Thursday, 11 June 2015

JAIP Sahkan Tarik Balik Sijil Halal Syarikat Pembekal Ayam

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) mengesahkan pihaknya mengeluarkan kenyataan mengenai penarikan balik sijil halal ke atas sebuah pusat penyembelihan ayam yang beroperasi di Seri Manjung Perak.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata sijil itu ditarik balik kerana pembekal terbabit, PCK Processing & Marketing melanggar Prosedur Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) meskipun notis ketidakpatuhan semasa audit lapangan (NCR) telah dikeluarkan sebanyak dua kali.

Memetik laporan Sinar Harian, Nizar menyatakan keputusan penarikan sijil halal itu dibuat semasa Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Negeri Perak yang bersidang pada 29 Mei lalu. Surat rasmi penarikan dikeluarkan pada 1 Jun.

Menurutnya sijil halal itu ditarik balik disebabkan syarikat tersebut melanggar peraturan dari sudut pemprosesan produk.

“Sijil halal yang ditarik balik itu juga akan dikembalikan sekiranya pihak berkenaan memperbetulkan kesalahan dan tidak mengulanginya,” katanya.

Susulan penarikan itu, PCK Processing & Marketing tidak dibenarkan menggunakan logo halal Malaysia pada produk atau premis-premis di seluruh cawangan kerana ia menjadi kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Kenyataan JAIP itu mula viral di laman-laman sosial sejak minggu lalu malah terkesan sehingga ada yang mengaitkannya dengan rangkaian pasar raya Giant.

Astro Awani

Kes Fitnah PM: Peguam Mohon Mohamed Nizar Dilepaskan Tanpa Dibebaskan

IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan esok untuk mendengar hujah bertulis pihak pendakwa dan pembela bagi menentukan sama ada mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dituduh memfitnah Datuk Seri Najib Razak, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin ketika menangguhkan perbicaraan kes itu, yang telah ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini, meminta kedua-dua pihak mengemukakan hujah-hujah bertulis dalam perbicaraan pagi esok.

Dalam perbicaraan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria menyatakan bahawa perbicaraan kes ini akan dijalankan tanpa kehadiran perdana menteri.

Katanya, pihak pendakwa akan mengemukakan saksi-saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes ini nanti.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin yang dibantu peguam Hatim Musa dan Fitri Asmuni telah membuat bantahan dengan memohon supaya Mohammad Nizar dilepaskan tanpa dibebaskan memandangkan pihak pendakwa tidak memanggil Najib sebagai mangsa dalam kes ini.

Menurutnya, kes ini merupakan kes jenayah yang mana mangsa mesti datang untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwa.

Katanya, sekiranya Najib tidak datang, mengikut prosedur undang-undang jenayah, kes ini akan dibuang.

Mohammad Nizar dituduh memfitnah Najib dengan menyatakan di dalam satu ucapan kepada orang ramai dengan mengetahui bahawa tohmahan tersebut akan merosakkan nama baik perdana menteri.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Taman Desa Pakatan, Ipoh pada 23 April 2012 antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Mohammad Nizar dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Astro Awani

Tuesday, 2 June 2015

Kementerian Pelancongan Mohon Jambatan Victoria Diisytihar Warisan Negara

KUALA KANGSAR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam proses memohon kepada kerajaan Perak untuk menjadikan Jambatan Victoria di sini, diisytihar sebagai Warisan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usaha itu dilakukan bertujuan untuk memastikan jambatan berkenaan diberi penjagaan sewajarnya selain bagi mengekalkan nilai warisannya.

"Apabila telah diisytiharkan sebagai Warisan Negara, hak penjagaan jambatan itu akan diberikan kepada Jabatan Warisan Negara...ini untuk kepentingan generasi akan datang.

"Dengan cara itu, kita dapat memastikan tiada pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ke-115 tahun jambatan berkenaan di sini, pada Ahad.

Mohamed Nazri berkata proses permohonan berhubung cadangan tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan Perak untuk dipertimbangkan.

"Apabila kerajaan negeri sudah beri kelulusan, kita boleh isytihar dalam masa terdekat. Kita akan ikut proses," katanya.

Jambatan Victoria, juga dikenali sebagai Jambatan Enggor yang terletak di Enggor di sini, merupakan antara jambatan kereta api tertua di Malaysia.

Jambatan itu mula dibina pada 1897 dan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan dan dirasmikan oleh Sultan Perak ke-28 Sultan Idris Murshidul'adzam Shah 1 pada 1900.

Pembinaan jambatan itu merupakan laluan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar, namun pada 1910 jambatan tersebut telah digunakan sepenuhnya untuk laluan kereta api dari Seberang Perai, Pulau Pinang ke Johor Baharu.

Jambatan berkenaan kekal digunakan sehingga 2002 apabila jambatan baharu dibina bagi menggantikan laluan kereta api.

Sementara itu, mengulas mengenai kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan pelarian etnik Rohingya dari Myanmar di Langkawi,

Kedah baru-baru ini, Mohamed Nazri berkata ia tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di negara ini.

"Dalam perkara ini, asalkan kerajaan berurusan mengikut kehendak PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu), saya fikir ia tidak akan menjejaskan pelancongan.

"Setakat ini, kita bertanggungjawab dengan membenarkan mereka mendarat ambil... mereka untuk sementara sahaja, sebelum penempatan tetap diputuskan," katanya.

Sejumlah 1,158 pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh, dilaporkan ditahan selepas bot mereka mendarat di Langkawi pada 11 Mei lepas.

Astro Awani