LUMUT - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
menyifatkan kenyataan pemimpin DAP Perak berkaitan syarat ditetapkan
panggung wayang di Seri Iskandar sebagai gambaran sikap tidak
bertanggungjawab mereka dalam mengendali isu sensitif.
Beliau menyifatkan tindakan DAP mengeluarkan kenyataan biadab tanpa
melakukan soal selidik dan mendapatkan maklum balas pihak pengurusan
panggung wayang berkaitan perkara itu dilakukan demi kepentingan
politik.
"Saya telah sebutkan bahawa hal yang sedemikian hendaklah diatasi
dengan mendapat maklum balas terlebih dahulu, khususnya isu sensitif,
berkaitan soal agama dan kaum yang kita tahu boleh menimbulkan keresahan
dalam kalangan masyarakat.
"Kenyataan biadab yang dikeluarkan itu boleh menghiris perasaan umat
Islam yang lain. Sekadar nak menjadi jaguh untuk mendapat keuntungan
politik tanpa memikirkan implikasi buruk yang bakal muncul, tidak
menggambarkan ahli politik yang baik," katanya kepada pemberita pada
majlis Jamuan Aidilfitri Umno Bahagian Lumut di Dewan Merdeka Seri Manjung hari ini.
Isu berkenaan muncul selepas pihak pengurusan pawagam berkenaan
menetapkan pasangan yang duduk di kerusi berkembar untuk menonton wayang
perlu menunjukkan sijil nikah sebagai bukti mereka adalah suami isteri.
Zambry berkata beliau telah mendapatkan maklum balas Majlis Daerah
Perak Tengah berhubung perkara itu dan dimaklumkan perbincangan
berhubung syarat itu telah diadakan ketika pawagam ini hendak diwujudkan
beberapa tahun yang lalu di kawasan Parlimen Parit dan Perak Tengah
yang melibatkan 90 peratus kaum Melayu.
"Jadi sudah tentu sebarang aktiviti yang hendak dilakukan hendaklah merujuk komposisi kaum di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata sebarang persoalan berhubung isu itu sepatutnya dibawa
berbincang bagi menjaga keharmonian masyarakat, terutama yang
membabitkan isu perkauman dan agama.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, menerusi akaun
Facebooknya mempertikai syarat yang dikenakan ke atas pasangan yang
duduk di kerusi berkembar untuk menonton wayang di pawagam itu sambil
menyifatkannya sebagai 'penyakit kerajaan BN (Barisan Nasional) Perak'.
Bantahan berhubung perkara itu turut disokong Setiausaha Pemuda
Sosialis DAP (Dapsy) negeri Lee Chuan How dalam sidang media Khamis
lepas. - Bernama
No comments:
Post a Comment