IPOH - Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Negeri Perak menggesa pihak
berkuasa supaya mencari dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat
sulit berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti
didedahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Pengerusinya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, semua agensi
yang terbabit dengan siasatan iaitu Bank Negara Malaysia (BNM), Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
perlu segera mengheret individu yang membocorkan maklumat siasatan ke
muka pengadilan supaya tindakan tegas boleh dikenakan di bawah
undang-undang negara.
“BNBBC Perak menyokong penuh kenyataan peguam negara itu dan kita gesa
supaya tindakan segera diambil oleh ketiga-tiga agensi terbabit bagi
menjaga integriti siasatan yang sedang dijalankan.
“Perbuatan membocorkan maklumat seumpama itu amat serius, tambahan lagi
ianya disalurkan kepada pihak luar negara, khususnya Wall Street
Journal dan Sarawak Report yang berpangkalan di London, dengan niat mahu
menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan
raya," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.
Mohd Khusairi berkata, individu yang membocorkan maklumat itu boleh
dianggap sebagai pengkhianat kerana terlibat dalam satu konspirasi di
peringkat antarabangsa untuk meranapkan kerajaan sebuah negara selain
mensabotaj siasatan yang sedang dijalankan.
“Pepatah yang paling tepat adalah ‘harapkan pegar, pegar makan padi’
kerana individu berkenaan berkemungkinan besar turut terbabit dalam
pasukan petugas khas siasatan yang dibentuk.
“Jadi kami sarankan agar BNM, SPRM dan PDRM bekalkan maklumat
secukupnya kepada peguam negara supaya petualang terbabit boleh didakwa
secepat mungkin,” katanya.
Kelmarin, Abdul Gani berkata beliau tidak akan teragak-agak mendakwa mana-mana individu yang membocorkan maklumat siasatan.
Pembocoran maklumat sulit yang berkaitan siasatan adalah merupakan
suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan
2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk
mana-mana individu yang mempunyai akses pada dokumen siasatan atau
maklumat berhubung hal ehwal akaun mana-mana pelanggan.
Katanya, adalah menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203 A
Kanun Keseksaan untuk mana-mana individu menzahirkan sebarang maklumat
atau perkara yang telah diperolehnya semasa melaksanakan tugas.
Menurutnya, kesalahan juga tertakluk pada individu yang sedang dan
pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan berkaitan
yang bertindak mendedahkan kepada seseorang apa-apa dokumen atau
maklumat akaun yang disebutkan dalam siasatan.
0 comments:
Post a Comment