IPOH - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Al-Ansar di Halaman Meru Impian di sini.
Baginda yang lengkap berbaju Melayu berwarna ungu cair menyempurnakan
simbolik perasmian masjid itu itu dengan menyiram pokok.
Sultan Nazrin yang diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa
dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah
seterusnya berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 rakyat jelata.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,
Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria serta barisan exco negeri.
Baginda kemudian menunaikan solat Maghrib bersama tetamu kehormat, jemputan dan masyarakat setempat di masjid itu.
Pada majlis itu Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan
Hari Raya Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam Perak sebanyak
RM526,200 kepada penghulu yang mewakili 2,631 penduduk setempat dari
lapan mukim.
Lapan mukim itu ialah Lahat yang menerima sebanyak RM84,000, Sungai
Raia (RM64,200), Ulu Kinta Tanjung Rambutan (RM79,400), Ulu Kinta Chemor
(RM76,800), Ulu Kinta Ipoh (RM140,600) Sungai Terap (RM35,800), Tanjung
Tualang (RM34,400) dan Tronoh (RM11,000).
Baginda turut menyampaikan replika kunci van jenazah kepada Pengerusi Masjid itu Mustaha Khalil.
Sejurus selepas itu, baginda berkenan menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah. - Bernama
No comments:
Post a Comment