Kedai makan berhampiran Arena Kuala Kangsar sering menjadi tumpuan terutamanya pada musim cuti sekolah |
BANDAR KUALA KANGSAR - Setiap kali menjelang musim perayaan dan cuti
sekolah, Kuala Kangsar pasti dipenuhi anak jatin yang pulang ke kampung
halaman untuk bercuti.
Pada masa sama, kedai-kedai makan di kawasan tumpuan seperti Bukit Chandan dan Lembah Kuala Kangsar pasti dipenuhi pelanggan.
Namun, ada yang kurang enak didengari apabila pelanggan luar mengatakan harga makanan di Bandar Diraja Perak ini mahal.
Malah, ada yang membandingkan harga makanan di sini dengan harga di Kuala Lumpur dan mereka merasakan harga mahal sebegitu tidak munasabah.
Luah keluhan di media sosial
Isu itu hangat diperkatakan dalam laman sosial berpengaruh di Kuala Kangsar dan ada di antara komen tersebut melahirkan rasa terkejut kerana terpaksa membayar dengan harga tinggi.
Seorang pemberi komen menggunakan nama Mohd Zaid Aziz berkata, harga di Lembah Kuala Kangsar memang agak tinggi dan dia pernah membayar harga mahal untuk makanan tidak seberapa.
Menurutnya, lebih mengecewakan apabila peniaga bertanya kepadanya sama ada dia orang luar ataupun penduduk Kuala Kangsar.
“Lembah memang harga melampau-lampau sangat. Aku pernah beli nasi putih lauk ikan keli goreng, teh ais, teh o suam kena caj RM10.
“Siap tanya aku orang luar ke orang sini. Nak harapkan pihak berkenaan ambil tindakan memang tak akan ada,” katanya menerusi komen di laman sosial berkenaan.
Pandangan sama turut dikongsi KhazMida EFida yang berpendapat harga makanan di Kuala Kangsar mengalahkan harga makanan di Kuala Lumpur.
Jelasnya, rasa makanan di Lembah Kuala Kangsar tidak begitu sedap dan tidak banyak pilihan namun harganya tinggi.
“Walaupun orang Kuala (Kangsar), bila jarang-jarang balik kuala harga makanan mengalahkan di KL.. Harga memang cekik darah..
“Area lembah nasi campur makanan tak sedap mana, lauk tak banyak pilihan lalat penuh sekali makan, nah harga. Matilanak,” komen Khazmida dalam laman sosial tersebut.
Masih berpatutan
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penduduk tempatan yang ditemui merasakan harga makanan di Kuala Kangsar masih berpatutan dan tidak melampau seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak.
Mohd Nazir Shaari, 55, berkata, peredaran masa mungkin menyebabkan harga semakin berubah namun dia berpendapat harga di sini masih boleh diterima.
Menurutnya, pelanggan sentiasa mempunyai pilihan lain jika merasakan kedai yang mereka pergi mengenakan harga melampau kerana terdapat banyak kedai makan di kawasan ini.
“Di kawasan lembah saja ada banyak kedai makan, itu belum kira di kawasan Bukit Chandan. Jadi, mereka ada banyak pilihan. Jika satu kedai mahal, pergilah ke kedai lain.
“Bila disebarkan harga makanan di Kuala Kangsar mahal, kita bimbang jumlah pelancong ke kawasan ini akan berkurang. Pada saya, cara paling mudah bertanya terlebih dahulu harga makanan sebelum kita ambil. Janganlah duit ada seringgit tapi mahu makan seperti ada duit tiga ringgit,” katanya.
Seorang lagi penduduk tempatan, Ahmad Shaari Mat Saad, 74, turut berasakan harga makanan di Bandar Diraja Perak itu masih berpatutan.
Menurutnya, pandangannya itu mungkin berbeza dengan orang lain di Kuala Kangsar namun penyebaran maklumat mengatakan harga makanan mahal di daerah itu menjejaskan potensinya untuk menjadi lokasi pelancongan tumpuan.
“Harga sesetengah makanan mungkin menjadi mahal apabila pelanggan mengambil makanan seperti ikan kelah, jelawat atau ikan-ikan lain yang memang harganya mahal.
“Jadi, mungkin sebab itu ada yang mengatakan mereka menjadi mangsa peniaga. Perkara sebegini seharusnya dilihat dengan lebih teliti dan tidak boleh salahkan satu pihak sahaja,” katanya.
KPDNKK belum terima aduan
Sementara itu, Timbalan Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Kangsar, Abd Rahman Yang Mohd Yusof memaklumkan pihaknya belum menerima aduan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memeriksa dakwaan mengatakan harga makanan di kawasan itu mahal.
“Kita sentiasa melakukan pemantauan malah semasa Ramadan, setiap hari kita melakukan pemantauan harga bagi memastikan harga barang dan makanan kekal pada harga berpatutan.
“Selepas ini, kita akan meneruskan pemantauan dalam skala yang berbeza,” katanya ketika dihubungi semalam.
0 comments:
Post a Comment