Saturday 4 July 2015

MEMALUKAN STESEN BAS MANJUNG DAN PENGUNJUNG

Wanita yang menjadikan Stesen Bas Seri Manjung sebagai tempat tidurnya menimbulkan rasa kurang senang orang awam


SERI MANJUNG - Orang ramai yang menunggu di Stesen Bas Seri Manjung melahirkan rasa kurang selesa dengan kehadiran seorang wanita yang menjadikan kawasan itu sebagai tempat tinggalnya.

Wanita berusia 40-an itu dikatakan berada di situ sejak lima tahun lalu dan memberikan alasan tidur di stesen bas kerana suasana persekitaran yang lebih bebas dan terbuka. 

Walaupun dia tidak pernah mengganggu atau mengacau pengunjung di stesen bas berkenaan, namun ia menimbulkan rasa kurang selesa kepada sesetengah pengunjung. 

Orang awam, Nor Shahira Abdul Hadi, 23, berkata, dia sering melihat wanita itu tidur di atas bangku tempat menunggu bas di stesen berkenaan.

"Dah lama saya nampak wanita ini sejak zaman saya belajar tiga tahun lalu. 

"Wanita itu akan tidur di atas bangku. Walaupun dia tak kacau orang lain, tapi kita rasa tak selesa disebabkan keadaan dirinya yang kurang bersih," katanya. 
 
Menurutnya, setahun yang lalu juga terdapat seorang lelaki yang turut menjadikan stesen bas itu sebagai tempat tinggalnya. 

"Jika perkara ini tidak diambil perhatian, tidak mustahil stesen bas ini akan menjadi lokasi gelandangan menumpang tidur selain turut mendatangkan masalah sosial yang tidak diingini," katanya.  

Pembantu kedai, Wahidah Tan, 40, berkata, dia menafikan wanita itu mempunyai masalah mental dan menyatakan bahawa wanita itu boleh berkomunikasi dengan baik.

Menurutnya, wanita itu turut menggunakan beg najis, malah pernah beberapa kali berlaku kebocoran ketika wanita itu sedang tidur dan itu menjejaskan persekitaran stesen bas itu.
 
“Stesen bas ini dijadikan seperti rumahnya sendiri. Dia akan makan dan tidur di sini tanpa mengira waktu serta tidak menghiraukan orang ramai yang menunggu bas. Namun masih ada segelintir orang awam yang tidak menyenangi kehadirannya biarpun dia tidak mengganggu orang lain.

“Pernah berlaku beberapa kali di mana najis dan air kecilnya berterabur di bangku serta lantai yang digunakan untuk tidur, malah bekas makanannya juga dibiarkan di atas lantai

“Pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan melakukan pembersihan namun kita khuatir jika ia dibiarkan begitu sahaja perkara ini semakin lama semakin serius,” katanya.

Seorang lagi orang awam, Siti Norbakyah Abu Bakar, 26, berkata, dia juga berasa kurang selesa dengan kehadiran wanita itu yang dilihat boleh mencacatkan pemandangan di kawasan stesen bas berkenaan.

“Pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu supaya wanita berkenaan mendapat tempat tinggal yang lebih baik. 

"Walaupun dia tak ganggu orang lain, namun ia boleh mendatangkan rasa kurang senang kepada pengunjung di stesen bas ini,” katanya.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Lumut, Ting Tai Fook pula berkata, pihaknya baru mendapat maklumat berkenaan perkara itu dan akan memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya memantau.

Menurutnya, sebenarnya di Manjung tidak ada isu gelandangan dan jika perkara ini berlaku ia adalah perkara baharu yang harus ditangani segera.
 
“Kita sedia maklum isu ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada daerah ini di mana ia sering menjadi kunjungan ramai.

“Kerajaan juga sentiasa prihatin kepada golongan seumpama ini dan mereka harus dibantu untuk keluar dari masalah gelandangan itu,” katanya.
 
Sementara itu, Pegawai JKM Daerah, Anuwar Ismail berkata, pihaknya turut menerima aduan sama dan hasil pemantauan dan siasatan lanjut mengikut rekod mendapati kedua-dua individu berkenaan mempunyai masalah mental dan pihaknya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa. 
 
Difahamkan, terdapat seorang lagi gelandangan lelaki turut menjadikan Stesen Bas Seri Manjung sebagai tempat tidur sejak hampir setahun lalu dan hanya datang pada waktu malam, namun hasil tinjauan Sinar Harian lelaki itu tidak berjaya ditemui. - SINAR HARIAN



0 comments:

Post a Comment