, Carli Lloyd dan lebih manis lagi dia merakam hatrik dalam masa hanya 16 minit.

Gol kedua Lloyd menyusul pada minit ke-5 dan sebelum rakan sepasukan, Lauren Holidau menyumbat gol ketiga pada minit ke-14.

Kemudian giliran Llyod menyudahkan hatriknya pada minit ke-16.

Sebelum tirai separuh masa kedua ditutup, Jepun bangkit untuk meledak gol pertama mereka menerusi Yuki Ogimi pada minit ke-27 untuk menjadikan kedudukan 4-1. 

Masuk babak kedua, kesilapan hantaran belakang Julie Johnston pada minit ke-52 menyebabkan bola masuk ke gawang sendiri, namun AS terus mengasak untuk memperoleh gol kelima pada minit ke-54 menerusi Tobin Heath. 

Gol Jepun: Julie Johnston (gol sendiri m52; Yuki Ogimi, m27 

Gol AS: Carli Lloyd, m2, m5, m16; Lauren Holiday m14; Tobin Heath m54. - AFP


Taktik Sewa Dua Bilik Untuk Berasmara, Gagal

JITRA: Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan teman lelakinya sanggup menyewa dua bilik yang berbeza ketika mendaftar masuk sebuah motel di pekan ini, sebagai helah untuk mereka berdua-duaan dalam sebuah bilik di situ. 

Namun, helah pasangan berusia 19 tahun itu terbongkar apabila bilik yang digunakan mereka untuk berasmara diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu, awal pagi semalam. 

Ketika serbuan jam 1 pagi itu, remaja lelaki terbabit memberikan alasan kononnya terpaksa menyewa bilik motel berkenaan kerana pasangannya tidak sempat masuk ke asrama disebabkan pintu masuk IPTA sudah ditutup.

Pemuda dari Sungai Petani itu mendakwa tidak melakukan apa-apa dengan pasangannya, sebaliknya hanya duduk berdua sementara menunggu waktu bersahur, namun keadaannya yang hanya memakai tuala ketika diserbu menimbulkan syak anggota penguat kuasa. 

Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata ketika diserbu, pelajar wanita terbabit berpakaian lengkap. 

"Sebaik pintu bilik yang diketuk dibuka, seorang pemuda kelihatan terkejut mendapati kehadiran pihak berkuasa, namun membenarkan anggota bertugas masuk ke dalam bilik untuk membuat pemeriksaan. 

"Kami menemui seorang gadis dalam ketakutan dan ketika ditanya mengenai hubungan mereka, masing-masing gagal menunjukkan sebarang bukti status mereka sebagai pasangan suami isteri atau mahram yang sah. 

"Hasil maklumat, kami dapati mereka mulanya menyewa dua bilik berasingan kira-kira jam 10 malam dipercayai sebagai taktik mengaburi pihak berkuasa, sebelum pemuda itu menyelinap ke bilik pasangannya," katanya. 

Radzi berkata, pasangan itu dipercayai sudah lama berkenalan kerana masing-masing berasal dari Sungai Petani tetapi mereka kerap bertemu di sini, sejak pelajar perempuan itu melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Jitra untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah diambil keterangan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.

BH

Sunday, 5 July 2015

Budaya 'jaga tepi kain orang' elak kes dera

Awal Ramadan kali ini, kita dikejutkan dengan kes dera kanak-kanak. Sepasang suami isteri masing-masing berumur 40 tahun dan 25 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak berusia lima tahun di Rantau Panjang, Kelantan pada 25 Jun lalu. Polis Kelantan mengesyaki pasangan suami isteri ini mendera kanak-kanak ini sejak enam bulan lalu. 

Kejadian ini bukan baru dalam masyarakat kita. Sudah terlalu banyak kes penderaan terhadap kanak-kanak didedahkan oleh media, sehingga ada yang menyebabkan kematian. Mengambil kira satu kes yang menyayat hati kita tiga dekad lalu, seluruh negara bangun mengetuk tindakan tidak perikemanusiaan ini. Ia membawa kepada penggubalan undang-undang lebih ketat, bagi mengelakkan isu sama berulang. 

Tetapi ia berulang. Hampir setiap tahun ada kes penderaan kanak-kanak. Dari segi undang-undang, penderaan kanak-kanak bermaksud dera atau satu perbuatan zalim dilakukan ke atas kanak-kanak iaitu mereka yang berusia kurang 18 tahun. Jika dilihat berdasarkan rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kes-kes penderaan semakin membimbangkan.

Pada tahun 2013, didapati lebih 3,840 kanak-kanak menjadi mangsa penderaan. Jumlahnya tidak berkurangan pada tahun 2014. Ini bermakna dalam sehari, ada 10 kanak-kanak yang didera. Ini tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Rekod menunjukkan penderaan dilakukan dan boleh dilakukan oleh sesiapa saja: ibu bapa kandung atau tiri, pengasuh, saudara-mara. Penderaan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya, penderaan fizikal penderaan emosi (mental) dan penderaan seksual. 

Penderaan kanak-kanak secara fizikal adalah satu perbuatan zalim secara fizikal yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan menyakiti mangsa. Ia dilakukan ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak berkenaan. Perbuatan mendera boleh menyebabkan kecederaan atau kematian. 

Kanak-kanak jadi sedih, murung 

Ia dilakukan menggunakan cara atau alat tertentu untuk mencederakan kanak-kanak terbabit. Di antara cara dan alat digunakan untuk mendera, selain memukul menggunakan tangan ialah dicucuh puntung rokok atau dengan benda panas, disepak, ditumbuk, dicubit, disimpah air panas, dirantai atau direndam ke dalam air. 

Dalam pada itu, penderaan emosi adalah satu kaedah penyeksaan terhadap kanak-kanak sehingga menyebabkan gangguan psikologi dari segi mental dan emosi. Penderaan ini meliputi tidak memberi kasih sayang yang secukupnya kepada kanak-kanak. Mereka ini dimarahi, diejek, ditengking dan pergaulan selalunya disekat menyebabkan kanak-kanak ini sedih, marah dan murung. Kanak-kanak sebegini dilabel sebagai seorang yang bodoh, tidak boleh harap dan menyusahkan keluarga. 

Penderaan seksual berlaku apabila kanak-kanak dieksploitasikan untuk kepuasan seks oleh orang dewasa. Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan yang berumur sikit, dipaksa melacur. Penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak perempuan semakin membimbangkan manakala bilangan kanak-kanak lelaki yang didera secara seksual juga tidak kurang seriusnya. 

Penderaan seksual dilakukan oleh seseorang yang mempunyai nafsu seks luar biasa terhadap kanak-kanak. Mereka ini dikenali sebagai pedophilia dan mereka tunjuk pornografi, gambar atau perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Pada kebiasaannya, penderaan ini dilakukan oleh orang terdekat sama ada bapa sendiri, bapa tiri, saudara-mara atau datuknya sendiri. Banyak juga kes yang menyebabkan kematian. Mengikut statistik PDRM bagi kajian lima tahun, lebih 80 peratus daripada jumlah kes membabitkan pembunuhan kanak-kanak adalah yang berunsurkan penderaan seksual. 

Melihat kepada perkembangan, kita masih tertanya-tanya apa yang menjadi penyebab kepada penderaan kanak-kanak. Kita sudah ada undang-undang yang ketat. Indeks sosioekonomi bertambah baik berbanding tahun 1960-an dan 1970-an bermakna semakin ramai berpendidikan atau celik huruf. Kita ada kemudahan lebih baik dan negara pula semakin moden. Negara berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding lima atau enam dekad lalu. 

Tetapi persoalan yang belum ada jawapan. Kes mendera kanak-kanak belum ada titik noktah. Mengapa? Kita masih mencari jawapan bagi soalan ini. Dan, terus mencari jawapan. 

Salah satu faktor adalah ibu bapa yang mempunyai sikap panas baran keterlaluan dan emosi tidak terkawal. Selain itu, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai tekanan di tempat kerja, masalah kewangan kerana berhutang dan berjudi. Mereka yang minum arak terlalu banyak pun menjadi penyebab berlakunya penderaan kanak-kanak termasuk seksual. Kegagalan rumah tangga, rumah tangga yang porak-peranda boleh menyebabkan penderaan terhadap anak-anak sendiri. 

Masalah ibu tunggal yang mempunyai anak, teman lelaki akan ambil kesempatan di mana individu terbabit kemungkinan boleh mendera secara fizikal atau seksual. Kegagalan memahami agama secara mendalam menyebabkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan seseorang. Faktor lain termasuklah kurangnya skil keibubapaan, harapan kanak-kanak terlalu tinggi, dan keadaan mental dan fizikal ibu bapa yang terjejas disebabkan faktor-faktor ini sudah pasti akan memanjang jika kita senaraikan satu persatu. 

Ada juga sesetengah ibu yang berpandangan bahawa masalah anak boleh diselesaikan dengan cara memukul anak yang tidak berdosa. Kajian juga menunjukkan bahawa perbuatan mendera ini satu bentuk kitaran -cycle of violent; di mana ibu bapa yang pernah mengalami penderaan akan melakukan penderaan ke atas anak mereka suatu hari kelak. Atau dalam lain perkataan ia menjadi 'teladan negatif' jangka panjang. 

Lapor jika ada kes 

Negara terus berdepan masalah sosial yang besar. Apa yang perlu dan harus lakukan? Dengan mudah kita boleh menasihatkan supaya melaporkan jika berdepan dengan isu seperti ini atau jika ada kes di kawasan sekitar tempat tinggal. Kita tiada pilihan. Kita kena ada budaya 'jaga tepi kain orang'. Anggota masyarakat perlu sensitif apabila berlaku masalah penderaan di kawasan kejiranan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan Talian NUR 15999. 

Usaha perlu dipertingkatkan untuk menambah skil dalam siasatan penderaan kanak-kanak. Pasukan Petugas Khas Membabitkan agensi penguat kuasa perlu diadakan. Mahkamah perlu menjatuh hukuman berat supaya jadi pengajaran. Lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak perlu diadakan di tempat kerja. Sudah pasti kita tidak boleh melupakan syor lama, iaitu mengadakan lebih banyak kempen mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai. 

Kita perlu berganding usaha untuk membawa satu mesej bahawa penderaan itu satu jenayah berat. Kanak-kanak ada hak dan ruang untuk menikmati satu kehidupan yang aman dan berkualiti. Menjadi tugas kita sebagai ibu bapa menyediakan persekitaran ini. Apabila pasangan suami isteri dikurniakan anak, menjadi tanggungjawab mereka mewujudkan situasi bebas kekerasan kepada setiap individu bernama 'seorang anak'. Kesedaran ini perlu ada. Amanah dan tanggungjawab perlu datang bersama. 

Undang-undang hanya satu garis panduan. Budaya positif menjauhi perbuatan mendera lebih penting.

Oleh Akhbar Satar
BH